Pergi lebih mendalam selepas menghayati
tentang keindahan dan kelembutan ayat-ayat Al-Qur`an di dalam Surah Maryam yang
kebanyakan ayat-ayatnya berhujung dengan `ya` itu, maka pada perlapisan yang
lebih dalam tersentuh jiwa dengan
`Gundah-Syukur, Pasrah & Mewariskan Perbalahan pendapat berterusan`.
Terumus pendapat itulah watak-watak dan suasana-suasana mewariskan kepada manusia yang diterima dan
dibawa dalam perjalanan.
Keluarga Zakaria menghadapi permasalahan tidak
semudah untuk diselesaikan, tetapi ianya bukan di luar dari pengalaman normal.
Sebagai ketua keluarga yang menumpahkan jiwa raga dalam berkhidmat ke pada Allah
di Masjid al-Aqsa, Baitul Maqdis, Nabi Zakariyya yang sudah lanjut usianya amat
mengharap dan terus memohon kepada Allah agar Allah mengurniainya zuriat
bersama isterinya yang selama ini dianggap mandul. Dia mau khidmat yang selama
ini dicurahkan dapat disambung anaknya – sebaik-baiknya lelaki. Rintih
Zakariyya sebagaimana dimaksudkan ayat Al-Qur`an:
``Ia merayu dan berkata, ``Wahai Tuhanku,
sesungguhnya telah lemahlah tulang-temalang tubuhku dan telah putih melepaklah
uban rambut kepalaku dan aku, wahai Tuhanku tidak pernah merasa hampa dengan
do`a permohonanku kepadaMu``. (19.4)
Bagi
Allah tidak ada kerumitan bagiNya untuk mengkabulkan permintaan sedemikian.
Dengan doa dan ketulusan hati Zakaria akhirnya doanya dikabulkan dengan kurniaan anak lelaki terus dengan
pemberian nama `Yahya` nama yang belum pernah diguna seumpamanya sebelumnya.
Yahya meneruskan khidmat sebagai penerusan yang dilakukan oleh bapanya
Zakariyya dan menurut syariat seperti di dalam
Taurat.
Sebagaimana Zakariyya maukan anak lelaki dari
keturunan sendiri demikianlah juga keluarga Imran memohon dari Allah
mengurnianya bersama isterinya `Hannah` untuk mendapat anak lelaki. Mereka
bernazar bila besar untuk menyerah anaknya bagi mengabdikan dirinya berkhidmat
di tempat ibadat di Masjid Al-Aqsa, Baitul Maqdis. Allah jua mengkabulkan
permintaan mereka, tetapi bukan anak lelaki, tetapi sebaliknya perempuan yang
diberi nama Maryam. Mereka pasrah dengan kurniaan dan oleh kerana nazar, maka
mereka menyerahkan juga anak perempuan ini beribadat dan mencurahkan baktinya
kepada Allah dan beribadat di dalam Masjid Al-Aqsa berkenaan.
Berlainan warna, nasib dan ketentuan yang
dialami Maryam sebagai Rahib Wanita, dia menghadapi ujian yang paling getir.
Sebagai Rahibah dia semata-mata menumpukan ibadat dan khidmat di pusat ibadat,
dan dia tidak memohon untuk mendapat sebarang zuriat, lantaran dia tahu dia
seorang yang tidak bersuami, tetapi atas kehendak Allah dia diberitahu oleh
Malaikat, bahawa dia dikurnia anak tanpa bapa dan mengandung, dia tidak dapat
menolak dan mengandung. Dia menerima cemuhan dan tuduhan liar dan mengasingkan
diri beribadat sambil menunggu tarikh kelahiran, bahkan dia berpuasa dari
bercakap. Apabila anaknya lahir yang dinamai Isa, kepada yang bertanya, dia
mengisyaratkan supaya menanyakan anak
tersebut. Dan Isa menjawab sebagaimana
dimaksudkan di dalam Al-Qur`an:
``Ia menjawab, ``Sesungguhnya aku ini hamba
Allah. Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil) dan Ia telah menjadikan daku
seorang Nabi``. (19.30)
Isu Maryam dan anaknya Isa bukan sekadar
kelahiran semata-mata, tetapi mencetuskan pertikaian bukan saja dari segi
menerima dan menolaknya, tetapi kedudukannya dari segi falsafah dan aqidah yang
sifatnya amat serius dan diwarisi perbalahan oleh generasi zaman.
Dari segi lahirnya Isa menyebabkan melahirkan
berbagai pendapat. Antaranya melihat Jesus Isa al-Masih mempunyai dua identiti,
iaitu Lahir sebagai kemanusiaan dan Batin sebagai Ketuhanan.
Dari segi penerimaan terhadapnya berlaku
perselisihan.
Antara Yahudi tidak mengaku kenabiannya dan
menganggapnya sebagai anak zina. Mereka menuduh Al-Masih anak Yusuf Tukang Kayu
yang bila lahir Al-Masih dikahwinkan dengan Maryam. Dari satu segi terdapat
pendapat-pendapat:
1) Golongan Ya`kubin Isa itu ialah Allah
2) Golongan Nasturiyyin Isa Anak Allah
3) Pendeapat Isa itu Yang Ketiga dan Yang Bertiga. Dia Allah, Dia Anak
Allah dan Dia Ruhul Qudus
4) Pendapat yang mempercayai Oknum Ketiga ialah Ibunya Maryam.
Tetapi yang dijadikan keputusan Kaisar
Konstantin di perhimpunan di Necea, ialah Triniti Allah Bapa, Allah Putera dan
Allah Ruhul Qudus, Yang Satu Di Dalam Tiga dan Tiga Di Dalam Satu.
Hamka mencatat, ``Injil yang ada sekarang
bukan lagi yang turun kepada Isa Al-Masih. Apa yang ditulis oleh Matius,
Markus, Lukas dan Yohannes itu bukan wahyu. Di dalam kesemuanya tidak terdapat
tentang Isa bercakap-cakap membenarkan ibunya daripada tuduhan-tuduhan yang
bukan-bukan dan pengakuan bahawa dia akan menjadi Nabi dan menerima kitab Injil
dari Tuhan sebagaimana keterangan terdapat di dalam Al-Qur`an sebagaimana ayat
di atas. Demikianlah kekacauan pendapat tentang Isa di kalangan Israil dan golongan
Kristian yang mengelirukan.
(Hamka, Tafsir Al-Azhar, Jil.6, Pustaka
Nasional Pte Ltd., Singapura, 2001: 4,300).
Kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Nabi
dan Rasul akhir zaman menyibarkan agama Islam dan antaranya membetulkan tentang
kedudukan Al-Masih yang dia bukan dibunuh sebagaimana cuba dilakukan oleh Bani Israil , tetapi diangkat
oleh Allah kesampingNya.
Kedatangan Islam dengan bukti Al-Qur`an yang
diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w.
tidak saja memperbetulkan tanggapan terhadap Nabi Isa Al-Masih sebagai
Rasulullah, tetapi juga terhadap nabi-nabi yang lain sebagaimana sebahagian
daripada mereka disebut di dalam Surah Maryam, iaitu tentang:
Nabi Ibrahim yang mendakwah agama Hanif (Islam),
termasuk terhadap ayahnya yang merupakan sebagai pemahat patung-patung. Ibrahim
adalah Siddiq lagi benar (19.41). Dia diancam oleh pemerintah pada masanya
iaitu Namrud dari zaman Babilon. Dia melakukan Hijrah termasuk ke Makkah
mendirikan Ka`bah.
Nabi Musa yang cirinya ialah `Berbicara Dengan
Tuhan` (Al-Nisa`: 164) dan mendapat tentangan dari Fir`aun semasa di Mesir.
Nabi Ismail yang disifatkan sebagai `Penunai
Janji` (19.54) dan
Nabi Idris yang disifatkan sebagai Kenabian
Yang Benar (19.56)
Islam dan Al-Qur`an yang diwahyukan kepada
Nabi Muhammad s.a.w. bukan setakat memperbetulkan persepsi dan tanggapan
terhadap Maryam dan Nabi Isa, tetapi memperbetulkan pegangan terhadap kerasulan
dan kenabian yang telah diutuskan Allah, tetapi juga menunjuk jalan kehadapan untuk dijalani secara lurus dan
betul.
Sekian.
No comments:
Post a Comment