Setelah melalui Fasa Perancangan (2010-2013),
kini Fasa Pembinaan (10.12.2013- Kini), hampir siap, kini AJK Pembinaan Dan
Pengimarahan membuat persediaan bagi mengisi Fasa Ketiga yang dianggap terpenting,
iaitu Fasa Pengimarahan. Sebagaimana pelaksanaan kedua-dua fasa tersebut perlu
melalui perancangan teratur dan rapi – terutama melalui mesyuarat-mesyuarat,
begitulah pendekatan yang diambil bagi menghadapi dan mengisi Fasa Ketiga - Pengimarahan.
Bagi menghadapi dan mengisi Fasa Pengimarahan
ini sebenarnya tindakan awal telah diambil sejak September 2014, dalam mana AJK
Pendidikan yang dipengerusikan oleh Dr. Tajul Ariffin Noordin pada 26 Zulkaedah
1435 = 21 September 2014 telah mengadakan Seminar Merancang Dan Mengimarahkan
Masjid Al-Umm bertempat di Hotel Puri Pujangga, UKM. Sebuah kertaskerja
berjudul ``Pengajian Di Masjid Al-Umm: Cadangan`` dibentangkan oleh Penulis
selaku Pengerusi Ahli Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid al-Umm. Selepas itu diadakan Bengkel Penentuan &
Penulisan Program Pengimarahan Masjid Al-Umm pada 03 Rabiul Akhir 1436 = 24
Januari 2015 juga diadakan di Hotel Puri Pujangga , UKM yang dihadiri
jemputan-jemputan dari institusi-institusi dan orang-orang perseorangan bagi mendapat
idea dan sumbang saran daripada mereka tentang modul-modul pengajian yang
hendak dijalankan.
Masjid Al-Umm adalah milik penduduk Bandar
Baru Bangi, bahkan terdirinya bangunan Masjid Al-Umm hingga kini adalah hasil
dari derma orang ramai, khususnya dari penduduk Bandar Baru Bangi dan bagi
mengimarahkan Masjid Al-Umm adalah bergantung kepada penduduk berkenaan. Satu
mekanisme yang diambil untuk melaksanakan pengimarahan ialah dengan mendapat
kerjasama dari surau-surau dan masjid yang berada di Bandar Baru Bangi, lantaran
itu pada 05 Safar 1437 = 17 November 2015 pihak AJK Masjid Al-Umm telah
menjemput Pengerusi-Pengerusi Surau dan Masjid atau wakil-wakil ke Majlis
Perjumpaan dengan mereka yang diadakan di Masjid Al-Umm. Sejumlah 50 orang
telah hadir. Majlis diisi dengan:
1) Taklimat pembinaan Masjid Al-Umm.
2) Memaklumkan pihak Masjid Al-Umm memerlukan tenaga bagi mengimarahkan
Masjid Al-Umm dan meminta kerjasama surau-surau dan masjid membuat cadangan
bagi mengisi tenaga-tenaga penting dari segi imam, bilal, siak, juruteknik,
kerani dan pegawai keselamatan.
3) Program Lawatan melihat Bangunan Masjid.
Sebagai hasilnya pihak Masjid mengenal pasti
mereka yang layak bagi jawatan-jawatan di atas, melalui cadangan surau-surau
dan Masjid dan juga melalui iklan yang dibuat. AJK juga menyedari bahawa perlu
ada tenaga-tenaga muslimat yang dapat menggerakkan kegiatan-kegiatan berhubung
dengan muslimat di masjid. Sebagai persediaan bagi permulaan penggunaan Masjid
Al-Umm yang perlu dilakukan dari sekarang, maka pada hari ini (26 Safar 1437 =
08 Disember 2015) satu Majlis Perjumpaan Dengan Bakal Pegawai-Pegawai Masjid
dan Muslimat dari surau-surau diadakan bertempat di Masjid Al-Umm. Hadir ke
Majlis Perjumpaan pada hari ini ialah
AJK Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm, Nazir Masjid Al-Hasanah Tuan Haji
Napiah Shahrani, Imam Syed Muhammad, Imam Ustaz Ishak, tenaga-tenaga
pengajar, sejumlah 10 muslimat dan
tenaga-tenaga yang mau memberi khidmat bakti terhadap masjid. Tuan Haji Ghazali
Abbas selaku Pengerusi Majlis Perjumpaan mengucapkan terima kasih kepada semua
yang hadir yang jumlah mereka adalah seramai 40 orang (Mereka dibekalkan dengan
dua buku, iaitu buku `Pengajian Di Masjid Al-Umm: Cadangan` dan buku,
``Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu`` yang kedua buku ada hubungan dengan Masjid
Al-Umm).
Penulis selaku Pengerusi AJK Pembangunan dan
Pengimarahan Masjid Al-Umm dalam ucapan alu-aluan juga mengucapkan terima kasih
kepada AJK, Tuan Nazir, imam-imam Masjid Al-Umm, para muslimat dan semua pihak yang hadir. Penulis menyebut
bahawa 2 hari lagi genap dua tahun tempoh pembinaan Masjid Al-Umm (mulai dibina
– masuk tapak 10.12.2013). Al-Hamdulillah katanya, ``Dalam tempoh relatifnya
cepat, Masjid Al-Umm hampir siap.`` Tugas seterusnya ialah pengisian bagi
pengimarahan masjid. Bagi tujuan mengisi dan mengimarahkan Masjid menurutnya,
``Tuan-tuan dan puan-puan dijemput sebagai lanjutan dari pertemuan dengan
Pengerusi-Pengerusi Surau dan Masjid atau wakil-wakil yang telah diadakan pada
17 November 2015 yang lepas.
Penulis selaku Pengerusi Pembinaan dan
Pengimarahan Masjid Al-Umm memaklumkan bahawa pertemuan adalah bertujuan bagi
bertemu dengan bakal pegawai-pegawai masjid Al-Umm yang terdiri dari imam,
bilal dan siak. Menurutnya, ``Ini tidak semua mereka berkenaan hadir pada hari
ini.`` Beliau melahirkan rasa sukacita bahawa beliau menerima nama-nama yang
mau berkhidmat secara sukarela di dalam bidang-bidang kebolehan masing-masing.
Pengerusi menyatakan, ``Semua yang memohon dan menawarkan diri akan dipanggil
dan diberi peluang memberi khidmat, untuk mereka akan diatur jadual menurut
giliran dalam tempoh tertentu dan mana yang layak dan menunjukkan komitmen yang
tinggi akan ditawarkan untuk bertugas. Sementara bagi imam dari masjid dan
surau-surau juga akan diminta kesudian mereka untuk menjadi imam dan juga bilal
menurut jadual yang disusunkan. Guru-guru juga akan dikenalpasti dan dijemput untuk mengajar menurut kepakaran
masing-masing. Manakala bagi perkeranian dan juru teknik akan dipilih bagi
memenuhi kekosongan.
Pengerusi juga menyatakan masjid memerlukan
tenaga muslimat dan mengharapkan muslimat yang hadir dapat memberi khidmat bagi
bidang-bidang yang sesuai, khususnya bagi pengajian-pengajian yang berhubung
dengan muslimat dan berbagai-bagai kegiatan lain yang berkenaan. Masjid
mempunyai ruang – Aras Satu (tingkat tiga) bagi ruang solat muslimat dan
tugas-tugas lain yang berhubung dengan pengajian dan pendidikan anak-anak.
Begitu juga dengan tugas-tugas kebajikan dan kemasyarakatan. Beliau berharap
ada wakil-wakil muslimat di dalam mesyuarat induk, khususnya bila ada agenda
yang berhubungan dengan muslimat. Pengerusi mengingatkan, ``Pertemuan bukan
setakat hari ini, bahkan berterusan pada masa-masa akan datang.``
Pengerusi berharap pihak muslimat akan
berbincang dengan kalangan muslimat mengatur program dan kegiatan-kegiatan sama
ada dalam bidang ibadat, keilmuan, kebajikan dan kemasyarakatan dan dapat
dibentangkan dalam mesyuarat induk untuk diteliti, diperhalusi dan dipersetujui
bersama.
Pengerusi mengharapkan dengan kerjasama dan
komitmen semua pihak Masjid Al-Umm menjadi:
Pusat bagi kemudahan dan keselesaan beribadat
Pusat kecemerlangan ilmu pengetahuan
Pusat bagi kegiatan kemasyarakatan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment