BBB, 27 Safar 1437 = 09 Disember 2015 (Rabu):
Berikut dari ucapan Pengerusi Pembangunan dan
Penimarahan Masjid Al-Umm Tuan Haji Ghazali Abbas menjemput Tuan Haji Abdul
Rahman Daud selaku Pengarah Pembangunan Masjid Al-Umm membentangkan kepada
hadirin tentang perkembangan pembinaan Masjid Al-Umm. Beliau membicarakan
tentang pembangunan jangka panjang kepada tiga tahap, iaitu Pertama, Kedua dan
Ketiga.
Tahap Pertama
Ialah tahap pembangunan fizikal Masjid Al-Umm
yang mulai dibangunkan sejak 10 Disember 2013. Dengan berdasarkan kepada power
point beliau menerangkan tahap pembangunan dari pembersihan tapak, penanaman
cerocok, terdirinya tiang-tiang yang kemudian memperlihatkan rangka bangunan
yang berbentuk tiga tingkat. Diikuti dengan pemasangan batu bata dan
tangga-tangga, pemasangan bumbung dan atap. Bangunan masjid menjadi lebih jelas
dengan menaikkan kubah oleh Syarikat Majleza dan pembinaan dua menara yang pada
puncaknya mengambil bentuk menara Masjidil Haram terkini.
Berikutnya ialah kerja-kerja penghalusan dari
pemasangan tiles pada semua lantai di semua tingkat dari tiga tingkat,
pemasangan pintu dan tingkap dan cat mengecat. Selepas itu diterangkan tentang
aras bawah yang terdiri dari ruang
persidangan atau jamuan, ruang aqad nikah dan bilik persalinan yang semuanya
berhawa dingin dan bilik penyediaan makanan bagi majlis-majlis jamuan. Dari
tangga sebelah kanan dan kiri dapat naik ke aras utama yang bahagian utamanya
ialah ruang bagi solat yang di hadapannya mihrab (dari aras satu ke bawah).
Pada sebelah kanan dan kiri ialah ruangan lempah yang bersifat terbuka dan
tidak menggunakan penghawa dingin sebagaimana pada ruangan tengah. Pada
bahagian belakang juga ialah ruangan terbuka untuk jamaah. Pada bahagian tepi
kanan dan kiri ialah bilik wudhu`. Manakala bersebelahan bilik wudhu ialah
bilik pentadbiran dan bilik tarbiah anak-anak. Terdapat bilik jenazah pada sebelah
kanan sebagaimana terdapat ruangan rehat pada
sebelah menyebelah bagi bilik-bilik wudhu atau hadapan bilik pentadbiran
dan bilik tarbiah.
Dengan melalui tangga kanan dan kiri dan juga
perkhidmatan lift dapat dinaiki ke aras satu (tingkat tiga) yang terdiri dari
ruang solat muslimat. Bilik-bilik bahagian belakang untuk tahfiz dan bilik
sumber (perpustakaan) dan IT. Pada bahagian kanan dan kiri juga bilik wudhu`
dan toilet. Pada bahagian sayap kanan ialah bilik persidangan dan dan pada
sayap kiri bilik mesyuarat.
Pembangunan sudah sampai 96% dan kerja-kerja
sekarang lebih kepada penghalusan dalaman seperti dekorasi di bahagian atas
ruang utama dan dinding dan kerja luar seperti jalan, pagar dan taman.
Tahap Kedua
Ialah pembangunan rumah penginapan dan asrama.
Bertempat di Surau al-Umm No. 6 Jalan 1/3G, Bandar Baru Bangi. Rumah semi D ini
diberi sementara oleh PKNS untuk dijadikan Surau Sementara dan telah digunakan
mulai Ramadhan tahu 1978. Sempena pembinaan Masjid Al-Umm pihak AJK Pembangunan
dan Pengimarahan Masjid Al-Umm memohon dari pihak PKN secara percuma, tetapi
tidak disetujui, tetapi adalah secara menjualnya kepada Masjid dengan harga
RM500,000. Pihak AJK telah membayar wang depositnya. Rumah semi D ini akan
diubahsuai kepada dua kediaman pada bahagian atas untuk imam atau tamu-tamu dan
mereka yang datang mengajar atau sebarang urusan masjid. Pada bahagian bawah
juga diadakan bilik-bilik untuk asrama atau untuk disewa. Adalah dijangka
perbelanjaan bagi menyiapkan pengubahsuaian bangunan ini memerlukan peruntukan
lebih dari satu juta ringgit.
Tahap Ketiga
Ialah tahap jangka panjang. Masjid dijangka
akan menjadi pusat pengajian tinggi. Bagi kepentingan jangka panjang pihak
Masjid akan memohon daripada pihak Kerajaan
Negeri melalui MPKj untuk mendapatkan ruang Medan Usahawan, iaitu
kawasan warung hadapan masjid bagi membina bangunan lebih dari 10 tingkat.
Bangunan ini akan dijadikan ruang bilik kuliah, ruang persidangan,
perpustakaan, bilik-bilik pentadbiran, asrama, kedai buku dan kedai-kedai yang
menyediakan keperluan bagi pelajar.
Bagi jangka panjang Masjid Al-Umm menjadi
induk bagi tempat ibadat, pusat bagi perkembangan keilmuan dan kegiatan
kemasyarakatan yang berada di Wadi Ilmu di Bangi Bandar Ilmu.
Selepas Tuan Haji Abdul Rahman membentangkan
konsep pembangunan terkini dan jangka panjang, Dr. Tajul Ariffin Noordin selaku
Pengerusi AJK Pendidikan dijemput oleh Pengerusi Majlis untuk bercakap tentang
pendidikan bagi mengimarahkan Masjid Al-Umm. Beliau bercakap tentang konsep
bengkel dan klinik, iaitu sebagai tambahan dari kuliah dan pengajaran
kitab-kitab yang biasa diadakan di
masjid-masjid. Bengkel ialah perbincangan tentang topik-topik khusus di dalam
jumlah terhad bagi mendigestkan topik-topik tertentu. Manakala klinik adalah lebih
khusus membimbing anak-anak misalnya bagaimana mendirikan solat secara betul
dan bacaan yang betul. Pendekatan ini juga dapat diperluaskan kepada kalangan
orang tua yang memerlukan bimbingan secara intensif berhubung dengan ibadat
solat dan berbagai-bagai bidang yang lain.
Dr. Tajul Ariffin Noordin juga bercakap
tentang pengajian. Menurutnya Beliau bersetuju diadakan Kelas Tahfiz di Masjid
al-Umm. Sebagai Pengerusi bagi Kompleks Pendidikan Islam Bandar Baru Bangi,
beliau memaklumkan di situ terdapat kelas Tahfiz untuk anak-anak sekolah,
tetapi suasana di situ tidak begitu kondusif, beliau mencadangkan kelas tahfiz
disitu dipindahkan ke Masjid Al-Umm, lantaran di masjid lebih kondusif dan
lebih intim dengan suasana ibadat dan suasana yang lebih tenang.
Beliau juga bercakap tentang perancangan untuk
mengadakan kerjasama pengajian di Masjid Al-Umm dengan instiutusi-institusi
pengajian luar yang berada terutama di sekitar Bangi. Beliau merujuk kepada
rundingan yang sedang dibuat dengan pihak Dar al-Hikmah, Sungai Ramal Dalam.
Modul pengajian di situ dapat di bawa ke Masjid Al-Umm atau kedua-dua tempat
menganjurkan pengajian secara bersama. Pelajar-pelajar yang mnengikuti pengajian
berbagai bidang yang dianjurkankan bila lulus pada peringkat diploma yang
kelulusan diiktiraf oleh pihak kerajaan dapat menyambung pengajian ke
pengajian-pengajian tempatan dan juga luar negara.
Dengan penerangan yang diberi oleh ketiga
pihak, iaitu oleh Pengerusi Pembangunan dan Pengimarahan Masjid secara luas, Tuan Haji Abdul Rahman mengenai
pembangunan fizikal dan Dr. Tajul Ariffin Noordin dari segi pendidikan, maka
dijangka para peserta, terutama yang baru datang, lebih khusus bagi yang mau
berkhidmat dengan Masjid Al-Umm dapat memahami tentang perkembangan Masjid
Al-Umm dari segi visi dan misinya bagi mencapai al-Falah dunia dan akhirat.
Selepas penyampaian penerangan oleh Dr. Tajul
Ariffin Noordin Majlis berhenti rihat dan para hadirin dijemput ke jamuan
sebelum majlis di sambung semula.
Sekian.
No comments:
Post a Comment