Menyebut tentang keilmuan tiga serangkai di
dalam Islam, maka salah satu ilmu dimaksudkan ialah ilmu tasawuf, di samping
ilmu akidah dan fiqh. Ketiga-tiga ilmu berkenaan adalah bagi memenuhi
tuntutan diri. Maka ciri bagi ilmu
akidah ialah bersifat akli dan ciri bagi sifat ialah bersifat amali lahiri dan
istimewa bagi ilmu tasawuf ialah bersifat rohani. Jika diri diibarat sebagai
tapak semaian yang subur, maka benih bagi ketiga-tiga bidang keilmuan berkenaan
mudah bercambah dan berkembang subur bila disirami dengan unsur keilmuan
berkenaan. Ini bermaksud bahawa tapak bagi persediaan bagi ilmu tasawuf sedia
ada pada jiwa individu dan umat dan perutusan Rasulullah s.a.w. sama membawa
elemen tasawuf yang ada di dalam agama Islam dan mudah subur keilmuan tersebut
di dalam jiwa dan hati nurani yang ada pada individu dan jiwa masyarakat umat
menurut acuan agama Islam itu sendiri. Penggaluran ini sekaligus bagi menafikan
pendapat bahawa tasawuf adalah unsur luar yang tidak ada di dalam agama Islam,
sebaliknya ianya berada di dalam Al-Qur`an, Al-Hadith, pembawaan sahabat dan
pengikut-pengikut dan di kalangan para rohaniawan di dalam Islam dari zaman
awal Islam sehinggalah zaman sekarang. Walau bagaimana akibat dari sentuhan
ilmu dan interaksi budaya, maka tidak dapat dinafikan adalah unsur pengaruh
mempengaruhi.
Sesungguhnya elemen tasawuf ada di dalam
Al-Qur`an sebagai contoh ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Dan Dia bersama kamu di mana kamu berada``.
(Al-Hadid: 4)
``Ke arah mana kamu halakan pandangan, maka
kamu berdepan dengan wajah Allah``. (Al-Baqarah: 115)
Keseluruhan maksud bagi Surah `Al-Ikhlas (112:
1 -4) dan banyak lagi ayat-ayat yang lain.
Manakala Hadith, maka seluruh pembawaan diri
Rasulullah s.a.w. yang hidup dalam
keadaan sederhana adalah cerminan bagi tasawuf:
Hadith
Baginda, antaranya bermaksud: Hadith diriwayatkan oleh Abdullah bin `Umar
r.`anhuma daripada Nabi s.a.w. Baginda bersabda (bermaksud):
``Orang Islam itu adalah mereka yang sejahtera
sekalian orang Islam dari (bahaya ancaman) lidah dan tangannya dan orang yang
muhajir (yang berpindah) ialah mereka yang menjauhi apa yang dilarang Allah.``
Hadith Bukhari.
Atau Hadith yang diriwayatkan oleh Anas r.a.
daripada Nabi s.a.w. Baginda bersabda (bermaksud):
``Tiga macam perkara, barang siapa yang di
dalam dirinya terdapat tiga macam perkara itu, dia dapat merasakan kemanisan
iman (pertama) Bahawa dia menjadikan Allah dan Rasulnya lebih dicintai olehnya
daripada yang lain (keduanya) Dan bahawa dia mencintai seseorang, tiada lain
cintanya itu melainkan semata-mata kerana Allah dan (ketiga) bahawa dia benci
akan kembali kepada kekufuran seperti dia benci akan dicampakkan ke dalam
nereka – Riwayat Bukhari.
Sebuah lagi Hadith bermaksud:
Daripada Abi Hurairah r.a. daripada Nabi
s.a.w. Baginda bersabda:
``Tanda orang munafiq itu tiga:, apabila ia
bercakap ia bohong, dan apabila berjanji ia mungkir dan apabila diamanahkan
kepadanya ia khianat. (Riwayat Bukhari).
Manakala contoh dari kalangan sahabat yang
berjiwa sufi dan menjadi contoh kesufian antaranya ialah:
1) Abu Dhar al-Ghifari r.a.
Dia kelana musafir merentasi padang pasir
sengaja datang menemui Rasulullah s.a.w. di Makkah kerana mau menganut agama
Islam . Dia tidak menyembunyikan keislamannya, walaupun pada masa itu dakwah
Rasulullah s.a.w. masih secara sembunyi. Dia tidak takut pada ancaman Quraisy.
Dia kembali kepada kaum al-Ghifar dan mengislamkan mereka dan turut didakwahkan
kaum Aslam. Abu Dhar memimpin rombongan yang diislamkan menemui Rasulullah s.a.w.
selepas Hijrah. Rasulullah menghargai kegigihan Abu Dhar dan mengkagumi
ketegasan pendiriannya sejak awal menerima Islam di Makkah. Abu Dhar tetap
hidup dalam keadaan sederhana. Abu Dhar tidak menyenangi dengan gaya hidup mewah
Mu`awiyah yang menjadi govenor Sham pada zaman Khalifah Sayyiduna `Uthman bin
Affan. Beliau telah membentuk satu`Gerakan Pendapat` sebagai NGO yang menentang
gaya hidup mewah dan penyelewengan yang menggugat pemerintahan Khalifah
`Uthman. Bagi menyatakan pertentangan dan rasa tidak puashatinya beliau kembali meminggirkan dirinya hidup di Padang Pasir
Rabazah beribadat hingga akhir hayat sebatang kara.
2. Bilal bin Rabah
Pembawa ciri sufi juga dapat diteladani dari
kehidupan Bilal bin Rabah bekas seorang hamba bagi pembesar Quraisy – Umayyah
bin Khalaf. Beliau disiksa tuannya kerana masuk Islam, tetapi telah diselamat
dan dimerdekakan oleh Abu Bakar. Hidup beliau secara sederhana dan menjadi
Tukang Bang (Mu`azzin) Rasulullah s.a.w., di Masjid Madinah. Kerana cintanya
terhadap Rasulullah selepas Rasulullah s.a.w. meninggal, beliau tidak sanggup
tinggal di Madinah melihat kesan-kesan beliau bersama Rasulullah dan mengungsi
ke Syria dan meninggal di sana.
3. Abdullah bin Umar
Seorang tokoh ilmuan yang kuat beribadat ialah
Abdullah bin `Umar. Menerima Islam sejak kecil, ketika umurnya 13 tahun dia mau
menyertai peperangan Badar, tetapi tidak diizin Rasulullah s.a.w. kerana
umurnya masih muda. Abdullah bin Umar berguru secara langsung dari Rasulullah
s.a.w. dan beliau merupakan seorang tokoh ilmuan Islam dan menjadi tempat
rujukan dari segi hukum hakam. Namun Abdullah bin Umar menolak tawaran
Sayyiduna `Uthman bin `Affan untuk melantiknya menjadi Hakim untuk mengelak
dari kesilapan dari menghukum. Beliau amat berhati-hati di dalam mengeluarkan
fatwa lantaran takut tersilap. Beliau hidup sederhana dan kuat beribadat.
Umurnya panjang sehingga 85 tahun dan berkesempatan dengan pemerintahan
Mu`wiyah.
(Khalid Muhammad Khalid, Sejarah 33 Wira
Terbilang, (Terjemahan Abu Mazaya Al-Hafiz), Al-Hidayah Publications, Batu
Caves, Kuala Lumpur, 2009: 25 – 67).
Demikian tiga daripada tokoh-tokoh sahabat
yang membawa ciri-ciri sufi di dalam kehidupan mereka. Mereka menjadi inspirasi
kepada kalangan sufi, meskipun pada masa
mereka belum lahir lagi apa yang diistilahkamn sebagai `Tasawuf`.
Jelas dari perbincangan ringkas di atas
unsur-unsur tasawuf sebenarnya wujud di dalam Islam itu sendiri seperti di
dalam Al-Qur`an, Al-Hadith, Pembawaan sahabat dan tabi`in. Tasawuf berkembang
seiring dengan perkembangan Islam.
Sekian.
No comments:
Post a Comment