BBB, 04 Rabiul Awal 1437 = 16 Disember 2015
(Rabu):
Rancangan menjadikan Masjid Al-Umm sebagai
pengajian tinggi yang dikenali dengan `Jami`ah Al-Umm` atau `Al-Umm University`
seharusnya pengurusan bagi melaksanakannya mesti dilakukan dari sekarang. Ini
adalah bersesuaian dengan pembinaan fizikal Masjid Al-Umm hampir siap yang
menjadi pusat utama bagi pengajian. Menjadikan Masjid Al-Umm sebagai pusat
pengajian tinggi adalah mengambil ilham dan contoh tauladan dari Masjid
Qayrawan di Maghribi dan Masjid Al-Azhar di Mesir yang kedua-duanya merupakan universiti-universiti
terawal di dunia. Pengajian di Masjid Al-Umm hendaklah berasaskan turath
tradisi dan tempatan, di samping meneroka keilmuan kini. Jami`ah Al-Umm
hendaklah mempunyai ciri dan identiti tersendiri.
Berhubung dengan keperluan mendirikan Kompleks Ilmu bagi Jami`ah Al-Umm yang baru pada peringkat permulaan, seharusnya tidak menghalang dari usaha bagi menggerakkan kegiatan melaksanakan Jami`ah Al-Umm berkenaan. Perancangan tidak boleh menunggu terdirinya bangunan tersebut, pengurusan mendapat keizinan menggunakan tapak dan mencari dana yang melebihi RM100 juta itu akan memakan masa. Usaha membina bangunan Kompleks Ilmu bagi Jami`ah Al-Umm hendaklah berjalan serentak dan ia merupakan projek bagi melengkapkan keperluan bagi Jami`ah Al-Umm. Sebenarnya bagi melengkapkan keperluan fizikal bagi Jami`ah Al-Umm banyak lagi bangunan-bangunan tambahan yang diperlukan dan perlu ditambah dari masa ke semasa.
Sebagai satu pendekatan yang pernah
dibincangkan di dalam `Bengkel Merealisasikan
Bangi Bandar Ilmu` pada 16
Sya`ban 1435 bersamaan 14 Jun 2014 bertemput di Hotel Puri Pujangga UKM, ada
dua pendekatan bagi merealisasikan Bangi Bandar Ilmu, iaitu Pendekatan Makro
yang dibentangkan oleh Dato` Dr. Abdul Halim Tamuri Rektor KUIS, iaitu
pendekatan menjadikan seluruh Bandar Baru Bangi sebagai kampus terbuka secara
serentak yang memerlukan tenaga, kepakaran dan kewangan yang banyak dan
kertaskerja kedua ialah merealisasikan Bangi Bandar Ilmu secara mikro yang
dibentangkan oleh Penulis, bermaksud usaha merealisasikan Bangi Bandar Ilmu
bermula dari bahagian kecil kemudian berkembang luas bagi seluruh Bandar Baru
Bangi.
Pembinaan Masjid Al-Umm adalah dalam rangka
pendekatan mikro di atas, iaitu mengimarahkan ilmu dari Masjid Al-Umm terlebih
dahulu termasuk didukung oleh
surau-surau dan institusi-institusi pengajian sekelilingnya. Usaha bagi
menaiktaraf Masjid Al-Umm adalah sebahagian dari pendekatan bagi merealisasikan
Bangi Bandar Ilmu. Pendekatan yang dicadangkan, bahawa Masjid Al-Umm adalah
berada di Wadi Ilmu yang sekeliling dan sekitarnya ada:
10 surau, 4 sekolah, 1 Kompleks Pendidikan
Islam Bangi dan 1 Dar al-Shifa`.
Kesemuanya ini adalah berada di bawah Wilayah
Wadi Ilmu di Bangi Bandar Ilmu. Dalam kata lain Wadi Ilmu hendaklah menjadi
`Kampus Terbuka` pengajian bagi Jami`ah
Al-Umm (Al-Umm University).
Pendekatan ini lebih praktikal dan releven,
dari segi infra-struktur fizikalnya, iaitu:
·
Masjid Al-Umm adalah Pusat
Pengajian dan Pentadbiran bagi Jami`ah Al-Umm.
·
Surau-surau sekeliling Masjid Al-Umm, Kompleks Pendidikan
Islam dan Dar al-Shifa` menjadi fakulti-fakulti atau sebahagian daripadanya
menjadi jabatan-jabatan bagi fakulti-fakulti tertentu.
·
Empat sekolah adalah kekal dengan
status sebagai sekolah menengah dan rendah Bandar Baru Bangi. Tetapi sebaiknya
sekolah menengah dijadikan sekolah terpilih yang lulusan darinya dapat
menyambung pengajian ke Jami`ah Al-Umm dan universiti-universiti lain.
Rundingan dengan Kementerian Pendidikan dan negeri perlu di adakan, supaya
pihak Jami`ah Al-Umm dapat memberi perhatian sama bagi meningkatkan prestasi
sekolah-sekolah berkenaan yang berada di Wadi Ilmu, Bangi Bandar Ilmu.
Dari segi fizikal juga, bahawa kediaman bagi
pelajar-pelajar boleh diusahakan oleh Jami`ah Al-Umm menyewa rumah-rumah
berdekatan dengan kampus terbuka, atau para pelajar mengusahakan sendiri bagi
mendapat kediaman. Untuk jangka panjang Jami`ah Al-Umm perlu mempunyai
rumah-rumah di sekitar Bangi bagi menjadikan asrama di samping menjadikannya
aset bagi Jami`ah Al-Umm.
Sebagaimana disebutkan bahawa pada peringkat
permulaan Jami`ah Al-Umm tidak berhasrat mengambil pelajar dalam jumlah yang
ramai. Setelah beroperasi dengan baik mungkin jumlah yang ideal adalah 150
orang sahaja.
50 orang bagi peringkat diploma
80 orang bagi ijazah pertama
15
orang bagi peringkat sarjana
5 orang bagi peringkat doktor falsafah
Adapun tenaga pengajar dan pentadbir adalah
dari bekas-bekas tenaga pengajar yang bertaraf profesor dan pentadbir yang
banyak terdapat di Bandar Baru Bangi yang diharap mereka akan dapat berkhidmat
di Jami`ah Al-Umm sebagai tenaga akademik dan pentadbir, kalau pun tidak
sepenuh masa adalah sebagai sambilan.
Pengajian tidak semestinya berlangsung secara
serentak bagi semua peringkat. Memandangkan kemudahan-kemudahan belum cukup,
maka pengajian boleh bermula bagi tahap diploma, namun jika ada kemampuan, maka
peringkat-peringkat yang lebih tinggi dapat dijalankan
Skop dan ruanglingkup pengajian yang
ditumpukan oleh Jami` Al-Umm adalah;
!) Falsafah
Dan Turath Islam Memperkasa Peradaban
2). Menjana
Ekonomi Islam
3) Sains
Dan Pembangunan Ummah
4)
Perundangan Dan Islam Mensejahterakan
5) Kemanusiaan
Dan Kesejagatan Islam
Dari skop dan ruanglingkup keilmuan di atas
diolah sebagai pecahan keilmuan-keilmuan yang diajar pada semua peringkat.
Tidak dapat dinafikan, bahawa bagi peringkat permulaan
banyak kekurangan yang dihadapi oleh Jami`ah Al-Umm. Kekurangan dari segi
fizikal, tenaga pengajar, perpustakaan juga dari segi kewangan, sebab itu
operasinya perlu bersifat bertahap. Antaranya perlu mendapat kerjasama dari
pengajian-pengajian tinggi yang ada di Bangi dan di sekeliling bandar tersebut.
Antaranya tentulah mendapat tunjangan dari pihak pemerintah dan derma dari para
dermawan bagi menggerakkan kemajuan Jami`ah Al-Umm yang dihasratkan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment