Tahap dua pengajian bagi mengimarahkan Masjid
Al-Umm ialah dengan mengadakan pengajian yang bersifat formal, khusus dan
diikuti oleh golongan atau kelompok khusus, mempunyai kandungan pengajian
tersendiri yang kurikulum dirangka bagi tujuan-tujuan pengajian khusus
berkenaan. Perlaksanaannya lebih kemudian dari peringkat pertama - Pengajian bersifat Fardu dan Asas. Ruangnya
masih menggunakan ruang dan kemudahan Masjid Al-Umm.
Pengajian pada Tahap Dua ialah:
1. Pengajian Tahfiz
2. Pengajian Ala Pondok Moden
3. Pengajian berpakej
1) Pengajian Tahfiz
Adalah menjadi hasrat Masjid Al-Umm untuk
membuka Pengajian Tahfiz. Sebagai buktinya bahawa dalam plan pembinaan Masjid
Al-Umm terdapat bilik khas pada aras
satu (tingkat tiga) bagi bangunan tersebut. Namun pertanyaan yang timbul,
adakah pihak Masjid Al-Umm akan mengadakan pengajian lengkap sebagai Ma`had
Tahfiz ? Bermaksud ianya sebagai sebuah madrasah khas dan lengkap dengan
kurikulum dan matapelajaran-matapelajaran dan guru-guru. Manakala pelajar-pelajar
yang keluar dengan sijil diktiraf dan keluaran layak untuk menyambung pengajian
ke institusi-institusi pengajian yang selari dengannya. Contoh sebagaimana
Ma`had Tahfiz, Kuala Kubu Baru yang mutakhir akan ditingkatkan kepada tahap
universiti.
Bagi mengadakan Ma`had Tahfiz yang lengkap
sebagai sebuah madarasah atau ma`had tahfiz yang sempurna yang akan
mengeluarkan sijil yang diktiraf, boleh memohon pekerjaan atau melanjutkan pelajaran maka pihak masjid tidak mempunyai kemampuan,
sekurang-kurang buat masa ini. Satu cara ialah dengan mengadakan `Kelas Tahfiz`
terhad. Bermaksud Masjid bekerjasama dengan sekolah rendah dan menengah yang
berdekatan dengan Masjid Al-Umm dan juga
boleh diperluaskan kepada Sekolah Agama Integrasi dan Sekolah Hamidiah yang kedudukannya tidak
berapa jauh dari Masjid Al-Umm. Pembukaan kelas Tahfiz adalah dengan mengambil
pelajar secara terhad yang jumlahnya dalam lingkungan belasan orang sahaja.
Pihak masjid boleh berunding dengan
pihak sekolah baik pada peringkat rendah
(paling baik) atau menengah menawarkan kepada pelajar berkelayakan dan
bersesuaian dua tempat dari satu sekolah atau dari luar bagi memasuki Kelas
Tahfiz. Pelajar-pelajar berkenaan sebaiknya tinggal di asrama yang disediakan
oleh masjid. Tetapi pelajar-pelajar berkenaan mereka terus belajar di sekolah
masing-masing. Dalam kata lain pihak
Masjid Al-Umm menyediakan guru tahfis yang berkelayakan yang mengendalikan
pengajian tahfiz kepada pelajar-pelajar berkenaan menurut jadual waktu yang
ditentukan. Semasa tinggal di asrama masjid, mereka dilatih menjadi imam dan
bilal serta bertilawah Al-Qur`an pada masa-masa bersesuaian. Bagi pelajar-pelajar
tahfiz yang dididik oleh Masjid dan berjaya menghafal Al-Qur`an akan diusahakan oleh Masjid untuk
menyambung pengajian tinggi di dalam jurusan yang bersesuaian. Antara mereka
mungkin akan berkhidmat di masjid atau di bahagian-bahagian lain yang
bersesuaian.
2. Pengajian Ala Pondok Moden
Pengajian pada tahap ini dicadangkan, ialah
bagi memenuhi keperluan bagi kalangan mereka yang telah bersara dari
kerja-kerja rasmi dan mempunyai masa yang tak dapat diisi dan masih di dalam
suasana kesihatan yang baik, di dalam hal ini sewajarnya ianya diisi dengan
pengajian agama dalam maksud pengajian keilmuan Islam. Bagi yang umur sedemikian yang lebih cenderung
kepada ibadat, dengan cara kehidupan ala
pondok, maka pengajian bukan lagi bertujuan untuk mencari kedudukan di dalam
pekerjaan dan pangkat, maka pengajian ala pondok ini adalah lebih ideal,
lantaran pengajian di masjid ala pondok, memungkin mereka lebih banyak
menumpukan perhatian untuk beribadat dan pengajian bagi lebih memahami
soal-soal Islam, khususnya aspek beribadat membantu diri lebih menyempurnakan
diri bagi menjalankan amal ibadat serentak dengan memahami aspek-aspek
keislaman dengan lebih mendalam. Walaupun pengajian ala pondok moden ini lebih
ditujukan kepada mereka yang sudah bersara dan mereka yang sudah lanjut usia –
warga emas, tetapi tidak menghalang dari kalangan mereka yang dari golongan
yang lain bagi mengikutinya. Lantaran pengajian pondok adalah pengajian yang boleh
diikuti oleh pelbagai peringkat umur. Bagi mereka yang pernah melawat sesebuah
pengajian pondok tradisional yang masih terdapat di Kelantan, Kedah dan
beberapa negeri yang lain, mereka dapat melihat konsep pengajian sedemikian
adalah berpaksikan masjid atau surau, atau balai atau madrasah yang berada di
tengah-tengah pusat pengajian pondok. Manakala pondok-pondok mengambil tempat
dan didirikan keliling dari bangunan masjid berkenaan. Ianya sebagai `Kiblat`
bagi pusat pengajian. Selain dari pondok-pondok, maka terdapat rumah Tuk Guru
dan pembantu-pembantunya pada bahagian sedikit jauh dari pondok-pondok.
Pengajian berkenaan mempunyai pengajian keagamaan terutama seperti Al-Qur`an,
Hadith, `aqidah, fiqh, tasawuf, nahu, saraf, mantiq, balaghah dengan kitab-kitab
di dalam bidang-bidang keilmuan tersebut. Keilmuan-keilmuan tersebut diajar
oleh Tuan Guru utama dan guru-guru pembantu. Pengajian adalah bertempat di
masjid atau madrasah dan biasanya mengiringi waktu-waktu solat dengan tambahan
dan intensif pada waktu-waktu pengajian sebelah pagi dan sebelah petang. Mereka
yang mengaji ini berdikari mengurus kehidupan diri dengan memasak sendiri di
pondok-pondok masing-masing. Suami isteri bersara juga boleh sama mengikuti
pengajian. Maksimam bagi satu pondok dihuni dua orang, tetapi pada kebiasaan
satu pondok adalah satu orang. Sumber kewangan bagi mereka ialah dari
peruntukan dari orang tua atau sendiri, tetapi kebiasaan juga mereka berdikari dari mendapat derma dan hasil kerja-kerja sambilan yang tidak mengganggu
pembelajaran mereka.
Di dalam konteks pengajian pondok moden di
Masjid Al-Umm, maka format dan susun atur sebagaimana format dan susun atur pondok tradisi,
tentulah tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya. Namun semangat dan tujuan
pengajian pondok tradisi itu dapat dipadankan secara terhad dan merupakan
penambahbaikan dapat dilakukan. Ada beberapa halangan yang tidak dapat
diaplikasikan sepenuhnya aspek dan ciri pondok tradisi kepada pondok moden.
Halangan utama ialah ruang tanah tidak ada bagi mendirikan pondok-pondok kecil
keliling masjid. Sifat sedemikian tidak sesuai bagi ciri keselamatan
diakibatkan oleh kebakaran dan dari segi pandangan. Tetapi hal ini dapat di
atasi dengan mengadakan rumah asrama – antaranya disewa bagi menempatkan mereka
dalam kawasan berdekatan dengan masjid. Mereka tidak perlu berdikari memasak
sendiri, tetapi adanya kantin untuk mereka makan bagi waktu-waktu tertentu. Ini
adalah bagi pengaji-pengaji yang datang dari luar dan jauh, tetapi bagi
penduduk setempat yang tinggal bersama keluarga dan meminati pengajian
sedemikian, mereka boleh datang dari rumah mereka dan pulang pada waktu-waktu
tertentu sahaja.
Kurikulum bagi pengajian ala pondok moden ini,
adalah berdasarkan bidang-bidang pengajian agama yang memang terkenal selama
ini termasuk pemilihan kitab-kitab, tetapi bahan pengajaran seharusnya disertai
dengan pengajian dan bahan-bahan pengajian yang semasa. Misalnya kitab-kitab
pengajian di dalam banyak bidang yang dikarang oleh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, Dr.
Al-Zuhaily di dalam bidang tafsir, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman di dalam bidang
fiqh dan ekonomi Islam, Dr. Zulkifli Abu Bakar di dalam bidang tasawuf,
begitulah sebagai contoh di dalam bidang-bidang yang lain. Pendek kata selain
dari menggunakan kitab-kitab turath yang diwarisi seperti kitab Sabil al-Muhtadin
oleh Syeikh Muhammad Arshad al-Banjari, atau Sharh Hikam Melayu oleh Tuk Pulau
Manis, Sayr al-Salikin oleh Syeikh Abdul Samad al-Falimbani hendaklah juga
menggunakan buku-buku keilmuan semasa seperti Ekonomi Islam, Keluarga Islam,
Perusahaan Kecil, Panduan Kesihatan dan berbagai-bagai lagi.
Jadi bagi mewujudkan pengajian ala pondok
moden ini perlu ada kurikulum terpilih dan bersesuaian dengan keadaan pengaji
dan suasana pembelajaran. Ada guru-guru berkelayakan, ada pengaji-pengaji yang
komited dengan pengajian, mereka diberi perhatian dari segi makan minum dan
diberi perhatian dari segi kesihatan dan kebajikan mereka. Seharusnya ada
kerjasama dan bantuan dari pihak berkuasa, pihak masjid mempunyai waqaf dan
aset harta, di samping mendapat derma kewangan
dan bantuan kebajikan dari orang ramai.
Sekian.
No comments:
Post a Comment