Surah ke 20 ini diturun di Makkah, Mengandungi
135 ayat.
Sebagaimana dimaklum semasa Rasulullah s.a.w.
mendakwah agama Islam kepada kaumnya – Kaum Quraisy, Baginda mendapat tentangan
yang hebat. Antara penentang yang paling kuat ialah Abu Jahal dan Umar Ibn
al-Khattab. Penyebaran Islam pada peringkat awal ialah dengan cara
sembunyi-sembunyi untuk mengelak dari penentangan langsung dari musuh-musuh
Islam. Antaranya dilakukan secara senyap-senyap di rumah-rumah seperti di rumah
Al-Arqam bin Abi Al-Arqam dan di rumah mereka yang menerima Islam.
Antara episod dakwah yang menarik, iaitu
kira-kira tujuh tahun sebelum Hijrah, sebagaimana diriwayatkan oleh Ibn Hisham
dalam karya sejarahnya, iaitu Sirah Ibn Hisham (Al-Qur`an al-Karim Terjemahan
Dan Huraian Maksud, Jilid 3, Diusahakan oleh `Uthman El-Muhammady (Terjemah
Tafsir), Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1993: 1489), juga diriwayatkan
oleh Al-Daruqutni di dalam Musnadnya
yang diterima sanadnya daripada Anas bin Malik r.a. dan juga ditulis oleh Ibn
Ishaq di dalam Kitabnya Sirah Ibn Ishaq sebagai Kitab Sirah atau Sejarah Islam terawal
dalam Islam, bahawa berita sampai kepada Umar Ibn al-Khattab yang pada
tahun ketujuh sebelum Hijrah masih
merupakan musuh utama dalam Islam, dan beliau dan penentang-penantang dari
Quraisy berusaha menentang Islam, bahkan berusaha untuk membunuh Rasulullah
s.a.w,. Dalam usahanya mencari Rasulullah s.aw. pada satu hari – untuk
membunuhnya ia terserempak dengan Na`im bin Abdullah, lalu Naim bertanya Umar,
``Hendak ke manakah engkau wahai Umar ? Beliau segera menjawab, ``Hendak
mencari musuh aku, iaitu Muhammad !
Orang yang telah belot dari agama nenek moyang kita !`` Secara sinis Naim
menjawab, ``Engkau sepatutnya mengurus
kaum keluargamu sendiri``. Umar terkejut dengan kata-kata Naim dan bertanya,
``Apa maksudmu ?``
Naim memberitahunya, bahawa adiknya Fatimah
Binti Al-Khattab bersama suaminya – adik iparnya, dan bapa saudaranya Said bin
Zaid telah masuk Islam ! Mendengar berita yang mengejutkan itu, makin bangkitlah
kemarahannya, maka Umar yang garang itu dengan pedangnya terhunus, segera mencari mereka untuk menghukum mereka.
Umar membuat keputusan menuju ke rumah suami
adiknya. Pada masa itu terdapat bersama yang datang mempelajari agama Islam
ialah Khabbab bin al-Arathi. Umar dikatakan memukul adik dan suaminya hingga
berdarah, sedang Khabbab pada masa itu bersembunyi. Pada masa itu Umar merampas
helaian surah yang dibaca oleh mereka. Iaitu Surah Taha. Umar yang memang salah
seorang dari pembesar-pembesar Quraisy yang pandai membaca tertegun dengan
keindahan kata yang bermula dengan `Taha`, kata anih yang belum diketahui atau
didengar sebelum itu dan juga kandungan ayat-ayat berikut, sebagaimana maksud
di dalam Al-Qur`an:
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi
Mengasihani
Taha.
Kami tidak menurunkan Al-Qur`an kepadamu,
(wahai Muhammad), supaya engkau menanggung kesusahan.
Hanya untuk menjadi peringatan bagi
orang-orang yang takut melanggar perintah Allah
(Al-Qur`an) itu diturunkan dari Tuhan yang
menciptakan bumi dan langit yang tinggi
Iaitu (Allah) Al-Rahman yang bersemayam di
atas `Arasy
Dialah jua yang memiliki segala yang ada di
langit, dan yang ada dibumi, serta yang ada di antara keduanya, dan juga yang
ada di bawah tanah di perut bumi
Dan jika engkau menyaringkan suara dengan doa
permohonanmu, maka yang demikian tidaklah perlu., Kerana sesungguhnya Allah mengetahui
segala rahsia dan segala yang tersembunyi
Allah tiada Tuhan yang berhak disembah
melainkan Dia. Baginyalah segala nama yang baik.`` (20.1-8).
Menurut satu maklumat yang lain, ketika Umar
tiba di rumah adiknya, tanpa diketahui mereka, Umar mendengar mereka secara
jamaah mempelajari Al-Qur`an. Fatimah adik Umar sendiri pada masa ketibaannya
sedang mentartil bacaan Surah Taha. Umar seorang tokoh bahasa dan mahir
berpuisi amat memahami soal bahasa dan sastera Arab sebagaimana Al-Mughirah,
Labid dan Hassan bin Thabit. Beliau sendiri banyak menggubah puisi (bersifat
jahiliyyah). Mendengar kemerduan dan keindahan ungkapan bahasa Al-Qur`an menerusi
Surah Taha itu, beliau terpegun dan kagum, lantaran belum pernah beliau mendengar
bahasa seindah Qur`an dan merdu dengan ungkapan. Kata Taha sendiri
mengejutkannya dan ingin benar untuk mengetahui apa maksud gerangan. Serentak
dengan itu kemarahan beliau terhadap adiknya dan terhadap mereka yang sedang
mempelajari Al-Qur`an mendadak hilang. Dadanya seolah-olah mulai disuluh dengan
nur iman. Umar sendiri dikatakan mendapat cebisan naskhah yang dibaca mereka
dan menelitinya dengan penuh keasyikan.
Sesungguhnya doa Rasulullah s.a.w. dikabul
Allah. Lantaran Rasulullah pernah berdoa memohon dari Allah agar membuka hati
pemimpin Quraisy sama ada Abu Jahal atau Umar Ibn al-Khattab menerima Islam
yang dengannya dapat mengukuhkan dakwah keislaman. Umar diberi rahmat dan
hidayat menerima Islam, melalui peristiwa yang paling baik dan berkat, tidak
lain dari mendengar dan membaca keindahan dan keistimewaan kandungan Al-Qur`an.
Benarlah cabaran Al-Qur`an yang bermaksud:
``Dan jika kamu ragu dengan apa yang Kami
turunkan ke atas Hamba Kami (Muhammad), maka kemukakanlah satu surah
seumpamanya dan jemputlah saksi-saksi berwibawa , selain daripada Allah,
sekiranya kamu adalah mereka yang bersifat benar``. (Al-Baqarah: 23).
Apa maksud Taha ?
Tiada siapa mengetahui maksud sebenarnya,
melainkan Allah. Ia merupakan salah satu mu`jizat.
Surah Taha sebagaimana Yasin, ada yang
mengaitkan maksud kepada Rasulullah sendiri, sebagaimana nama baginya. Lantaran
itu Taha dan Yasin menjadi nama bagi kalangan orang Islam sebagai mengambil keindahan dan keberkatan dari ayat-ayat
Al-Qur`an itu sendiri.
Sekian.
No comments:
Post a Comment