Termasuk di bawah perkembangan pengajian pada
tahap dua ialah pengajian berpakej.
Maksud pengajian berpakej, bahawa Masjid
Al-Umm menyediakan satu anjuran kursus pengajian dalam masa terhad. Contoh
dalam tempoh tiga hari, seminggu atau sebulan. Di dalam kursus yang diadakan
ini diisikan dengan keilmuan-keilmuan secara berfokus bagi mencapai objektif
yang digariskan. Sasaran peserta kepada kelompok tertentu, misalnya dari
institusi tertentu yang mungkin dibiayai oleh institusi berkenaan, agar peserta
memahami kursus yang dianjurkan. Bagi menjayakan pengajian berpakej ini, pihak
penganjur – masjid, menyediakan modul-modul kursus, misalnya dengan sejumlah
kertaskerja yang dihasil dan disampaikan oleh mereka yang pakar di dalam
bidang-bidang keilmuan yang terkandung dalam pakej keilmuan berkenaan. Di dalam
pengajian berpakej berkenaan ada disertakan secara praktik amal ibadat, forum, bengkel, ceramah,
soal jawab dan juga jawapan-jawapan bertulis dari peserta sebagai penilaian.
Pengajian berpakeg boleh bersifat dalaman dan
luaran.
Pengajian Pakeg Dalaman.
Bermaksud masjid menyediakan modul lengkap
bagi menganjurkan pengajian atau boleh dinamakan sebagai kursus yang melibatkan
peringkat-peringkat tertentu. Misalnya bagi kalangan ilmuan, pelajar-pelajar
sekolah, bagi kalangan muslimat (wanita), muslimin dan muslimat.
Pakej bagi kalangan Ilmuan ini bermaksud pihak
masjid berusaha mengadakan pakej kursus yang bersifat tinggi yang dihadiri oleh
kalangan ilmuan tempatan dan institusi-institusi dari luar misalnya bersifat
konsep konvensyen, seminar, muzakarah dan sebagainya membincangkan topik
menarik semasa seperti `Ancaman Terhadap Akidah dari NGO Liberal Sekular`, `Sistem
Ekonomi Islam: Cabaran`, `Malaysia Sebagai Hub Halal dan Haram: Sejauhmanakah
Kemampuan ?`. Masjid Al-Umm menjadi tempat berwacana dengan peserta-peserta
adalah datang dari dalam dan luar dan bagi mereka dibekalkan senarai
hotel-hotel penginapan terdekat dalam tempoh beberapa hari seminar. Seminar
diisi dengan kertas-kertaskerja oleh tokoh-tokoh ilmuan terkenal tanah air dan
kemungkinan dijemput khusus dari luar.
Pakej kursus yang bernama konvensyen, seminar
atau muzakarah sedemikian dibuat hanya sekali sekali yang mungkin bersifat
tahunan atau dwi-tahunan, tetapi topiknya hendaklah menarik dan menyentuh isu
semasa. Topik-topik di atas sememangnya besar dan mencabar, bahkan ianya
bersifat nasional, bahkan umat sejagat, tetapi adalah penting bagi kefahaman
dan pengluasan keilmuan dalam bidang-bidang berkenaan. Pakej keilmuan yang
sedemikian dapat memberi peluang bagi masjid mendapat lertas-kertaskerja dan rumusan
perbincangan-perbincangan bersifat ilmiah yang kemudian dapat diterbitkan di
atas nama masjid, jadi masjid berperanan di dalam melebarkluaskan
keilmuan-keilmuan Islam yang bersifat semasa.
Konvensyen, seminar dan muzakarah yang lebih
kecil dan bersifat nasional dan tempatan yang lain dapat diadakan bagi menjana
keilmuan dari semasa ke masa. Contoh yang terbaik bagi peringkat sekolah, ialah
kursus bagi pelajar-pelajar sekolah selama katakan seminggu dari masa tempoh
mereka menghadapi cuti panjang sekolah dari November hingga Disember bagi
satu-satu tahun. Bagi mengisi masa lapang mereka agar mereka tidak lalai pihak
masjid misalnya menyediakan pakeg `Pendidikan Islam` bagi satu kumpulan pelajar
bagi tempoh seminggu yang di dalamnya diisi dengan kursus membaca Al-Qur`an,
memperbaiki solat dan lain-lain ibadat, memahami akidah dan meningkat kesedaran
akhlak. Kursus berpakeg ini disampaikan oleh guru-guru terlatih, pakar motivasi
dan disertakan dengan kegiatan sukan dan rekreasi. Kursus bersifat kemahiran
dan seni juga dapat dianjurkan dalam tempoh terhad ialah seperti `Menulis Khat
dan Jawi` atau `Kursus Tarannum` sebagai satu pakej yang ditawarkan. Pakeg ini
boleh dianjurkan juga kepada kumpulan-kumpulan yang lain dalam masa baki tutup
persekolahan. Bagi kumpulan remaja pula masjid boleh menganjurkan kursus
perkahwinan mengikut kurikulum yang disediakan oleh JAIS, bahkan pihak masjid
boleh berusaha mendapat pengiktirafan dari JAIS bagi menganjurkan kursus pakej
perkahwinan ini dari masa ke masa.
Untuk kalangan muslimat pula pihak masjid
dengan kerjasama jawatankuasa muslimat mengadakan pakej kursus `Keluarga
Bahagia` yang diisi misalnya dengan Mu`asharah dalam keluarga Islam, Ibadat
dalam keluarga, Kursus masakan, Asas-asas jahitan, Kaedah mendidik anak, Adab
dan akhlak kekeluargaan`. Kursus ini
diisi dengan kurikulum yang menarik dan disampaikan oleh guru-guru berkemahiran
bagi setiap pelajaran. Kursus ini dapat dianjurkan berulang kali bagi kelompok
berlainan dan penambahan baikan kandungan dilakukan bagi kandungan kursus dari
masa ke masa. Kursus juga diadakan melibatkan kalangan kalangan remaja lelaki
dan perempuan ialah mengenai misalnya, tentang kerjaya, menjadi usahawan muda,
menghasilkan produk halal dan haram. Bagi bidang sedemikian mungkin antara tenaga
pengajar dijemput dari institusi-institusi berkenaan.
Satu contoh yang baik untuk kepentingan ramai ialah menganjurkan pakej kursus Haji, maka pakej
bagi kursus Haji ini dapat dianjurkan oleh masjid dengan mendapat keizinan dan
pengiktirafan dari Tabung Haji dan JAIS. Pihak Masjid boleh mengadakan kursus
ini secara ulangan bagi setiap tahun bagi mereka yang hendak menunaikan haji
atau umrah. Tenaga pengajar dilatih khas oleh pihak masjid di samping menjemput
guru-guru yang diiktiraf oleh pihak Tabung Haji dan JAIS.
Di samping pakej-pakej di atas pihak masjid
boleh mengadakan pakej pengajian secara kecil-kecilan seperti pengajian Al-Qur`an
Bertajwid, Kursus mengurus jenazah dan sebagainya.
Apa yang dibicarakan bahawa pakej bagi kursus-kursus
di atas adalah bersifat dalaman, bermaksud semua kegiatan dilakukan di masjid
dengan peserta-peserta tempatan atau luar datang mengikuti pakej kursus di atas
di masjid dan dikendalikan oleh pihak masjid.
Satu cara lagi pengajian berpakej luaran iaitu
dengan membawa pakej bagi kursus keilmuan keluar dari kawasan masjid yang
antaranya bersifat kreasi seperti melalui kerjasama ibu bapa dan pihak sekolah
masjid menjalankan kursus intensif ibadat ke kawasan rekreasi di musim cuti
sekolah seperti ke kawasan hutan lipur, ke kawasan-kawasan inap di tepi pantai.
Cara sedemikian lebih sesuai bagi pelajar-pelajar sekolah, di samping
menyampaikan keilmuan agama dan praktis ibadat, pelajar-pelajar yang aktif ini
melibatkan diri dalam sukan dan kegiatan fizikal yang bersesuaian.
Satu cara bagi pakej yang dibawa keluar ialah
menawarkan kursus berpakej kepada pihak-jabatan-jabatan dan institusi-institusi
tertentu di tempat mereka bagi mengikuti kursus, katakan mengenai pakej Ibadat,
halal dan haram dan sebagainya yang pihak masjid menyampaikan kursus menurut
modul yang sedemikian dalam tempoh sehari atau separuh hari dan sebagainya.
Demikianlah berbagai pakej yang sesuai
dilibatkan oleh masjid dengan tujuan untuk berdakwah dan menyibarkan ilmu-ilmu
keislaman di samping mendapat pulangan bagi masjid meneruskan kegiatannya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment