Salah satu bidang yang penting bagi
pengimarahan Masjid Al-Umm ialah menjalankan kegiatan keilmuan. Apalagi hasrat
mau menjadikan Masjid Al-Umm Pusat Kecemerlangan Ilmu di Bangi Bandar Ilmu.
Sebagaimana disebutkan antara perkara yang dibincangkan di dalam pertemuan
antara imam-imam, guru-guru, muslimat-muslimat dan yang lain ialah mendapatkan
guru-guru yang berkelayakan dan bersesuaian dengan keilmuan yang mau diajar di
Masjid Al-Umm.
Sebagaimana telah disebutkan persediaan ke
arah mengimarahkan masjid, khususnya di dalam bidang pendidikan telah diadakan
dua kali bengkel iaitu, Bengkel Merancang Dan Mengimarahkan Masjid Al-Umm pada
26 Zulkaedah 1435 = 21 September 2014 dan Bengkel Penentuan Dan Penulisan
Program Pengimarahn Masjid Al-Umm pada 03 Rabiul Akhir 1436 = 24 Januari 2015
yang kedua-duanya diadakan di Hotel Puri Pujangga, UKM.
Memikirkan wajar ada bahan maklumat dan
panduan bagi Imam-imam, guru-guru, para muslimat dan yang lain-lain, maka
bagi tujuan demikian Penulis selaku
Pengerusi Pembangunan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm mengambil inisiatif
menerbitkan kertaskerja `Pengajian Di Masjid Al-Umm: Cadangan` yang Penulis
sendiri hasilkan dan bentangkan dalam seminar pertama di atas. Penerbitan adalah
secara rasmi di bawah Lesen Penerbitan Sekretariat Bangi Bandar Ilmu. Buku
kecil yang siap sehari sebelum Majlis Pertemuan Dengan Imam, Guru dan Muslimat`
dapat diedarkan kepada peserta-peserta pada pagi 8 Disember 2015 tersebut. Dengan buku ini
peserta-peserta yang hadir dapat gambaran awal tentang keperluan-keperluan bagi
pengimarahan peringkat awal di Masjid Al-Umm, khususnya imam, bilal, siak,
guru, keperluan tenaga muslimat dan keperluan-keperluan yang lain dalam kadar
segera.
Dalam buku kecil ini membentangkan secara
ringkas tentang pembangunan dan pengimarahan Masjid Al-Umm – Termasuk dari segi
perkembangan pendidikan dan keilmuan. Pengajian di Masjid Al-Umm adalah
mendukung visi dan misi masjid sebagai pusat ibadat dan keilmuan di Wadi Ilmu
di Bangi Bandar Ilmu. Jika pembangunan fizikal Masjid Al-Umm terbahagi kepada
tiga peringkat – Pertama Pembangunan fizikal masjid, kedua pembangunan fizikal
Rumah Imam dan Asrama dan ketiga untuk jangka panjang pembangunan fizikal
bangunan pentadbiran dan Perkuliahan (Dar al-Ilmi Masjid), maka dari segi
perkembangan pengajian juga terbahagi kepada tiga tahap
1. Tahap Pemantapan Keilmuan Fardu Dan Asas
Tahap ini amat penting dan inilah fungsi utama
masjid terhadap masayarakat umat kelilingnya. Masjid sebagai institusi
masyarakat adalah memberi ruang dan khidmat kepada semua generasi masyarakat
setempat, mulai dari anak pra-sekolah membawa anak-anak sekolah, golongan
belia, orang tua lelaki dan perempuan. Secara imaginasi di anjung masjid
ternampak ustaz lelaki mengajar anak-anak lelaki mengenal huruf dan membaca
muqaddam, demikian pada bahagian yang lain, mungkin pada masa yang lain
anak-anak perempuan pula diajar oleh ustazah juga mengenal huruf dan juga membaca
muqaddam, manakala anak-anak lelaki pada waktu selepas atau sebelum ke sekolah
mengaji Qur`an yang lelaki dengan ustaz lelaki dan yang perempuan dengan ustazah
perempuan.
Manakala pada waktu-waktu mengiringi solat
fardu juga ada pembacaan tazkirah dan tadabbur dari ayat Al-Qur`an dan juga
Hadith. Pada waktu selepas Maghrib hingga Isya` para jamaah mengikuti pengajian
menurut ilmu-ilmu disampaikan oleh guru-guru yang berkemahiran di dalam bidang
masing-masing. Manakala pada hujung minggu pengajian lebih rancak lagi
dipelajari dan diikuti pengajaran oleh ramai pengaji-pengaji dari kalangan lelaki dan perempuan
Manakala bagi kalangan muslimat pula, selain
dari mengikuti pengajian bersama lelaki dan muslimat bagi pelajaran tertentu,
mereka juga mempunyai jadual khusus bagi pengajian muslimat.
Bagi menjadikan pengajian lebih teratur, maka
dipilih keilmuan-keilmuan yang sesuai untuk diajar di masjid dan dapat diikuti
oleh ramai. Di dalam buku `Pengajian di Masjid Al-Umm: Cadangan` disusun
keilmuan yang dicadang untuk diajar di Masjid Al-Umm dengan jadual yang sesuai.
Pengajian yang dicadang dan memang menjadi keilmuan fardu dan asas yang
dipelajari di masjid-masjid ialah Al-Qur`an dan Tajwid, `Aqidah, Fiqh, Tafsir,
Hadith, Tasawuf, Sirah, Ekonomi Islam (sebagai matapelajaran yang baru), bahasa
Arab (juga Melayu dan Inggeris), dan Seni (Khat, Tarannum, Nasyid,, marhaban
dan lain-lain). Matapelajaran-matapelajaran berkenaan dapat diatur sepanjang
seminggu mengikut kesesuaian dengan masa guru. Di dalam buku `Pengajian Di Masjid
Al-Umm: Cadangan) diatur jadual waktu bagi semua pelajaran, tetapi boleh diubah
mengikut keperluan dan kesesuaian.
Di dalam buku `Pengajian Di Masjid Al-Umm:
Cadangan`` bagi setiap mata pelajaran ada penerangan tentang kandungan bagi
sesuatu bidang ilmu, iaitu sebagai kurikulum ringkas. Selepas itu disenarai
kitab-kitab atau buku-buku panduan, iaitu antara 7 hingga 10 buah dan dibuat
cadangan antara dua atau tiga buah untuk dijadikan sebagai teks pengajara, Buku
panduan adalah buku-buku yang seharusnya dibaca dan dijadikan rujukan dan bahan
tambahan bagi guru, pengaji-pengaji juga boleh merujuk kitab-kitab yang
dijadikan bahan panduan dan buku teks cadangan. Buku-buku dan kitab-kitab yang
dicadang bagi rujukan dan bagi teks ini hendaklah ada dalam perpustakaan masjid
yang boleh dirujuk mereka yang mengaji dan kalau boleh sebahagian kitab-kitab
berkenaan turut dimiliki oleh pengaji-pengaji. Guru seharusnya mengajar
berasaskan kitab dan pengaji juga menadah atau mengaji berdasarkan kitab.
Dengan adanya kurikulum bagi setiap bidang
keilmuan dan adanya kitab-kitab utama yang digunakan di samping kitab-kitab
atau buku-buku tambahan untuk dirujukkan, maka rangka keilmuan menjadi jelas,
guru dan pengaji juga dapat mengikuti perkembangan secara bertahap dan
berkembang secara teratur. Dengan adanya kurikulum dan kitab mudah dirujuk bagi
persoalan-persoalan yang dibangkitkan. Andainya pengajian tersebut disambung
oleh guru yang lain, lantaran guru asal tidak dapat meneruskan pengajian, maka
dengan adanya kurikulum dan kitab penggunaan, maka ianya mudah diteruskan oleh
guru lain. Penambahan juga dapat dilakukan berdasarkan apa yang diajar selama
ini berasaskan kurikulum dan kitab yang digunakan dan jika diadakan penilaian
maka ianya tidak terkeluar dari skop dan ruanglingkup pembelajaran.
Adalah diharapkan dengan tahap keilmuan fardu
dan asas, maka masyarakat setempat adalah celik keilmuan agama dan
mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Hasil dari didikan agama diharap
mereka menjadi masyarakat yang salih yang hati mereka sentiasa terpaut terhadap
masjid. Mereka hidup berjiran tetangga secara harmoni dan damai.
Sekian.
No comments:
Post a Comment