August 28, 2009

Kudus Mesra Ramadhan Memupuk Cinta dan Kasih Sayang



BBB 05 Ramadhan = 26 Ogos:

Kemeriahan Ramadhan amat terasa pada setiap kunjungan ADUN ke surau dan masjid sebagaimana dijadualkan. Surau dan masjid penuh dengan jamaah, lelaki perempuan dan anak-anak. Salawat menggemai surau dan masjid mengiringi sembahyang tarawih, kemudian diikuti moreh beramai-ramai dan tadarrus dari halaqah anak-anak muda dan orang tua. Gotong royung memasak seperti bubur lambuk dilakukan sejak siang, terutama pada hari minggu sebagai juadah berbuka di surau atau masjid itu sendiri, di samping mengagihkannya kepada ahli kariah setempat. Setengah surau dan masjid sebelum tiba Ramadhan mengadakan pertemuan dan gotong royong membersihkan kawasan surau dan masjid seminggu atau lebih awal. Membersih kawasan bertujuan menyambut tamu istimewa, iaitu Ramadhan !



Gambar: ADUN menghadiri petemuan penduduk Seksyen 8 , Fasa 2 pada malam 14 Ogos dan melancarkan program bertempat di River View yang keesokan hari diadakan gotong royong terutama di Sekitar Surau Al-Rahim.


Sesungguhnya aktiviti Ramadhan adalah aktiviti tahunan yang penting bagi ADUN. Sejumlah peruntukan dikhaskan bagi Ramadhan. Kabinet mini Kebajikan dan Kabinet mengenai Masjid dan Surau menyusun program sebulan Ramadhan seperti pengagihan peruntukan kepada surau dan masjid, penyampaian bantuan kepada fakir miskin, ziarah hospital, klinik dan rumah anak yatim untuk menyampaikan bantuan kepada pesakit-pesakit dan mengatur jadual ADUN menziarahi surau masjid berjamaah menyampaikan peruntukan dan bantuan.

Pada dasarnya Ramadhan bulan ibadat, bulan berkat dan bulan rahmat. Ramadhan menawarkan berbagai pekej untuk disambut hamba dan mengamalkannya semampu mungkin dari puasa, berbagai salat, zakat, tadarrus al-Qur`an, sadaqah, tazkirah dan lailatul qadr. Dalam usaha bertaqarrub kepada Allah melalui ibadat-ibadat ini melahirkan budaya-budaya positif seperti memupuk ukhuwwah dan silaturrahim, budaya gotong royong, kasih sayang kepada keluarga dan kembali menziarah keluarga dan orang tua. Ramadhan mencetus rasa kudus, mengagungkan Ilahi dan memupuk masyarakat umat dalam harmoni.

1 comment:

  1. apsal jalan ke kajang teruk sangat? mmbahayakan pgguna

    ReplyDelete