August 11, 2009

Simpati Pada Mat Shah

(A Prose Poetry)

Simpati Pada Mat Shah (Tahanan ISA), Puan Norlaila
Dan Anak Lelaki Mereka Ditangkap Kerana Berdemonstrasi
Menuntut Dimansuhkan ISA dan Dibebaskan Mangsa Tahanan

Bayangkan betapa peritnya kasih cinta sekeluarga dirobek ISA. Sejak Mat Shah ditangkap tanpa bicara, Norlailalah bapa Norlailalah ibunya. Lapan tahun penantian panjang, tanpa noktah keputusan. Bayangkan betapa remuknya hati mereka menanggung beban menggunung gersang. Berapa sudah tumpah mengalir airmata. Tiada hari menjelang melainkan doa dipanjatkan. Desakan-desakan hapuskan ISA mereka sertai dengan harapan direstui, tapi tiada membuahkan hasil, biarpun rakan sesamanya dibebaskan.

Satu Ogos Hari Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) bagi Norlaila dan anaknya, hari menyatakan setia kepada seorang suami dan bapa, hari menyatakan cinta bagi mereka berdua kepada yang dikasihi, bahkan hari melahirkan gigihjiwa dan cekalwaja menghadapi ujian. Kontras dari itu terhadap Yang Berkuasa mengekalkan ISA adalah hari bagi mereka berdua menyatakan protes, hari melahirkan kebencian dan hari mempamerkan penentangan. Lantaran itu ibu dua beranak itu tidak teragak-agak menepis segala larangan dan menginjak segala sekatan demi membawa misi menyertai demonstrasi. Mereka bersama ombak manusia bergerak ke kota. Kini peluh mengganti air mata, semangat memalapkan duka, cekal mengatasi kecewa. Betapa manisnya ingatan pada suami dan bapa, mereka dengannya bagai bersama. Suami dan bapa ! Ini kami setia, kami membela dan kami mara. Amaran bagai suruhan, tembakan bagai genderang dan pancutan memedih tubuh dan mengalirkan airmata tidak seasli dan sepedih mengalirnya air mata mengingati suami dan bapa. Lantaran itu mereka mara dan mara bersama ombak manusia hingga tertangkap yang berkuasa berdepan Sogo. Berkata hati kecil mereka sampai jua hajat merasai sekelumit derita suami dan bapa tatkala diseret bagi penangkapan, disoal siasat berpanjangan dan dihumban dalam tahanan berlamaan.

II

Tragedi Mat Shah-Norlaila dan anak mereka sekelumit dari tragedi-tragedi ISA. Di sana dalam masa setengah abad ISA bermaharajalela ribuan tragedi menyayat hati berlaku, melebihi 10,000 ditahan tanpa bicara. Menuntut korban darah dan air mata, bahkan nyawa dan jiwa raga. Ada pemimpin maut dari kesan penyiksaan, ada yang masa depan dimalapkan, ada yang ditumbuk diseksa mendekati pembunuhan, ada yang dipurakperanda dan berlaku keruntuhan keluarga dan rumahtangga. Betapa anak-anak terbiar tanpa pembelaan, terbakar dalam dendam dan tersula dalam duka. Mangsa ISA adalah tragedi kemanusiaan, tragedi kerakusan dan tragedi kezaliman ! Mereka adalah saudara kita, mereka adalah tetangga dan mereka keluarga manusia. Lantaran itu seksa mereka seksa kita, duka mereka duka kita dan kecewa mereka kecewa kita. Salahkah hati-hati saudara semanusia tersentuh, spontan gugur airmata kasihan, bahkan marah dengan kezaliman hingga membetik di jiwa pembelaan mendorong mereka menterjemahkannya kepada aksi tindakan. Rela mereka dari jauh dan dekat turun menunjuk perasaan dan menerima risiko ditembak peluru gas, dipancut air kimia, dikepung depan belakang, ditangkap dan dimuat ke destinasi interogasi dan mungkin ditahan. Kesemua semata-mata untuk meluahkan penentangan terhadap ISA, menuntut penarikan dan pemansuhan dan simpati kepada mereka yang terkorban, ditahan dan kesan kepada keluarga malang.

III

Mereka yang turun ke lapangan, bukan semata ikutan, tetapi sedar dengan risiko dan peruntukan undang-undang. Mereka adalah penyambung lidah mangsa kezaliman. Mereka cintakan keadilan. Mereka tidak sendirian, tetapi bersama mereka adalah NGO-NGO, SUHAKAM, BAR Association, rakyat kebanyakan dan dunia yang cintakan keamanan dan keadilan . Mereka menuntut dihormati Hak Asasi Manusia Disember 10, 1948 yang menggariskan tiap yang lahir bebas, sama dari segi hak dan kedudukan, tidak seorang sewenang-wenang ditorture, dilakukan kekerasan dan dijatuhkan maruah kemanusiaannya, semua sama berdepan dengan undang-undang dan berhak dilindungi undang-undang, tiada seorang sewenang-wenang ditangkap dan dipenjara, semua berhak dan sama mendapat peluang `Public Hearing` dari badan berkecuali dan tidak berpihak, seseorang adalah tidak bersalah sebelum dibuktikan kesalahannya di mahkamah dan banyak lagi. Di manakah kedudukan dan amalan artikal 10 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan jaminan setiap warganegara Persekutuan bebas bersuara, bebas mengadakan perhimpunan dan berpersatuan ? Dimanakah letaknya perlembagaan minda dan jiwa yang dibekalkan Tuhan di dalam otak yang seharusnya rasional dan di dalam dada yang seharusnya tersentuh rasa kemanusiaan dan kasih sayang ?

IV

Kepada Negara tercinta milik bersama pulangkan hak dan kebebasan warga selagi tidak melanggar perlembagaan dan undang-undang. Kepada pemimpin Negara tidak adakah sentuhan rasa kemanusian di jiwa kalian melihat kumpulan atau perseorangan digereng ketahanan tanpa pembicaraan dan disepikan mereka disebalik tembok putus hubungan – berlamaan. Tidakkah kalian tersentuh rasa kemanusiaan dan simpati dengan apa yang ditanggung Puan Norlaila bersama anak lelaki semata-mata mau membela bapa dan suami serta mereka yang ditahan ISA sepertinya. Sampai hati kalian menembak peluru gas dan memancut air kimia terhadap mereka dan alangkah bertentang dengan tamadun dan peradaban seorang anak dan ibu ditahan lantaran membela ayah dan suami dari ketidakadilan, bahkan kekejaman. Ingatlah kalian dari bepimpinan, doa dari yang teraniaya adalah halalintar membelah langit. Kilatannya menyambar dan membakar sutuh dan pilar kota kezaliman hingga tiada kesempatan tirani menyelamatkan. Atas dasar keinsafan, Mansuhkan ISA, kembalikan keadilan dan kemanusiaan.

Shafie Abu Bakar
19 Sya`ban 1430
10 Ogos 2009

No comments:

Post a Comment