Sungai Ramal Dalam 29 Rajab = 22 Julai: Bulan Rajab adalah dipilih sebagai `Bulan Waqaf ` bagi negeri Selangor. Sempena bulan ini sebuah Forum Perdana diadakan pada malam tersebut di Dataran Al-Falah, Masjid al-Salihin Sungai Ramal Dalam bersebelahan Sekolah Agama Kafa kampong tersebut. Dua orang panel dijemput membicarakan tentang waqaf, iaitu Ustaz Ghazali Omar dan Ustaz Muhammad bin Abdullah. Mereka telah mengolah waqaf sebagai ibadat yang dituntut di dalam Islam lantaran orang Islam dituntut berlomba-lomba di dalam membuat kebajikan (al-Baqarah: 148) dan Hadith Nabi yang menyatakan bahawa sadaqah jariah sebagai salah satu ibadat yang memberi pahala berterusan. Demikian antara maksud daripada Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.
Sebelumnya ADUN Bangi yang juga selaku Pembantu Exco Hal Ehwal Islam dan Adat-Adat Melayu mengharapkan tercetusnya pandangan-pandangan bernas dapat ditampilkan agar dapat dimanfaatkan waqaf bagi kepentingan umat kini. Sekiranya waqaf dapat membantu institusi-institusi pendidikan, masjid, surau dan amal jariah yang lain, mengapa tidak difikir dan diolah sehingga ianya menjadi asset dan sumber ekonomi bagi badan kewangan, perbadanan dan negeri. Ruang juga dapat dilebarkan bagi yang bukan Islam terlibat di dalam bidang waqaf bagi membangunkan ekonomi baik pada peringkat badan kewangan, perbadanan maupun negeri dan Negara.
No comments:
Post a Comment