September 29, 2009

Rubrik `Pemikiran Bangi`

Mulai saat ini, kita tampilkan sebuah rubrik yang kita namakan `Pemikiran Bangi`. Ruangan ini membezakan dengan kandungan selama ini yang lebih bersifat `Laporan Kegiatan` dan sekali sekala disulami penulisan kreatif . `Pemikiran Bangi` lebih bersifat pendapat, pandangan, kritikan dan ulasan yang bersifat intelektual dan ilmiah berhubung dengan isu semasa dan topik yang difikirkan sesuai.


`Pemikiran Bangi` bukan sesuatu yang baru, tetapi ianya sebahagian dari gagasan `Bangi Bandar Ilmu (BBI)`. Bagi merealisasikan BBI berbagai aktiviti keilmuan diadakan seperti seminar, forum. diskusi, Wadi ilmu, merakyatkan ilmu, penerbitan, ceramah dan pengajaran. Penggunaan blog adalah menjadi salah satu media bagi BBI.


Pemikiran Bangi, mungkin pendapat individu atau kumpulan. Yang diharapkan melaluinya dapat mengemukakan pendapat yang segar dan bermutu sama ada secara perseorangan dan kolektif yang terpancar dari BBI. Usaha mengenengahkan `Pemikiran Bangi` akan terus dilakukan sehingga ianya identik dengan BBI. Ianya menjadi rujukan pemikiran dan pendapat bagi sesuatu isu’


(Pemikiran Bangi)

Pimpinan Selangor Terus Tercabar

(Gambar ; Mesyuarat tergempar khas dihadiri oleh Ahli Perhubungan Negeri, PAS Selangor)


Kerusi kepimpinan Selangor dianggap terpanas. Sebagai negeri maju dan berada pada `front line` bagi negeri-negeri di Malaysia, banyak isu terfokus di Selangor. Tumpuan lebih diberi terhadap Selangor,khususnya selepas negeri itu jatuh ke tangan Pakatan Rakyat bersama empat buah negeri yang lain. BN kehilangan sebuah permata berharga dan mengancam kestabilan pemerintahan mereka.


Keghairahan menguasai kembali Selangor dapat dilihat dari perlantikan Datuk Seri Najib menjadi Ketua Perhubungan Negeri Selangor, jawatan yang sebelumnya dipegang oleh Khir Toyo yang menjadi Ketua Pembangkang di DUN Selangor. Kedua-duanya sama bekerja bagi menjatuhkan negeri Selangor menurut rentak Perak. Cumanya Najib mengatur strategi secara senyap, sedangkan Khir Toyo adalah jurucakap. Perang politik dan psikologi dicetus dan disuarakan bahawa BN mengambil alih pemerintahan di Selangor pada akhir Ogos lepas. Antara strategi dilihat secara kebetulan digunakan ialah penggeledahan dokumen-dokumen beberapa Exco oleh SPRM terutama dari PKR dan DAP bagi kemungkinan penyalahgunaan peruntukan. Semua ADUN dari PR dalam keadaan berjaga-jaga kemungkinan mereka menerima serbuan dan penggeledahan yang sama. Kelancaran strategi ini terencat oleh `Tragedi Teo Beng Hock` setiausaha kepada Ean Yong Hian Wah yang mati sedang dalam siasatan SPRM dan kekasaran melampau dilakukan terhadap Wong Chuan How, Setiausaha Ronnie Liu. Isu Beng Hock masih dalam penyiasatan.


Strategi bagi menguasai Selangor juga dilakukan dengan penggugatan terhadap kepimpinan negeri Selangor oleh UMNO-BN dengan mengexploitasi elemen perkauman, khususnya bagi membangkitkan kemarahan orang Melayu seperti mereka mengexploitasi isu arak, kuil di Seksyen 23 Shah Alam dan kini isu Selcat menyebabkan celarunya pendapat antara pimpinan PR yang seharusnya diperbetulkan. Perlu diingat mengadu domba ini adalah dari usaha mereka untuk memecahbelahkan kepimpinan dan kekuasaan PR di Selangor. Kita harap pertemuan peringkat parti dan pada peringkat negeri yang diadakan akan memperbetulkan kecelaruan yang sengaja ditimbulkan oleh pihak UMNO-BN. Kepimpinan di Selangor akan terus tercabar dengan isu-isu mendatang dan seharusnya jangan gentar. PR sepatutnya jangan hanya bersifat bertahan, tetapi semestinya bersifat agresif meruntuhkan kekuasaan mereka yang masih bersisa dan mengambil alih kekuasaan Negara sepenuhnya, khususnya dalam Pilihanraya Umum ke 13 kelak (Sab) . Sekian .


10 Syawal 1430

29 September 2009.

Anekdot : Sungai Long

Seorang pembaca sebuah akhbar merungut sambil menunjukkan dengan jarinya ke arah gambar mesin-mesin berat sebagai peralatan mencuri pasir di tepi sebuah sungai, seraya berkata kepada kawannya,

`Sindiket pencuri pasir terus bermaharajalela, sejauhmanakah usaha pihak berkuasa membasmikannya ?`

Kawannya bertanya, `Di manakah tempat berlaku ?`

Jawab kawannya, `Di Sungai Long !`

`Oh !, kalau di sungai biasa tak mampu di kawal ! Inikan pula di Sungai Long ! Sungai terpanjang di dunia ?, tentulah lebih sukar di kawal pergerakan mereka !`, balas kawannya.

Mereka tersenyum sinis.
(Sungai Long terletak di Hulu Langat).

10 Syawal 1430
29 September 2009.

Bangi Dan Warga Tercinta



Kurangkum Kalian Ke Dada Mesra
Mendepani kalian semua
Warga DUN Bangi
Adalah bersama sebuah keluarga
Semuanya disayangi.

Atas dasar prihatin
Medan aduan terbuka luas
Untuk dikunjungi bermasalah
Silalah hubungi
Atau datang sendiri
Membuat permohonan
Mendapat sokongan
Menyelesaikan kekeliruan.

Hasrat masyarakat aman sejahtera
Prioritas dalam agenda
Lawatan-lawatan sering dilakukan
Mempastikan semua diberi perhatian
Infrastruktur dan kebersihan
PBT dipertanggungjawabkan
Juga jabatan-jabatan lain berkenaan
Dengan kempen sekali sekala
Gotong royong di mana perlu diadakan
Mesra rakyat untuk semua terlibat.

Kami utamakan kebajikan kalian
Skim Mesra Usia Emas
Bantuan kritikal ketika cemas
Orang Kurang Upaya perlu dijaga
Tabung Warisan Anak Selangor
Pembelaan nasib ibu tunggal
Hadiah pengajian IPT
Pinjaman pelajaran tanpa bunga
Insentif pelajar sekolah pintar
Pendaftaran mencari pekerjaan
Permohonan kebajikan masyarakat
Mendaftar pemilih SPR.

Selangor Negeri Maju
Bangi Bandar Ilmu
Dikelilingi pengajian tinggi
Marilah sama memaju diri
Mendidik anak-anak generasi
Pengganti warga Bangi
Bumi pilihan
Warga pentingkan pelajaran
Sama kita julang
Sama kita banggakan.

Bangi dan warga
Kalian semua ingin kubela
Namun banyaknya permohonan
Terhalang oleh kurangnya peruntukan
Tapi itu semua jangan bimbang
Kekurangan tetap ditampung
Dengan limpahan kasih sayang

Bangi dan warga tercinta
Kurangkum kalian ke dada mesra.
Shafie Abu Bakar,
Bangi,
07 Syawal 1430
26 September 2009.

September 28, 2009

Mengadap Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Di Pagi Shahdu Idul Fitri

Istana Kayangan, Shah Alam, 01 Syawal = 20 September (Ahad):(ADUN-ADUN menghadiri majlis menghadap Duli Yang Maha Mulia)

Sebaik selesai menunaikan sembahyang sunat Idul Fitri di Masjid Jami` al-Hasanah di Bandar Baru Bangi, Adun Bangi bergegas ke Shah Alam bagi menyertai bersama ADUN-ADUN Negeri Selangor yang lain mengadap ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibn al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sultan Negeri Selangor. Waktu diperuntukkan bagi ADUN-ADUN mengadap ialah dari jam 10.00 pagi hingga 11.30 pagi bertempat di Istana Kayangan, Shah Alam. Pembesar-pembesar dan orang-orang kenamaan juga dijemput menurut masa-masa yang ditentukan kepada mereka. Peluang diisi dengan beramah mesra, menikmati juadah, menikmati keindahan alam dari puncak bukit Istana Kayangan dan mengabadikan kenangan bersama-sama rakan-rakan. Puncak acara ialah mengadap dan bersalam-salaman dengan Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebelum bersurai.

Khutbah Idul Fitri Di Masjid Jami` al-Hasanah

BBB, 01 Syawal = 20 September (Ahad):

ADUN Bangi diamanahkan menyampaikan khutbah di masjid di atas. Khutbahnya antaranya menyentuh.


  • Bersyukur kepada Allah kerana dapat menunaikan sebulan Ramadhan dan pengisian dengan berbagai-bagai ibadat dan diharap dapat meningkatkan taqwa, keimanan dan keihsanan.
  • Perlu mengeluarkan zakat fitrah yang mempunyai hikmat dari segi ibadat dan tanggungjawab sosial.
  • Prihatin Kerajaan Negeri Selangor yang melalui Lembaga Zakat mengagihkan zakat kepada faqir miskin pada bulan Ramadhan kepada seramai 21,621 orang dengan jumlah peruntukan sebanyak RM15,997,550.00.
  • Memuji pihak masjid Surau di Bangi berjumlah 90 buah memakmur dan mengimarahkannya sebaik mungkin.
  • Memuji program kemasyarakatan yang dianjur masjid surau di DUN Bangi seperti membantu faqir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan yang terlantar sakit.
  • Keterlibatan Lajnah Masjid-Surau dan Kebajikan ADUN di dalam mengimarahkan masjid-surau dan kebajikan dengan peruntukan RM70,000.00.
  • Mengharapkan Idul Fitri mengukuhkan ukhuwwah Islamiyyah dan saling bermaaf-maafan.
  • Didikan yang diterima dari Madrasah Ramadhan hendaklah deprogram dan diperluaskan di dalam kehidupan keluar dari bulan Ramadhan ke bulan-bulan yang lain.

Khatam Qur`an di Surau al-Mujahidin Desa Surada

Desa Surada 28 Ramadhan = 18 September (Jumaat)

Kunjungan terakhir sempena Ramadhan. Hadir bersama saudara Azizi sejak petang lagi. Program bermula dengan berbuka dan diikuti dengan Khatam Qur`an selepas sembahyang maghrib. Khatam terdiri dari kalangan anak-anak remaja. Selepas sembahyang Isyak, tarawih dan witir majlis sumbangan kepada peserta tadarus kanak-kanak dan remaja. Sumbangan juga disampaikan kepada peserta tadarus dewasa dan mereka yang terlibat dengan kegiatan Ramadhan di surau tersebut. ADUN merasmikan Majlis Penutup Khatam Qur`an dan menyampaikan cenderamata. Penyampaian sumbangan juga dilakuakan oleh Saudara Shukor Atan selaku Pengerusi Surau, Dato` Dr. Sidek Fadil selaku Penasihat Surau dan Hj. Yazid Ansilin Pengarah Ihya` Ramadhan Surau al-Mujahidin, Desa Surada.

Ziarah Surau al-Hidayah



Sungai Tangkas 27 Ramadhan = 17 September (Khamis)


Ziarah bermula dengan solat Isyak dan solat sunat tarawikh berjamaah. Sempena ziarah, ADUN menyampaikan cek bantuan untuk surau, beserta beberapa surau lain yang dijemput hadir ke surau tersebut. Pada malam ini juga diadakan Majlis Khatam Qur`an yang turut disertai oleh ADUN.

September 25, 2009

Dari Satu Kepada Tiga Program

BBB, 26 Ramadhan = 16 September (Selasa):

Pada hari ini jangkaan program asal yang disusun ialah berjamaah Isyak dan tarawih di Surau Ibtida`iyyah, Taman Bangi Indah, Pekan Bangi. Peruntukan dan persediaan barang-barang telah dilakukan. Tetapi saat akhir berlaku pertambahan, program ke Masjid Pekan Bangi yang sepatutnya pada petang esok ditukar ke petang ini, atas permintaan masjid tersebut, sedangkan dua hari lepas jemputan diterima dari Pegawai Daerah untuk berbuka di Surau Pejabat Daerah, seterusnya tarawih di sana. Jemputan dari Masjid Dengkel yang juga petang ini – Di bawah Kawasan Angkat ADUN Bangi yang sebelumnya belum diberi jawapan kata putus, hari ini terpaksa dipohon keuzuran, kerana mahu menghadiri majlis berbuka puasa di Surau Pejabat Daerah. Jemputan ke sini tidak dijawab hitam putih.

1) Ke Masjid Pekan Bangi

Atas persetujuan program pertama petang ini di Masjid Pekan Bangi, maka ADUN bersama Saudara Azizi bertolak ke Masjid Pekan Bangi dan berada di sana jam 6,00 petang. Barang-barang di bawa oleh Haji Rushdi dan AJK Lajnah Kebajikan.


Turut sama ke Masjid Pekan Bangi, Ustaz Shafie Ngah selaku Ketua Lajnah Masjid dan Surau. Majlis utama di sini ialah penyampaian bantuan kepada anak-anak yatim dan faqir miskin. Peruntukan dan barang-barang disediakan oleh ADUN, pihak Masjid dan derma orang-orang perseorangan di Pekan Bangi dan jumlah barang-barang agak banyak. Majlis ringkas bermula dengan ucapan Nazir Masjid Ustaz Halim bin Mukhtar, diikuti ucapan ADUN, memuji kejayaan mendapat derma yang lumayan.


Bersama Ustaz Shafie Ngah, Ketua-Ketua Kampung. Tuan Haji Hashim dan En. Azlan, ADUN menyampaikan bantuan dan sumbangan kepada penerima dari kalangan anak yatim dan faqir-miskin berjumlah 70 orang. Majlis sempurna jam 7.00 petang dan menunggu waktu iftar.

2) Ke Pejabat Daerah Hulu Langat di Bandar Baru Bangi


Oleh kerana ruang masa masih cukup bagi ADUN ke Majlis Berbuka di Surau Pejabat Daerah, ADUN memohon maaf dan meminta izin untuk ke Pejabat Daerah di Bandar Baru Bangi. Saudara Azizi selalu berkata, ``Perkara baik yang kita lakukan, selalu disempurna oleh Allah``, demikian banyak pengalaman yang kami alami. Dengan niat baik, mau menyempurnakan jemputan, kami tiba tepat waktu berbuka. Kata Pegawai Daerah selaku tuan rumah bersama Tuan Kadhi dan dua pegawai lain ``Sedang elok ada dua kerusi kosong di meja Tuan Pegawai Daerah yang sebelumnya diminta dipenuhi, tapi enggan diduduki sesiapa``, Seolah-olah dua kerusi itu disediakan untuk kami``. Jadi kami terus sama berbuka dengan Tuan Pegawai Daerah Tuan Haji Zainal Abidin bin A`la dan pegawai-pegawai lain, diikuti sembahyang maghrib di surau dan kembali makan nasi ke meja yang sama.

Kira-kira 20 minit sebelum waktu Isyak kami memohon kemaafan dari pihak Tuan Pegawai Daerah, kerana tidak dapat bersama seterusnya bersembahyang Isyak dan Tarawih di Surau Pejabat Daerah, sebaliknya segera bertolak ke tempat ketiga, iaitu Surau Ibtidaiyyah di Taman Bangi Indah, Pekan Bangi.

3) Ke Surau Ibtida`yyah, Pekan Bangi


Setibanya kami disurau, saya diminta mengimami fardhu Isyak dan seterusnya tarawih dan kemudian bersama di dalam acara khatam Qur`an di kalangan remaja yang dibimbingi oleh Imam & AJK Surau berkenaan dengan disaksikan oleh para jamaah – ibu bapa anak-anak dan keluarga mereka. Berikut dari pembacaan doa khatam Qur`an penyampaian cenderahati dilakukan oleh ADUN terhadap anak-anak yang khatam Qur`an dan juga kepada mereka yang menjayakan khatam Qur`an dari kaum muslimin dan muslimat. Majlis diakhiri dengan moreh dan bersurai.

September 16, 2009

Khatam Qur`an di Surau Taman Jasmin

Taman Jasmin, 25 Ramadhan = 15 September (Selasa)

Bersama sdr. Azizi ADUN Bangi ke Surau Taman Jasmin. Turut sama mengiringi Sdr. Azmi yang juga mewakili Nazir Masjid Kajang, Hj. Hassan Basri AJK Kebajikan dan Sdr. Shahrum AJK surau. Selepas sembahyang Isyak dan Tarawih, khatam Quran berlangsung. Sebelum penyampaian cendermata sebagai penghargaan kepada jamaah ADUN Bangi berucap dan mengucap tahniah di atas kegiatan surau dan sokongan para jamaah sehingga surau menjadi makmur. Sebelum itu Cikgu Mohd Zaid selaku Pengerusi Surau berucap menerangkan kegiatan-kegiatan yang berjalan di surau. Penyampaian cenderahati disampaikan oleh ADUN dan Cikgu Zaid.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Iftar Bersama Rakyat di Semenyih

Masjid Raja Musa, Semenyih, 24 Ramadhan = 14 September (Isnin)
Baginda Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibn al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah turun beriftar bersama-sama rakyat di pekarangan Masjid Raja Musa Semenyih. Ketibaan baginda disambut oleh YAB Tan Sri Datuk Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor, Tuan Haji Zainal Abidin A`la Pegawai Daerah Hulu Langat, Orang Besar Daerah Yang Dihormatkan Dato` Abdul Rani bin Dato` Shamsuddin, ADUN Bangi, ADUN Lembah Jaya YB Tuan Khasim bin Abdul Aziz, Ahli Parlimen Hulu Langat YB Dr Che Rusli Che Mat.
Majlis dimulai dengan bacaan al-Qur`an dan diikuti dengan ucapan dari Pegawai Daerah yang mengutarakan pembangunan sekitar Hulu Langat. Lahirnya taman-taman perumahan yang mengakibat berlakunya pertambahan penduduk. Ini diikuti dengan pertambahan jalan-jalan dan lebuhraya. Hulu Langat terkenal sebagai kawasan membangun. Bangi terkenal sebagai Bandar Ilmu, manakala Kajang terkenal dengan satey Kajang dan Hulu Lngat juga terkenal kawasan rekreasi. Sebelum iftar Baginda menyampaikan bantuan kepada 100 faqir, 100 miskin, 100 anak yatim dan 100 saudara kita. Tuanku Sharafuddin terus bersama rakyat menunaikan salat Maghrib, Isyak dan Tarawih.

Menyampaikan Bantuan Di Cheras Perdana dan Serdang Raya

Cheras Perdana 23 Ramadhan = 13 September (Ahad)


Dari jam 9.30 pagi ADUN Bangi bersama pengiring, Haji Rushdi Ketua Lajnah Kebajikan dan beberapa Jawatankuasa dan Penunjuk Arah setempat Sdr. Fadhilah Sahimi dan Haji Razak menziarah dari rumah ke rumah menyampaikan bantuan kepada fakir miskin.

Selepas itu bergerak jam 1200 ke Serdang Raya dengan disertai Ahli Parlimen Serdang YB Teo Nie Ching menyampaikan bantuan kepada penduduk di sekitar rumah pangsa di situ.


Iftar Jama`i

BBB 23 Ramadhan = 13 September (Ahad)

(YB Dr. Shafie sedang memberikan Tazkirah; Gambar hiasan)

Iftar Jama'ie adalah merupakan acara tahunan dalam mana satu hari daripada Ramadhan dipilih untuk beriftar jama'ie. Tarikh di atas adalah dipilih. Pada tahun lepas diadakan di Kompleks Sukan Seksyen 15, tetapi pada tahun ini Iftar Jama'ie diadakan di Masjid al-Salihin, Teras Jernang bagi merapatkan diri dengan masyarakat. Majlis bermula dengan berbuka, sembahyang maghrib, Isyak dan Tarawih.. ADUN Bangi, YB Dr. Shafie turut menyampaikan tazkirah. Mengakhiri agenda penayangan dokumentari berkenaan perjuangan rakyat Moro Filipina yang ilustrasinya disampaikan oleh Datuk Mustafa seorang Ahli MPKj.

Menyampaikan Wathiqah di Masjid Manba`il Ulum

Cheras Jaya, 23 Ramadhan = 13 September (Ahad)

(Penyampaian wathiqah turut diiringi oleh Nazir Masjid, Sdr.Azman Idris)

Petang hari di atas Masjid Manba`il-Ulum di sini mengadakan majlis penyampaian wathiqah perlantikan kepada AJK yang dilantik. Inilah masjid kedua di Hulu Langat mengadakan Majlis berkenaan. ADUN Bangi selaku Pembantu Exco dijemput oleh Nazir masjid Sdr. Azman Idris menyampaikan Wathiqah pada petang tersebut. Penyampaian cenderamata perhargaan dilakukan kepada petugas-petugas Ramadhan di masjid tersebut. Acara tamat sebelum iftar. ADUN sempat beriftar bersama dan beredar selepas menunaikan fardhu Maghrib.


Sementara itu pada sebelah paginya ADUN datang ke Markas Pas Cheras Jaya menyampaikan bantuan kepada faqir miskin, ibu tunggal dan anak yatim. Tuan Haji Asana selaku Ketua Cawangan bersama dalam majlis tersebut.

Di Penghujung Sebuah Ramadhan

Ramadhan yang datang sarat dengan berkat telah membahagikan fadhilatnya pada jiwa-jiwa pilihan. Kini pemergiannya yang semakin menirus adalah lambaian semakin menjauh menggaris pilu di kalbu. Keharuan itu makin mendalam dialun suara imam tarawih di Masjidil Haram melalui siaran larut malam membetik ingatan mesra di kala kunjungan. Kudus Ramadhan dalam pelukan pasti akan berpisah jua membawa kenangan hamba ibadatnya tak seberapa.

Surau sederhana di pinggir bukit itu yang menjadi rumah kedua bagi para pengunjung setia beberapa hari lagi kembali sepi dari salawat mengiringi tarawih. Kemeriahan berbuka dan menjamah selera selepas tarawih akan beralih ke dalam kenangan dan saf-saf sembahyang akan turut berkurang. Kudus pilu itu membangkitkan diri ini mendekatiMu ya Rabbi. Tahajjud dan hajat di malam ini begitu ringan merapatkan harapan. Alangkah manisnya berhubungan dalam ketenangan. Berlalukah Lailatul Qadar tanpa disedari ?

Malam seribu bulan gandaan itu hanya layak bagi hamba pilihanMu. Seorang hamba biasa mengadah berdoa melewati usia separuh abad ini. Akan kembalikah diri menikmati kemanisan beribadat pada bulan berkat ini ? Akan bersama lagikah dengan mereka yang dikasihi ? Alangkah indahnya mendengar basah bibir bertilawah di malam berkat. Ianya bagai kekasih yang mulai pergi dan bertahunlah ianya dirindui. Syukur berjutaan dan berjutaan jualah harapan. Amin !



Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi.
2009.

Kunjungan Ramadhan

-->
Hadir Ramadhan
Bersama gemersik azan
Lalu terbuka luas pintu langit
Mencurah rahmat barakah
bersama pakej-pakej tawaran
disambut penuh rindu penantian
Oleh jiwa taqwa dan iman.
Ramadhan
Membawa qudus ceria
Antaranya iftar dan sahur bersama
Gotong royong menghasilkan juadah
Bubur lambuk diedar percuma
Lantas ke masjid surau
Berduyung jamaah berkunjung
Memenuhi saf-saf tersusun
Melempah ke luar khemah dan anjung
Bergemalah tasbih, tahmid dan salawat
Mengiringi isyak, tarawih dan witir
Diselangi tazkirah ringkas
Rencah ingatan dan panduan
Dilanjut dengan halaqah-halaqah
Yang tua, yang muda sama bertadarus
Membaiki bacaan hingga khatam
Di malam-malam mereka qiyam
Mendirikan tahajjud berbagai salat
Doa, taqarrub serta munajat
Lailatul Qadar hasrat mendapat.
Ramadhan menawarkan kebajikan
balasan pahala berganda
Berlumba segera memberi bantuan
Pada faqir miskin, anak yatim
Ibu tunggal, yang terbiar, sakit terlantar
Mendapat pembelaan
Meringankan beban.
Ramadhan bulan ujian
Madrasah pembelajaran
Bulan menggarap kualiti peribadi
Mendekatkan diri pada Ilahi
Bulan tepu dengan barakah
Bulan gemerlap dengan rahmat
Kita di bawah mohon maghfirah
Moga amalan diterima Allah.
Shafie Abu Bakar,
Bangi,
25 Ramadhan 1430
15 September 2009.

September 15, 2009

Berbuka Puasa Di Seri Putra, Berjihad di Bagan Pinang


Majlis Berbuka Puasa Bersama ADUN Bangi, YB Dr. Shadie Abu Bakar telah diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat, Bandar Seri Putra pada 8 September yang lalu. Majlis turut dihadiri oleh Tuan Mazwan Johar, Ahli Majlis Zon 24, Tuan Haji Ahmad Yusof, Setiausaha PAS Serdang serta 50 ahli PAS Cawangan Bandar Seri Putra dan Bandar Bukit Mahkota.

Di dalam majlis tersebut, YB Dr. Shafie telah memberikan tazkirah selepas solat Maghrib sekali gus melancarkan jentera Pilihan Raya Serdang dan tabung Pilihan Raya bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil di Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Di dalam tazkirahnya beliau menyentuh tentang peranan madrasah Ramadhan di dalam membentuk keimanan dan semangat berjihad. Beliau mengaitkan Ramadhan dengan peperangan Badar di mana ia adalah kemuncak perjuangan yang menentukan hidup mati Islam.

Beliau turut menyatakan PAS Serdang sebagai kawasan yang paling selatan Selangor dan berhampiran dengan Bagan Pinang agar komited menghantar petugas seramai mungkin bagi berjihad membantu Pilihan Raya Kecil di sana di bawah pimpinan Pengarah Pilihan Raya yang baru dilantik, Saudara Saifuddin.

Beliau menyeru agar PAS di kedua-dua cawangan ini boleh mewujudkan markas Pilihan Raya di sini untuk merancang dan terus bergerak kerja pilihan raya terus dari Serdang. Beliau turut menyatakan bahawa cabaran yang dihadapi adalah majoriti pada PRU 2008 sebanyak dua ribu lebih dan kewujudan pengundi Pos dari Kem Tentera sebanyak empat ribu lebih, namun perkara ini tidak boleh melemahkan semangat petugas PAS.

Beliau menyatakan bahawa PAS mempunyai harapan yang cerah kerana pelbagai isu Nasional dan yakin bahawa pengundi Tentera agak terbuka.

Di dalam majlis tersebut, YB Dr. Shafie turut menyampaikan Sumbangan Ramadhan kepada Surau-Surau di sekitar Bandar Seri Putra dan Bandar Bukit Mahkota yang masih belum menerima sumbangan semasa Majlis penyerahan Sumbangan Ramadhan di masjid al-Hasanah, Bandar Baru Bangi pada 20 Ogos yang lalu.


Berita oleh: Saudara Nizar (Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Serdang)

Muslimat Khatam al-Qur`an di Masjid al-Hasanah

Masjid al-Hasanah, 23 Ramadhan – 13 September (Ahad)


Kegiatan tadarus al-Qur`an turut diadakan di kalangan muslimat. Perkumpulan tadarus ini dilakukan secara berjamaah termasuklah di surau, masjid dan rumah-rumah terpilih. Khatam al-Qur`an di kalangan muslimat telah diadakan pada tarikh di atas dengan kerjasama AJK Masjid al-Hasanah. Majlis ini juga hasil inisiatif bahagian Wanita Majlis al-Hasanah – Puan Hajah Hidayah dengan kerjasama Muslimat Serdang. ADUN Bangi dijemput merasmikan Majlis Penutup. Beliau memuji inisiatif yang diambil oleh AJK Masjid al-Hasanah yang menjadikan aktiviti tersebut sebahagian dari aktiviti Masjid al-Hasanah. Menurut beliau, minat terhadap pengajian al-Qur`an dan tahfiz meningkat. Selain itu, beliau menyarankan agar minat ini dipertingkatkan kepada pemahaman terhadap kandungan al-Qur`an dan berbagai-bagai pengajian yang berhubung dengan Qur`an. Ini juga dapat membongkar rahsia kewujudan menurut perspektif al-Qur`an yang mengukuhkan Islam itu sendiri. Sebelum merasmikan Majlis Penutupan tersebut, penceramah jemputan Ustaz Farid Ravi, Pengarah Masjid di KUIS turut menyampaikan tazkirah berhubung dengan al-Qur`an dan kepentingannya Turut hadir ialah Ustaz Shafie Ngah selaku Ahli MPKj merangkap Ketua Hal-Ehwal Masjid dan Surau Kabinet Mini ADUN Bangi, Puan Zuryati Ketua Muslimat Pas Serdang dan Ustaz Hanafiah Sha`rani Nazir Masjid. Cenderahati disampaikan kepada peserta-peserta.

Majlis Khatam al-Qur`an

Surau Jubli Perak (al-Ikhwan) 22 Ramadhan = 12 September (Sabtu)

Kalau di awal Ramadhan masjid dan surau mengadakan majlis-majlis pelancaran tadarus al-Qur`an, maka pada akhir Ramadhan masjid dan surau sibuk pula mengadakan majlis-majlis khatam Qur`an.

(Penghargaan kepada peserta dari Surau Taman Sutera, Kajang)

Berbagai pendekatan diadakan. Misalnya Surau al-Ikhwan yang dulunya agak malap dari kegiatan, kini begitu giat memfokuskan majlis khatam kepada anak-anak muda remaja di samping jamaah surau dari kalangan orang tua. Khatam dilakukan bagi kalangan anak-anak muda. Selepas khatam anak-anak diberi hadiah kewangan dan cenderahati.

ADUN Bangi dijemput menyampaikan sagu hati dan cenderamata kepada peserta tadarus selepas berucap. Beliau menyatakan kekaguman terhadap aktiviti surau di bawah pimpinan Dr. Miskandar selaku pengerusi dan Datuk Haji Hadi selaku Penasihat. Turut diberikan sagu hati kepada semua ahli jawatankuasa dan jamaah yang menjayakan ihya` sepanjang Ramadhan. Gandingan antara veteran, remaja dan muslimat memajukan Surau al-Ikhwan. Dengan berjalannya berbagai aktiviti menurut Dr. Miskandar, masyarakat setempat dengan ikhlas memberi sumbangan, bukan sahaja kepada aktiviti Ramadhan, bahkan kepada aktiviti surau dan peralatan yang diperlukan oleh surau.

(Antara peserta khatam al-Qur'an, Surau al-Ikhwan)

Menghargai Jasa Guru

Seksyen 5, BBB – 20 Ramadhan = 10 September (Khamis):

Mengambil sempena Ramadhan al-Mubarak berbagai amalan kebajikan dapat dilakukan. Pentadbir Pasti Al-Raudah bertempat di atas, Sdr. Haji Sufi mengambil pendekatan dengan mengadakan Majlis Iftar. Dalam majlis tersebut (sebelum iftar) disampaikan cenderahati penghargaan kepada guru-guru Pasti yang selama ini telah mencurah jasa dan bakti terhadap pasti al-Raudah. Kemajuan pasti sebahagiannya bergantung kepada kesungguhan guru-guru mengajar dan kesetiaan mereka berkhidmat. Sebab itu jasa dan penghargaan mereka amat wajar diberikan, khususnya pada bulan Ramadhan yang berkat. Bagi tujuan itu ADUN Bangi turut dijemput menghadiri majlis, menyampaikan cenderahati, berbuka dan berjamaah maghrib. Di dalam majlis itu disampaikan juga bantuan kepada anak-anak yatim dan yang miskin. Turut hadir dalam majlis ialah Ustaz Wan Abdul Rahman sebagai ketua Cawangan di West Country. Majlis diteruskan dengan tazkirah, sembahyang isyak dan tarawih.

September 14, 2009

Unit Amal Negeri Beramal di Serdang


Surau Al-Islah, Kajang Mewah 22 Ramadhan = 12 September (Sabtu)

Unit Amal Negeri Selangor dengan kerjasama Unit Amal Serdang turun ke Surau al-Islah melakukan amal, iaitu mengadakan Majlis Futur dengan menjemput faqir miskin dan anak-anak yatim di sekitar Kajang Mewah berbuka di surau tersebut. Sebelumnya majlis penyampaian bantuan diadakan kepada lebih dari 70 orang. ADUN Bangi diberi penghormatan menyampaikan bantuan dan turut berbuka dan menikmati jamuan selepas maghrib. Semua masakan adalah dilakukan oleh Unit Amal yang berkampung di surau tersebut..