( Gambar : Sedang menandatagan kehadiran SELCAT )
Bangunan Annex, DUN Selangor, 18 Ramadhan = 8 September (Selasa)
Telah lama pihak Kerajaan Pakatan Rakyat mendesak pihak SPRM menyiasat tentang penggunaan wang oleh ADUN-ADUN BN menjelang pilihanraya 2008. Dalam tempoh tiga bulan mereka menggunakan wang sebanyak RM500,000. Penggunaan wang sedemikian yang diperuntukkan bagi satu tahun bagi ADUN adalah luar biasa dan menimbulkan pertanyaan dan kemungkinan berlaku penyelewengan. Walaupun perkara ini dibuat laporan polis, tetapi tidak ada tindakan yang diambil oleh SPRM. Apa yang mengejut ialah penyerbuan, penggeledahan dan rampasan dokumen dan maklumat dari ADUN-ADUN Pakatan Rakyat, khususnya dari kalangan beberapa Exco. Seterusnya meletupnya tragedi Teo Beng Hock yang mati dalam siasatan SPRM, begitu juga dengan tindakan kasar ala Gestapo dilakukan pegawai SPRM terhadap Wong Chuan How Setiausaha Ronnie Liu Exco Kerajaan Negeri Selangor. Ini menimbulkan rasa marah dan rasa tidak puashati di kalangan rakyat hingga timbul desakan ditubuhkan Suruhanjaya agar disiasat berhubung dengan kematian Teo Beng Hock. Suruhanjaya telah ditubuh dan kini penyiasatan masih berjalan. Setakat ini terbongkar perbuatan luar biasa di dalam penyiasatan seperti 'torture', penderaan mental dan fizikal di luar batasan dan menyebabkan kecederaan teruk.
( Pengerusi jawatankuasa SELCAT )
Pendengaran Awam SELCAT (Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban, dan Ketelusan) berhubung dengan peruntukan ADUN, khususnya menjelang pilihanraya 2008 yang berlangsung dari 8 hingga 11 September 2009 (Selasa – Jumaat) dan 14 September 2009 (Isnin) dari pagi (10.00) hingga petang (4.30) bertempat Bangunan Annex Dewan Undangan Negeri Selangor boleh disifatkan sebagai usaha mendedahkan maklumat yang selama ini menjadi tanda tanya. Cara penyiasatan dibuat adalah bertamadun dan telus.
AJK SELCAT dipengerusikan oleh YB Teng Chang Khem Speaker DUN Selangor, YB Haniza Talha, Timbalan Speaker, YB Mohamed Azmin Ali (Bukit Antarabangsa) YB Saari Sungib Hulu Kelang) dan Edward Lee (Bukit Gasing). Bagi hari pertama SELCAT telah memanggil dua orang saksi, iaitu Pegawai Daerah Petaling Datuk Zulkepli Ahmad dan Pegawai Daerah Gombak, iaitu Encik Huzaimi Samsi. Dari jawapan mereka ternyata berlaku penggunaan wang secara banyak – dari jumlah RM500,000 dalam masa singkat, tiga bulan, bahkan kurang dari tiga bulan.
Terdapat ADUN yang menggunakan wang lebih dari peruntukan, menggunakan wang selepas pertukaran kerajaan, ketiadaan rekod bayaran dan dokumen tidak bertarikh, memaksa pihak Pegawai Daerah menurut kemahuan ADUN, walaupun bercanggah dengan peraturan. Setakat ini baru dua saksi memberi keterangan, tentulah banyak lagi maklumat akan terdedah dan rahsia terbungkar apabila banyak lagi saksi dipanggil, lebih-lebih lagi bila ADUN yang terlibat dipanggil.
Persoalannya mengapa selama ini SPRM yang didesak membuat penyiasatan tentang penggunaan peruntukan ADUN secara luar biasa, bahkan untuk pilihanraya. Kes ini sebenarnya lebih besar dari kes pembelian bendera yang dihadapi Teo Beng Hock. Tidakkah cara berlembut, bertamadun dan telus sebagaimana digunakan SELCAT wajar antara cara yang patut digunakan oleh SPRM ?
No comments:
Post a Comment