Dalam menziarah ke satu rumah pangsa bersama pengiring-pengiring kami dapati seorang ibu tunggal menerima upah mengupas kulit bawang besar bagi bahan resipi murtabak. Kami difahamkan penjual murtabak juga adalah seorang yang susah. Berkat kegigihan bekerja dan memperbaiki resipi murtabaknya lama kelamaan murtabak jualannya semakin mendapat sambutan. Dengan sedikit kesenangan yang dinikmati setelah melalui berbagai kesusahan dan mengenali erti kesusahan, tersentuh rasa kemanusiaan dan rasa belas kasihan dihatinya terhadap orang susah. Bagi menolong orang yang sesama susah, beliau umpamanya membantu ibu tunggal dengan anak-anak mereka secara mengagihkan rezeki pendapatannya dengan mengupah ibu tunggal ini bekerja di rumah sewanya sendiri mengupas kulit bawang yang menjadi sebahagian resipi murtabak jualan hariannya. Hasil upah mengupas bawang sedikit sebanyak dapat menampung sebahagian keperluan ibu tunggal berkenaan bersama anak-anaknya.
Semasa kehadiran kami secara kebetulan berguni-guni bawang dihantar ke rumah ibu tunggal tersebut. Ibu dan anak-anak kecil mereka memunggah guni bawang ke dalam rumah sewaan. Petang Ramadhan itu sahabat pengiring saya secara diam-diam keluar mencari lokasi penjual murtabak itu dan merakam gambar penjual murtabak itu sedang menebarkan nasibnya dengan murtabak dihadapan pembeli-pembeli yang berbaris menunggu. Tersentuh hati dan rasa kemanusiaan, betapa hanya orang yang susah memahami erti kesusahan dan rela membantu orang yang sama susah !
No comments:
Post a Comment