Bandar Baru Bangi, 9 Ramadhan - Selepas pentadbiran baru Masjid Jami` al-Hasanah bertambah makmur. Pihak pentadbir masjid yang diketuai Nazirnya Tuan Haji Hanafiah Sha`rani dan Setiausahanya Haji Kamaruddin Yusof dan AJK menyusun berbagai-bagai aktiviti seperti pengajaran-pengajaran dari guru-guru jemputan, kuliah, tazkirah dan qiyamullail. Pada hari Sabtu dan Ahad muslimat mengisikannya dengan kegiatan-kegiatan pengajaran dan pengajian. Badan-badan amal juga memohon keizinan menggunakan kemudahan yang ada di masjid bagi mengadakan kursus, motivasi, tuisyen, bimbingan dan sebagainya. Badan amal dari pengajian tinggi berhampiran juga datang bergotong royong membersih dan menolong kegiatan-kegiatan yang diadakan.
Pada bulan Ramadhan aktiviti-aktiviti dipertingkatkan dengan iftar, tarawih, tadarus, qiyamullail, penyampaian bantuan kepada faqir dan miskin. Pada setiap Sabtu, Ahad dan hari-hari cuti gotong-royong memasak bubur lambuk diadakan. Latihan permulaan memasak bubur lambuk diadakan sehari sebelum puasa (Jumaat). Bubur lambuk yang mempunyai resipi khusus ini dinamakan `Bubur Lambuk Al_Hasanah`. Menurut Tuan Haji Nizar selaku chefnya, setiap hari dua periuk besar dimasak menggunakan bagi setiap periuk satu beg beras seberat 10 kilo. Bubur lambuk ini diedarkan kepada orang ramai secara percuma kepada lebih kurang 500 orang setiap kali masakan. Sambutan makin bertambah dan kemungkinan masakan juga akan ditambah.
No comments:
Post a Comment