September 15, 2009

Berbuka Puasa Di Seri Putra, Berjihad di Bagan Pinang


Majlis Berbuka Puasa Bersama ADUN Bangi, YB Dr. Shadie Abu Bakar telah diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat, Bandar Seri Putra pada 8 September yang lalu. Majlis turut dihadiri oleh Tuan Mazwan Johar, Ahli Majlis Zon 24, Tuan Haji Ahmad Yusof, Setiausaha PAS Serdang serta 50 ahli PAS Cawangan Bandar Seri Putra dan Bandar Bukit Mahkota.

Di dalam majlis tersebut, YB Dr. Shafie telah memberikan tazkirah selepas solat Maghrib sekali gus melancarkan jentera Pilihan Raya Serdang dan tabung Pilihan Raya bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil di Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Di dalam tazkirahnya beliau menyentuh tentang peranan madrasah Ramadhan di dalam membentuk keimanan dan semangat berjihad. Beliau mengaitkan Ramadhan dengan peperangan Badar di mana ia adalah kemuncak perjuangan yang menentukan hidup mati Islam.

Beliau turut menyatakan PAS Serdang sebagai kawasan yang paling selatan Selangor dan berhampiran dengan Bagan Pinang agar komited menghantar petugas seramai mungkin bagi berjihad membantu Pilihan Raya Kecil di sana di bawah pimpinan Pengarah Pilihan Raya yang baru dilantik, Saudara Saifuddin.

Beliau menyeru agar PAS di kedua-dua cawangan ini boleh mewujudkan markas Pilihan Raya di sini untuk merancang dan terus bergerak kerja pilihan raya terus dari Serdang. Beliau turut menyatakan bahawa cabaran yang dihadapi adalah majoriti pada PRU 2008 sebanyak dua ribu lebih dan kewujudan pengundi Pos dari Kem Tentera sebanyak empat ribu lebih, namun perkara ini tidak boleh melemahkan semangat petugas PAS.

Beliau menyatakan bahawa PAS mempunyai harapan yang cerah kerana pelbagai isu Nasional dan yakin bahawa pengundi Tentera agak terbuka.

Di dalam majlis tersebut, YB Dr. Shafie turut menyampaikan Sumbangan Ramadhan kepada Surau-Surau di sekitar Bandar Seri Putra dan Bandar Bukit Mahkota yang masih belum menerima sumbangan semasa Majlis penyerahan Sumbangan Ramadhan di masjid al-Hasanah, Bandar Baru Bangi pada 20 Ogos yang lalu.


Berita oleh: Saudara Nizar (Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Serdang)

No comments:

Post a Comment