Allah adalah Pemelihara alam
Bersifat Rahim dan Rahman
Dia menabur percikan cinta
Pada seluruh ciptaan
Pada insan, Pada haiwan
Pada laut, Pada daratan
Pada langit,Pada bumi
Pada semua kejadian
Semua berhak menikmati cinta
Seperti diperuntuk baginya
Segala berimbang harmoni
Nikmat dari Cinta Ilahi.
Tetapi pada jadian
Terutama insan
Antara mereka
Ditakluk haloba
Mahu memiliki semua
Bakhil dengan kurnia
Menyekat ruang dan peluang
Sukar mengeluarkan sedikit pendapatan
Untuk diagihkan pada yang memerlukan
Mereka adalah mangsa keadaan
Anak yatim hilang perlindungan
Ibu tunggal hilang pergantungan
Warga tua tiada penjagaan
Si miskin hilang pendapatan
Perlu pada ihsan
Perlu pada kasih sayang
Perlu pada hak pembelaan.
Pada berkat Ramadhan
Dituntut berlumba berbuat kebajikan
Kami datang turun padang
Membawa sekelumit cinta
Berbaur kemanusiaan untuk diagihkan
Sudah tentu tak seberapa tidak sepadan
Dengan keperluan kalian
Bagi anak yatim
Tiada semesra belaian
Dari rangkuman kasih ibu bapa tersayang
Bagi ibu tunggal kematian
Tiada sama pembelaan
Dari suami tercinta tersayang
Bagi warga emas hilang pergantungan
Tiada gantian memulihkan
Selembut sentuhan anak kandungan
Bagi yang terjerat kemiskinan
Tiada dapat mengatasi kecuali
Prihatin pemerintah dengan keadaan
Insaf ihsan kemanusiaan..
Kami datang bersama berkat Ramadhan
Bukan mengganti semua yang hilang
Itu adalah di luar kemampuan
Kami datang sempena Ramadhan
Cuma sedikit membawa bantuan
Dan rasa kasih kemanusiaan
Untuk dikongsi sama keceriaan
Agar murung diwajah menghilang
Sesungguhnya segaris bahagia di wajah kalian
Tatkala menyambut penerimaan
Cukup menyenangkan kami yang datang
Kami mendoa pada Yang Esa
Biarlah percik cinta
Sering membasah hidup kita.
Shafie Abu Bakar,
Bangi
07 September 2009
17 Ramadhan 1430.
No comments:
Post a Comment