September 29, 2009

(Pemikiran Bangi)

Pimpinan Selangor Terus Tercabar

(Gambar ; Mesyuarat tergempar khas dihadiri oleh Ahli Perhubungan Negeri, PAS Selangor)


Kerusi kepimpinan Selangor dianggap terpanas. Sebagai negeri maju dan berada pada `front line` bagi negeri-negeri di Malaysia, banyak isu terfokus di Selangor. Tumpuan lebih diberi terhadap Selangor,khususnya selepas negeri itu jatuh ke tangan Pakatan Rakyat bersama empat buah negeri yang lain. BN kehilangan sebuah permata berharga dan mengancam kestabilan pemerintahan mereka.


Keghairahan menguasai kembali Selangor dapat dilihat dari perlantikan Datuk Seri Najib menjadi Ketua Perhubungan Negeri Selangor, jawatan yang sebelumnya dipegang oleh Khir Toyo yang menjadi Ketua Pembangkang di DUN Selangor. Kedua-duanya sama bekerja bagi menjatuhkan negeri Selangor menurut rentak Perak. Cumanya Najib mengatur strategi secara senyap, sedangkan Khir Toyo adalah jurucakap. Perang politik dan psikologi dicetus dan disuarakan bahawa BN mengambil alih pemerintahan di Selangor pada akhir Ogos lepas. Antara strategi dilihat secara kebetulan digunakan ialah penggeledahan dokumen-dokumen beberapa Exco oleh SPRM terutama dari PKR dan DAP bagi kemungkinan penyalahgunaan peruntukan. Semua ADUN dari PR dalam keadaan berjaga-jaga kemungkinan mereka menerima serbuan dan penggeledahan yang sama. Kelancaran strategi ini terencat oleh `Tragedi Teo Beng Hock` setiausaha kepada Ean Yong Hian Wah yang mati sedang dalam siasatan SPRM dan kekasaran melampau dilakukan terhadap Wong Chuan How, Setiausaha Ronnie Liu. Isu Beng Hock masih dalam penyiasatan.


Strategi bagi menguasai Selangor juga dilakukan dengan penggugatan terhadap kepimpinan negeri Selangor oleh UMNO-BN dengan mengexploitasi elemen perkauman, khususnya bagi membangkitkan kemarahan orang Melayu seperti mereka mengexploitasi isu arak, kuil di Seksyen 23 Shah Alam dan kini isu Selcat menyebabkan celarunya pendapat antara pimpinan PR yang seharusnya diperbetulkan. Perlu diingat mengadu domba ini adalah dari usaha mereka untuk memecahbelahkan kepimpinan dan kekuasaan PR di Selangor. Kita harap pertemuan peringkat parti dan pada peringkat negeri yang diadakan akan memperbetulkan kecelaruan yang sengaja ditimbulkan oleh pihak UMNO-BN. Kepimpinan di Selangor akan terus tercabar dengan isu-isu mendatang dan seharusnya jangan gentar. PR sepatutnya jangan hanya bersifat bertahan, tetapi semestinya bersifat agresif meruntuhkan kekuasaan mereka yang masih bersisa dan mengambil alih kekuasaan Negara sepenuhnya, khususnya dalam Pilihanraya Umum ke 13 kelak (Sab) . Sekian .


10 Syawal 1430

29 September 2009.

No comments:

Post a Comment