December 14, 2009

Budu Dan Madu

Anekdot:

Pada hari Khamis sebagaimana biasa sepasang suami isteri yang sudah lanjut usia itu berpuasa sunat. Pada pagi itu sang suami berkata pada isterinya,
"Lama sudah tak makan bubur lambuk", katanya.
"Susah apa, bukankah hari ini hari Khamis?", Tanya isterinya.
"Mengapa?", Tanya suaminya.
"Hari Khamis bukankah hari Pasar Tani. Ada bubur lambuk dijual, bolehlah dibeli di sana," jawab isterinya bersungguh-sungguh."
"Bubur lambuk ala Kampung Baru itu?", Tanya suaminya.
"Ya, berapa banyak nak, sedia duit saja!"
Tapi tak sesedap bubur lambuk Terengganu," balas suaminya.
"Mana nak dapat bahan-bahannya," jawab isterinya..
"Mungkin ada di pasar," kata suaminya.

Kerana takut kehabisan bahan-bahan, maka Sang Suami segera ke pasar yang tidak berjauhan dari rumah. Lebih kurang setengah jam dia pulang dengan sebungkus ikan kembung, daun pucuk manis, kangkung, daun kaduk, ubi keledek dan santan kelapa. Lain dari itu, bahan-bahan yang lain dianggap sudah ada di rumah.

Sang suami yang pulang tergesa-gesa nampaknya tidak berpuashati. Bila sampai di pintu rumah dia melahirkan kekesalan kepada isterinya,
"Daun utama daun midin, tak ada di pasar!" Keluhnya.

"Tak ada macam mana nak buat, daun paling utama tak ada, kalau buat pun tak jadi," tekan isterinya.
Sang suami termenung seketika, lantas menjawab, "Saya mahu cari sendiri !!!," katanya.
"Di mana?, "tanya isterinya.
"Di tepi-tepi jalan, terutama kawasan berpaya ke Dengkil," jawab suaminya.
"Tak malukah? Nanti orang kenal! Disebut-sebut orang. Lagi pula berbahaya, nanti dipatuk ular dalam semak!"
Termenung sekali lagi suaminya, lalu menjawab, "Saya nak pergi cari,"
Sang isteri kerana bimbangkan keselamatan suaminya, turut ikut sama.
Daun yang dicari tidak didapati setempat. Sedikit di tepi bukit di tepi jalan, sedikit ditanah lembah dan sebahagian memasuki tanah berair di paya. Pada akhirnya dapat sejumlah dua ikat daun midin, lebih dari sekali untuk dimasak bubur lambuk.

Bubur lambut enak dimakan panas-panas selepas dimasak sebelum berbuka. Jika dibuat awal dan sejuk, maka berasnya akan membeku. Masakan perlu dibuat sebelum tiba waktu berbuka, maka sang suami tidak saja ke pasar mencari bahan-bahan dan keluar bersama isteri mencari pucuk midin di tepi-tepi jalan, tetapi juga pada petangnya turut tolong isterinya menggetus helaian daun midin dari tangkai-tangkai beserta dengan daun-daun yang lain. Kemudian urusan seterusnya dibiarkan kepada isterinya untuk memasak. Bubur lambuk, ala Terengganu memang enak dimakan sedang panas. Rasanya lemak bersantan dengan ikan dan rempah.

Sang isteri sebaik dekat masa berbuka dan bubur lambuk masak masih panas menjemput suaminya untuk berbuka.

Sebaik masuk waktu dan bilal azan di surau mereka menghadapi bubur lambuk. Sesudah bismillah dan doa dan bila sudu naik ke mulut, tiba-tiba suaminya berkata,
"Eh, mengapa bubur lambuk ni lain benar rasanya tak seperti biasa! Rungut Sang Suami.
"Mengapa? Rasa macam mana?", Tanya Sang isteri."Saya agak-agak saja bubuh garam dan tak rasa," katanya.
"Manis benar! Macam gulai Kelantan!", kata Si Suami.
"Ya?" kata Sang isteri, sambil menyudu sebahagian dari bubur lambuk yang dihidang, lalu berkata,
"Ya tak ya", sambil merenung dan mengingati.

Tiba-tiba Sang isteri mendongak ke barisan botol-botol tersusun di atas rak almari di tepi dapur dan merungut dalam keadaan terkejut, sambil berkata,
"Bubur ini manis, sebab saya melihat sepintas lalu hujung perkataan dibotol …'du, saya menyangka budu (satu campuran utama dan mesti bagi bubur lambuk Terengganu), tapi ia adalah madu yang hujungnya sama 'du'. (Madu itu dihadiah oleh seorang sahabat bagi mempromosi jualan madu tualangnya yang dikatakan diimport dari Sumatera. Madu ini agak kehitam-hitaman seperti warna budu. Bila diletak dekat botol budu seoalah-olah sama, menyebabkan Sang isteri terkeliru mengambilnya, disangka budu!).

Menyedari kesilapan itu, lantas kedua-duanya ketawa.
Sang Suami berkata, "Tak apa resipi kali ini paling istimewa," iaitu.
"Bubur lambuk Madu' resipi baru".

Bagi mereka berdua, manisnya peristiwa itu lebih daripada manisnya madu.

1 comment: