December 21, 2009

Forum Pemikiran Bangi, Bicara Politik Dan Dakwah TG Dato` Nik Aziz

Surau al-Nur, 02 Muharram = 19 Disember (Sabtu): Ketokohan Tuan Guru dan panel-panel pembicara forum di atas menarik minat peserta forum memenuhi ruang Surau Al-Nur yang baru diperluaskan itu. Ahli panel terdiri dari Sdr Annual Bakri Haron selaku Setiausaha Politik Tuan Guru yang juga seorang penulis, Prof. Madya Dr Abu Hasan Hasbullah Penganalisa dan Pengkritik Politik tajam yang merupakan Pensyarah di Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya dan Profesor Madya Dr. Badlihisham M. Nasir, Pensyarah di Jabatan Pengajian Dakwah, UKM. Dr. Tajul Ariffin Noordin dijemput oleh Moderator Ustaz Jameer Saad, mengalu-ngalukan kehadiran ke Forum anjuran bersama ADUN Bangi, Persatuan Penduduk dan Surau Al-Nur.

~Hadirin yang memenuhi ruang solat Surau Al-Nur~

Menurut Dr. Tajul Forum kali ini paling berjaya berbanding dengan tiga forum yang lepas, kerana dihadiri ramai peserta yang lebih kurang 500 orang. Forum merupakan salah satu kegiatan bagi meningkatkan imej Bangi Bandar Ilmu. Menurut beliau pemilihan Tuan Guru bagi pembicaraan memang bertepatan lantaran beliau seorang tokoh politik tanahair. Beliau mengucapkan terima kasih di atas kesudian para panel hadir menjayakan forum.


~Dr. Tajul Ariffin Noordin semasa menyampaikan ucapan kata alu-aluannya~

~YB ADUN Bangi berucap untuk ucapan perasmian Forum Pemikiran Bangi IV~

ADUN Bangi, YB Dr. Shafie Abu Bakar yang diberi penghormatan merasmikan forum dengan memanjatkan kesyukuran kepada Allah di atas kejayaan forum. Menurutnya kajian (oleh Royal Islamic Society) meletakkan Tuan Guru antara 50 tokoh Islam berpengaruh di dunia. Sebagai tokoh ulama yang telah melibatkan diri di dalam politik dan dakwah keislaman lebih 40 tahun dan memerintah negeri Kelantan selama 22 tahun dan menjadi Murshidul Am Pas, memang TG menjadi sumber dan memiliki sumber, khususnya tentang politik dan dakwah. Beliau tidak saja berpolitik, tetapi menghasilkan buku-buku yang berjumlah lebih 10 buah antaranya Kitab Tafsir, 2 jilid Sirah Nabawiyyah, Hidayah, Telaga Budi, Tundukkan Hati, Bunga Kebahagiaan. Antara buku Tentang Latar Belakang Tuan Guru dan Sdr. Abdul Shukur Harun dan Sdr. Annual Bakri menghasilkan Kilau Kemilau Peribadi. Bahan-bahan yang lain ialah dari pengajaran-pengajaran, ucapan-ucapan, tindakan-tindakan dan perjalanan pentadbiran TG dan artikal-artikal yang banyak ditulis orang berhubung dengan ketokohan beliau.. Menurut ADUN Bangi, buku-buku TG bukan saja untuk dibaca, dikaji, tetapi boleh dijadikan teks pengajaran, usrah dan tazkirah. Bahasa karangannya lembut dan menyentuh hati nurani, kelembutan tercermin juga pada peribadi dan pembawaan TG. Menurut ADUN sungguhpun TG lembut, tetapi tegas dari segi pendirian. Contoh penentengannya terhadap gagasan kerajaan perpaduan (dengan UMNO). TG dihormati oleh semua kaum di Negara ini. Beliau pernah dicadang sebagai Ketua Kerohanian Pakatan Rakyat, bahkan turut disebut sebagai Ketua PR sendiri.

~Para panelis bersama Moderator, Us Jameer Saad di meja forum~

Sdr. Annual Bakri berpendapat: TG sebagai ahli politik dan Pendakwah mempunyai wilayah pemerintahan. Beliau tidak hanya bercakap, tetapi mempraktikkannya di dalam pemerintahan. Ulama lain mungkin ada madrasah dan pelajar, tidak sama dengan pengalaman TG.
Pemimpin lain membawa briefcase yang di dalamnya berbagai perkara. Ada fail hal hartanah, ada mengenai saham, politik dan berbagai lagi, bagi TG Dato` Nik Aziz tiada di dalamnya hanya Islam. Berpolitik Islam, dakwah Islam, pentadbiran Islam dan berbagai lagi semuanya Islam. Dakwah bi lisanil halnya, setiap kali masuk pejabat, beliau tidak duduk, melainkan terlebih dahulu bersembahyang Duha 2 x 2 rakaat.
Annual pernah Tanya TG. Apa yang diminta dalam doanya selepas sembahyang Duha yang dilakukan di pejabatnya. TG berkata, "Memohon kepada Allah di dalam membuat keputusan tidak menyusahkan rakyat !" Berhubung dengan doanya kepada pemimpin negara yang dianggap kontroversi, "Doa sudah naik, Allah tentukan. Terima atau tidak pada Allah. Kalau zalim tanggung, kalau tidak, apa susah ?" Pemerintahan Kelantan hasil dari dapatan kerajaan Negeri. 95% digunakan dan 5% disimpan TG kecam sikap Kerajaan Persekutuan berdolak dalik berhubung dengan Royalti Petroleum terhadap negeri itu dan tuntut dilaksanakan menurut perjanjian. Kadang-kadang tindakan TG dan ungkapan kontroversinya tidak difahami, ternyata selepas dipertikai, persoalan difahami dan jawapan datang sendiri. Sejak dilantik menjadi Menteri Besar, TG memotong 40% dari elaunnya dan 5% untuk parti.


Profesor Madya Dr. Abu Hasan Hasbullah
Kewibawaan dan kelangsungan Pas di Kelantan adalah dengan adanya TG. Beliau bertanya,"Apa jadi jika tiada TG ?" Beliau mengakui keistimewaan TG, kerana ada wilayah pemerintahan, berlainan dengan contoh Hassan al-Banna dan lain-lain tiada wilayah. Pendekatan dakwah dan politik TG dapat dikaji sejak beliau kembali dari pengajiannya ke Kelantan sejak 1975.
TG menekankan Islam bukan semata-mata agama, tetapi adalah satu cara hidup
Ekonomi Kelantan diperkukuh, selain dari pertanian, ialah perniagaan. Daripada 11,246 kedai di Kelantan, 9,000 dimilii umat Islam. Perniagaan di pasar didominasi oleh kaum wanita. Dengan kewibawaan TG dapat pertahankan Kerajaan Kelantan 2004-2008, walaupun dengan majoriti satu kerusi. Kajian dibuat menunjukkan 73% beri sokongan padu kepada TG TG tidak saja berwibawa di dalam pemerintahan, mendalami bidang fiqh, tetapi jiwanya disirami pendidikan dan amalan kerohanian tasawuf. Sebagai pemimpin TG amat memberi berat tentang penjagaan fizikal dan penampilan dirinya di tengah khalayak.
TG bersifat pragmatik. Mendoakan Perdana Menteri agar dengan izin Allah memberi royalti pada Kelantan dan memuji Perdana Menteri dengan pendekatannya berhubung dengan masalah politik kawasan Melayu di Selatan Thailand.
Ekonomi rakyat Kelantan adalah baik dan kuasa beli adalah tinggi.


Profesor Madya Dr Badlihisham M. Nasir
Pendapat umum ulama tak wajar libat dalam politik dan tak berkemampuan berpolitik. Pandangan ini berubah dengan kewibawaan berpolitik TG dan ulama-ulama yang lain. Bila beliau memerintah, secara sinis dikatakan, selepas tiga bulan, tak akan dapat bayar gaji kakitangan dan akan gagal, tetapi ternyata tidak sedemikian. Slogan dibawa Pas, termasuk di bawah pimpinan TG dengan ungkapan "Membangun Bersama Islam" dan kemudian "Pas untuk Semua" lebih berjaya dan memberi kesan dari Slogan Umno-BN seperti "Penerapan Nilai-nilai Islam", dan Islam Hadhari, Pemerintahan TG merujuk kepada al-Qur`an dan Hadith Kelantan mempunyai pengajian agama dan pondok yang secara tidak langsung mampu mengukuhkan pemerintahan keislaman di negeri Kelantan.

Persoalan Yang Ditimbulkan melalui perbincangan. TG memberi ruang pada kebebasan mengeluarkan pikiran dan pendapat dan beliau bersedia mendengar berbagai idea dan pendapat TG mempunyai hikmah dan wisdom. Ini digunakan di dalam pendekatan politik dan dakwahnya. Krisis politik penting bagi menyerlahkan kepimpinan dan tindakan yang diambil. Kepimpinan keagamaan penting. Pengikut-pengikut menurut ketua mereka. Demikian perbincangan di dalam forum mengenai Pemikiran Politik Dan Dakwah TG Dato' Nik Aziz Nik Mat. Tentulah banyak lagi fakta dan analisis dapat dibuat, tetapi dalam masa terhad tentulah tidak semua perkara dapat diperkatakan. Terima kasih kepada semua yang terlibat. Sekian.

No comments:

Post a Comment