Pagi itu
Angin rindu menolak diriku
Membelah ruang perjalanan
Meninggalkan kota sombong di belakang
Menuju ke destinasi mesra
Sesayup jauh membalik ingatan
Ingin kudakap rapatkan
Bukit lembah kiri kanan
Sungai, alur jernih berlarian
Hutan hijau paya bakau
Pokok getah kelapa sawit
Berpapasan menyambut kehadiran
Dengan taburan wangi bunga hutan.
Tengahari itu selamat tiba
Ke garis melepak putih pantai memanjang
Disambut bau laut menyegarkan
disertai dengan muzik alam
Deru angin meluru tajam
Merunduk pokok bertahan
Menggerak awan hitam ke perbatasan
gemuruh gelombang ombak
menghempas perpantaian
Menyanyikan lagu tengkujuh
Mencurah tangisnya berterusan
Membanjirkan lembah dan perkampungan
Meratap nasib para nelayan
Suramnya hidup petani rawan.
Petang itu
Pada puncak perjalanan
Rinduku tertumpah
Pada laman rumah tua
Makin antik dalam penilaian
Pada kedut wajah ninda
Makin kaya garis pengalaman
Pada masjid halus seni binanya
Makin kudus segi kerohanian
Namun imam bilal telah berpulang
Sayuku tertumpah mereka yang ramah
Namun kitab tua masih pada raknya
Siapakah pula membuka mengajarnya
Masihkan setia para jamaah mendengarnya ?
Beberapa anak muda asing dari kenalan
Adalah pelengkap saf salat
Merekakah generasi setia meneruskan ?
Berdepan realiti beberapa hari
Yang kupijak adalah kekinian
Yang kurindui adalah kesilaman
Makin purba dalam ingatan
Yang kucari adalah kehilangan
Semua bergerak ke Keabadian
Lantas kuberangkat kesayuan.
Shafie Abu Bakar.
Paka, Terengganu.
26 Zulhijjah 1430-13 Disember 2009
Hmmm..Paka.Saya orang Kerteh, khetey kata orang tranug kite.
ReplyDeleteAhlan wassahlan ya Dr!