Hijrah antara peristiwa terpenting di dalam sejarah Islam, terdapat banyak pengajaran daripadanya. Pada petangnya (30 Zulhijjah/17 Disember) ketika hujan mencurah lebat, kami berpayung ke Surau Tua kami – Surau al-Umm, beramai-ramai membaca doa akhir tahun Hijrah sebelun azan maghrib dan membaca doa awal tahun Hijrah selepas azan. Kebetulan malam ini malam Jumaat dan sempena Awal Hijrah kami membaca Yasin dan doa beramai-ramai diikuti sembahyang Isyak. Ini adalah sebagai sambutan pembukaan.
Satu sambutan secara teratur dan sedikit kelainan khusus bagi sambutan Hijrah ar-Rasul ialah Program "Sepagi Jumaat" yang lebih banyak bersifat bermadah bertempat di Medan Dataran Usahawan. Sejak seminggu program diatur oleh Ustaz Shafie Ngah selaku pengarah bersama Sdr. Azmi Ahmad, Ketua Penerangan, Amir Osman Bahagian Publisiti dan Zaid Akhtar Bahagian Kreatif serta bersama-sama AJK yang lain. Program yang agak berlainan dari sambutan biasa ini yang dipersembahkan di atas pentas khas agak berjaya. Program diisi dengan Pembacaan Salawat dan Barzanji oleh Imam-Imam Masjid Hasanah yang diketuai Imam Tuan Syed Othman. Seorang ahli nasyid, iaitu Ustaz Azhan Atan dijemput khas dari Johor menyampaikan nasyid-nasyid bertemakan Hijrah dan keislaman. Beliau adalah Johan Akademi Nasyid. Sebuah pentomen berkenaan dengan peperangan yang membunuh kemanusiaan dipentaskan oleh anak-anak berbakat dari Counsil Home di bawah pengarahan saudara Zaid Akhtar.
Sementara itu beberapa penyair telah membaca sajak-sajak berhubung dengan Hijrah. Mereka yang dijemput khas ialah Saudara Amin Jagat, Saudara Syukri Abdullah, Saudara Zaid Akhtar dan turut membaca puisi-puisinya yang berhubung dengan Hijrah ADUN Bangi. Majlis mendapat sambutan menggalakkan. Kerusi yang disediakan di bawah khemah tidak mencukupi dan terpaksa ditambah. Dalam ucapan penutupnya ADUN Bangi mengucapkan terima kasih kepada AJK yang bekerja keras menjayakan sambutan, kepada semua jemputan-jemputan yang mengisi program terutama Ustaz Nazhan Atan, Amin Jagat dan Saudara Syukri Abdullah, Pasukan Salawat dan Barzanji dan pelakon-pelakon berbakat pentomen, ADUN berterima kasih di atas keterlibatan semua. Menurut ADUN objektif sambutan dapat dicapai, tetapi penghayatan dan amalan dari pengajaran Hijrah hendaklah diterapkan di dalam kehidupan. Menurut ADUN program diadakan adalah untuk turut mempromosi Dataran Usahawan. Majlis yang bermula jam 8.30 pagi itu berakhir jam 11.00 pagi diikuti dengan jamuan.
yb,
ReplyDeletemoga program yang bermanfaat sebegini dapat diteruskan dan 'merakyat'..