December 9, 2009

Keperluan Menyatukan Pendidikan Islam Di Selangor

Shah Alam, 21 Zulhijjah = 8 Disember (Selasa):

Yang Amat Berhormat Dato' Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pagi ini merasmikan Konvensyen Pendidikan Islam Selangor 2009 bertempat di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia Dan Kebudayaan di sini. Beliau memuji usaha yang dilakukan oleh Jawatankuasa Tetap Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor dengan kerjasama Majlis Permaufakatan Pendidikan Islam Selangor (MAPPIS). Menurutnya, melalui Konvensyen dapat dikenalpasti kelemahan-kelemahan dan disatukan tenaga bagi memperbaiki sistem pendidikan Islam di negeri Selangor melalui penyatuan dapat diusahakan penubuhan seperti yayasan yang dapat mengumpulkan dana dan dapat disalurkan kepada institusi-institusi pendidikan Islam di negeri ini.

YAB melahirkan kesyukuran melihat kesedaran dan perubahan yang positif ke arah memperbaiki sistem pendidikan Islam di Negeri Selangor. Ini selari dengan hasrat dan semangat reformasi yang dianjurkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat.

~Menteri Besar, YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim(dua dari kanan) dan YB Dr. Halimah bt. Ali Exco Kerajaan Negeri~

Merujuk kepada tema Konvensyen, iaitu "Memartabat Pendidikan Islam Berlandaskan Al-Quran Dan As-Sunnah", beliau mengingatkan bahawa pendidikan Islam telah membawa satu tamadun yang kukuh. Beliau berharap pendidikan Islam di Selangor dapat memainkan peranan yang penting di dalam mencorakkan pendidikan dan masyarakat di negeri ini.

Sementara itu YB Dr. Halimah bt. Ali Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan dalam ucapannya melahirkan kegembiraannya kerana buat pertama kali Konvensyen Pendidikan Islam dapat diadakan di Negeri Selangor. Beliau menyebut masalah yang dihadapi pendidikan Islam seperti masalah bangunan yang uzur dan infrastruktur yang agak daif. Menurut beliau kekurangan sekolah-sekolah agama menengah di negeri Selangor, menyebabkan hasrat ibubapa yang mahu anak-anak mereka menyambung pengajian di sekolah agama menengah tidak tercapai, sehingga sebahagian daripada mereka menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah-sekolah menengah agama di luar dari Selangor seperti ke Kelantan, Kedah dan sebagainya. Menurutnya pendidikan Islam merupakan benteng kukuh yang menentang gejala sosial yang memberikan kesan buruk kepada masyarakat dan negeri.

Konvensyen pada hari ini dihadiri lebih kurang seribu peserta dari pelbagai jenis pendidikan seperti pendidikan-pendidikan di bawah JAIS, maahad tahfiz, swasta, pengajian pondok dan pengajian yang dikendalikan oleh pertubuhan-pertubuhan. Konvensyen ini berjalan selama dua hari yang diisi dengan pembentangan kertas kerja dan perbincangan. Dua kertas kerja dibentangkan oleh dua orang tokoh. Pertama kertas kerja berjudul "Memartabatkan Pendidikan Islam Berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah" yang dibentangkan oleh Profesor Madya Dr. Ab. Halim Bin Tamuri dari Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia dan kertas kedua berjudul, Perlaksanaan Sistem Pendidikan Islam (Pengalaman Di Negeri Kelantan) dibentangkan oleh Ustaz Muhammad Ya, Timbalan Pengarah Yayasan Islam Kelantan sebagai model satu pentadbiran pendidikan Islam Negeri.

~Menteri Besar Selangor dan ADUN Bangi melihat pameran bersama hadirin lain~

2 comments: