Kehidupan adalah pergulatan menuntut daya minda dan tindakan bagi memastikan takdir dan ketentuan. Serlahkan usaha dan ikhtiar. Bumi Allah adalah luas, peluang dan rezeki tidak terbatas. Berhijrahlah. Air dilopak menjadi keladak, sebaliknya air berlari di alor dan pancur terjun ke batu batan jernih dan menyegarkan. Ternakan lembu dan kambing di ladang, rusa dan kijang di hutan, singa dan harimau di tebal rimba di kejauhan tiada kecergasan tanpa pergerakan mencari makan. Pohon-pohon di padang, di bukit bukau biarpun kelihatan tetap, tanpa pergerakan matahari, pertukaran malam dan siang tiada kesuburan dan kehidupan tanpa gerak angin mengocak ombak, mendebur pantai mengarak awan hitam ke perbatasan dan menggugurkan hujan nescaya bumi kering kontang mengancam penghidupan.
Berapa dari anak-anak pintar tinggal jauh di pedalaman, tetapi masih berpeluang bersekolah dan terserlah diri di dalam pelajaran dan peperiksaan, mereka perlu diserlahkan dengan hijrah ke pengajian-pengajian terbaik berasrama dan diberi bantuan. Berapa ramai daripada mereka dengan hijrah berjaya melangkah ke pengajian tinggi di dalam dan luar negeri mengkhusus dalam bidang agama dan bidang-bidang utama lainnya dan keluar sebagai pelajar berjaya dan berkhidmat pada Negara. Mereka merupakan asset tiada ternilainya. Hijrahlah bagi memperbaiki diri dalam pelajaran. Mencontohi Imam Shafie yang dilahir di Ghazzah berhijrah kerana pelajaran, meninggalkan ibu kesayangan, sanggup menempuh kesukaran dan kesempitan. Alam kehidupannya cuma tiga, mencari pelajaran, bermusafir juga kerana mencari pelajaran dan mencari kawan demi bermuzakarah pelajaran. Lantaran itu beliau bermusafir mencari pelajaran dari Ghazzah ke Mesir, dari Mesir ke Madinah berguru dengan Imam Malik dari Madinah ke Iraq berguru dengan Imam Waki` dan pulang ke Mesir sebagai Imam Besar Mazhab dan mengarang kitab-kitab. Dengarkan ungkapan berharga, Jangan bimbang merantau tinggal kawan. Di perantauan kau dapat ganti kawan bergandaan. Air yang terhenti dilopak rosak berkeladak. Aku mengadu kepada Waki` guruku tentang sukarnya mengingati pelajaran, ia menasihatkandaku ilmu itu cahaya dan cahaya tidak diberi kepada yang melakukan dosa.
Berapa dari mereka yang sedar dan tidak diulit nasib tinggal di pedalaman atau di mana saja sama ada di pinggir kota atau di kampong dan pekan, menyedari kekurangan peluang dan dapatan serta berada di bawah garis miskin, bangkit merubah nasib diri berhijrah dengan mengikuti kursus atau terus mencebur diri di dalam perniagaan dan perusahaan di mana bersesesuaian, maka dengan gigih, amanah dan cekal akhirnya menjadi peniaga dan pengusaha yang berjaya bukan saja memperbaiki nasibnya, tetapi nasib keluarga, pekerja-pekerja di bawahnya dan memberi sumbangan bagi ekonomi Negara.
Sedar dan banggalah dengan Negara kita yang mewah dan kaya !!! Bukankah dengan kemewahan dan kekayaan itu menjadi idaman pendatang dari luar seperti Indonesia, Filipina, Bangladish, Thailand, Vietnam dan Myanmar dengan susah payah mau berhijrah ke Negara ini mencari pekerjaan. Sanggup menempuh kesusahan dan kesulitan, setengahnya tertangkap dan terhukum kerana kesalahan dan kemasukan haram. Kehadiran mereka melebihi tiga juta mengancam keselamatan dan peluang pekerjaan anak tempatan. Mereka berhijrah kerana memperbaiki nasib dan masa depan. Hargailah kurnia Allah menjadikan Negara kita makmur. Kitalah sepatutnya mengambil peluang berhijrah di mana ada ruang dan kesempatan.
Hijrah di zaman global dan langit terbuka yang mendekatkan antara Negara dengan berbagai alat komunikasi dan penerbangan menjadikan kehidupan lebih canggih dan membuka ruang penghijrahan bagi menjayakan berbagai kepentingan seperti perniagaan, perusahaan, penanaman modal, pelajaran, pelancungan, penyelidikan dan dakwah.. Sebagai rakyat dan umat hijrah dan rebutlah segala peluang kemajuan bagi meningkatkan martabat diri, bangsa, umat dan Negara.
Alangkah besarnya hikmat Hijrah dicetus Rasulullah.
Allahu Akbar !!! Allahu Akbar !!! Allahu Akbar !!!
Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
01 Muharram 1431
18 Disember 2009.
No comments:
Post a Comment