May 21, 2010

Bertahniq Di Masjid al-Hasanah

Masjid al-Hasanah, 02 Jamadil Akhir = 16 Mei (Ahad):


Pada petang itu ADNS Bangi bersama bersembahyang jamaah Maghrib di Masjid al-Hasanah, Bandar Baru Bangi kerana mau turut sama di dalam "Majlis Bertahniq" atas jemputan Masjid berkenaan. Mengadakan Majlis Tahniq mungkin jarang berlaku di masjid, tetapi itulah antara pembaharuan dan aktiviti dilakukan oleh Masjid. Kita berpendapat, ianya tidak bercanggah dari segi penggunaan masjid, lantaran amalan bersyukur dengan mengadakan aqiqah dan bertahniq dengan kelahiran anak memang disuruh Islam. Ianya adalah budaya murni dari amalan Islam. Ibu bapa menzahirkan kesyukuran kerana menerima kurniaan anak – zuriat keturunan dari Allah.


Pada malam ini ada 6 pasangan ibu bapa yang menjalankan aqiqah dan tahniq terhadap anak-anak mereka. Seekor lembu disembelih hasil dari pakatan mereka yang mengadakan aqiqah. Majlis bertahniq ini bermula dari selepas sembahyang maghrib dengan bersalawat. ADNS Bangi diminta memberi sedikit ucapan. ADNS menegaskan melakukan aqiqah adalah amalan sunat yang mulia dan disuruh Islam. Ibu bapa yang mengadakan aqiqah terhadap kelahiran anak, menyatakan kesyukuran melalui aqiqah dengan menjemput jiran dan masyarakat terdekat menyertai Majlis Aqiqah dan sama menikmati jamuan dari aqiqah. Bersalawat, marhaban dan membaca rawi adalah pernyataan cinta terhadap Rasulullah s.a.w. Dengan memohon keselamatan dari Allah, berkat dan syafaat dari Rasulullah. Melahirkan kesyukuran dengan salawat dan marhaban memang dilakukan pada zaman Rasulullah. Tatkala baginda sampai ke Madinah semasa berhijrah dari Makkah, baginda disambut dengan salawat dan marhaban di Madinah,




Selepas bersalawat pembacaan rawi (barzanji) dilakukan. Beberapa tokoh barzanji membacanya seperti Dr. Maimon dari Fakulti Islam, UKM yang beliau juga memimpin salawat, Imam Tuan Syed, Cikgu Nasir dan Tuan Nazir Haji Hanafiah. Selepas itu beberapa tokoh dijemput mentahniq keenam anak yang diriba oleh bapa-bapa mereka sambil berada di atas kerusi . Sambil jamaah berdiri dan bersalawat ADNS Bangi, Dr. Tajul Ariffin Nordin, Nazir Haji Hanafiah, Imam Supaat dan beberapa yang lain berbaris turut mentahniq anak-anak berkenaan. Tahniq dikenali juga dengan acara 'Belah Mulut' bagi anak-anak yang baru lahir. Untuk tahniq peralatan perlu disediakan di dalam sebuah dulang yang senang ditatang semasa upacara tahniq dilakukan. Di dalam dulang disediakan seperti mangkuk berisi air zamzam, mangkuk berisi madu dan mangkuk berisi kurma yang dicairkan. Sedikit dari cecair ketiga-tiga bahan ini disuapkan dengan sudu ke mulut bayi yang ditahniq. Selain itu sebuah gunting juga disediakan beserta bekas rambut (biasanya berair) untuk yang mentahniq memotong rambut (potong jambul) anak yang ditahniq dan rambut yang dipotong di letak di dalam bekas khas berkenaan. Rambut yang dipotong ditimbang dan seberat itu disedekahkan mas atau senilai dengannya kepada yang berhak menerima sadakah. Selepas setiap anak ditahniq yang melakukan tahniq dihadiahkan dengan bunga telur dan juga ramuan bauan yang biasanya dari daun pandan yang dihiris halus bersama bunga-bungaan yang digaul dengan air wangi.

Berikut dari tahniq para jamaah yang agak ramai itu mendirikan fardhu Isyak dan berikutnya para hadirin dijemput ke jamuan aqiqah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment