May 17, 2010

Rumah Pengasih Warga Prihatin

Sungai Ramal Luar, 01 Jamadil Akhir = 15 Mei (Sabtu):



Kehidupan membuka ruang untuk melangkah ke hadapan. Ada yang berjaya dalam kehidupan, tetapi ada yang malang, antara mereka berada di bawah paras kemiskinan, menjadi ibu tunggal, anak yatim dan mengalami penyakit. Mereka adalah anggota masyarakat yang harus dibela, baik oleh institusi, NGO atau orang perseorangan. Dalam masyarakat umat ada kewajipan sosial. Mereka yang kaya dan berharta diwajib mengeluarkan zakat dan daripadanya dibahagikan kepada asnaf yang berhak termasuk faqir miskin. Dalam kehidupan bernegara rakyat yang berada dikenakan cukai antaranya digunakan untuk membantu yang daif. Tetapi di dalam masyarakat ada kalangan yang prihatian terhadap mereka yang tidak bernasib baik seperti wujudnya badan-badan kebajikan yang membela mereka seperti ini, institusi-institusi, Ngo-Ngo dan orang-orang perseorangan. Kalangan sedemikian atas rasa keinsafan, kebajikan dan kerana Allah sanggup berusaha, menghabiskan masa, mengeluarkan tenaga dan harta bagi membela mereka yang kurang bernasib baik.


Hari ini kami datang atas jemputan berkunjung ke Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) bertempat di Sungai Ramal Luar. RPWP ini diasaskan oleh Dr. Masjuki bin Haji Mohd Masuri yang juga Pengetua yang telah mewakafkan bangunan rumahnya bagi dijadikan premis bagi anak-anak yatim, ibu tunggal, warga mas dan mereka yang kurang bernasib baik tinggal dan diurus di sini. Perjalanan (RPWP) diurus oleh sebuah Jawatankuasa yang terletak di bawah Pemadam. (RPWP) beroperasi sejak 2007. ADNS Bangi dijemput untuk merasmikan pelancaran derma darah yang dianjurkan oleh RPWP sempena Hari Pengasih hari ini.


Turut hadir ke majlis pada hari ini ialah Tuan Haji Yusof bin Abdul Kadir Ketua Kampong Sungai Ramal, Tuan Haji Nik Pa Nik Leh Nazir Masjid Sungai Ramal, Y Bhg. Dato` Ujang Bagung Selaku Timbalan Pengerusi Pemadam, Imam Supaat mewakili Masjid al-Hasanah, Tuan Haji Ya`kob Imam Masjid Sungai Ramal Luar, Dr. Lee dan Dr. Norhayati dari Pusat Darah Negara dan tamu-tamu kehormat.


ADNS Bangi di dalam ucapannya mengucapkan tahniah dan syabas terhadap keprihatinan AJK, khususnya Dr. Masjuki yang prehatin dan membela mereka yang kurang bernasib baik, bahkan atas keinsafan sanggup mewakafkan rumahnya bagi dijadikan sebagai "Rumah Kebajikan" yang setakat ini dihuni oleh lebih kurang 40 orang yang terdiri dari pelajar-pelajar, ibu tunggal, warga mas dan mereka yang perlu mendapat pembelaan. Pelajar-pelajar diurus persekolahan mereka melalui pengangkutan yang disediakan oleh RPWP. Apa yang menarik menurut ADNS Bangi, RPWP ini setakat ini berdikari dengan perbelanjaan dibiayai oleh kumpulan di dalam jawatankuasa berkenaan. Beliau sedia bekerjasama dengan RPWP dan berharap masyarakat di Sungai Ramal Luar sama mendukung hasrat murni pihak RPWP. Sebelum daripada itu Dr. Masjuki berucap mengucapkan terima kasih pada hadirin, khususnya pasukan dari Pusat Derma Darah Negara. Beliau menceritakan latar belakang penubuhan RPWP, perkembangan dan operasi perjalanannya diikuti ucapan oleh Tuan Haji Mohd Yusof bin Abdul Kadir Ketua kampong yang sedia bekerjasama dengan RPWP yang sebelum ini menurutnya, lebih bersifat tertutup dan kini bersifat terbuka. Majlis pembukaan diserikan dengan nasyid dari anak-anak penghuni rumah RPWP.


Kita berharap RPWP dapat menguruskan perjalanan RPWP dengan baik, bukan setakat menyediakan tempat lindungan, makan minum, tetapi juga dari segi pelajaran dan didikan keagamaan. Mereka juga wajar dididik berdikari. Pengurusan RPWP perlu memikirkan untuk mewujudkan asset dan kumpulan dana yang dapat menjamin kelangsungan RPWP. Kalau perlu permohonan dana boleh dibuat terhadap Lembaga Zakat Kerajaan Negeri Selangor dan juga dari Jabatan Kebajikan Masyarakat.


Sekian.

No comments:

Post a Comment