Gelombang kehidupan membuat manusia kadang-kadang melonjak ke permukaan. Ada yang terhempas ke bawah cemas dan lemas. Jarang yang berpandu keinsafan, kecuali yang jiwanya gemerlap dengan taqwa.
Demikianlah resam kehidupan yang kaya, berpangkat dan berkedudukan sering terbetik di hati riya, ujub, ego dan kesombongan. Jika berlaku pada sebarang jiwa dengan sifat mazmumah demikian, maka ianya menandakan jiwa tersebut mulai diserang penyakit kronik dalaman. Sebagaimana penyakit fizikal seperti darah tinggi, jantung dan kencing manis perlu kepada rawatan, demikianlah penyakit jiwa perlu kepada terapi rohani. Rawatan fizikal berkenaan perlu melalui pakar yang mempunyai peralatan dan perubatan berkaitan. Demikian penyakit rohani perlu melalui pakar dan kaedah-kaedah kerohanian.
Mengubati penyakit rohani seperti menurunkan perasaan riya, ujub, ego dan sombong ialah melalui terapi rohani seperti mendengar nasihat, mempelajari ilmu kerohanian dan beribadat hingga menyedari diri berhadapan Allah dan insaf. Salah satu cara yang boleh membawa kepada terapi jiwa dan keinsafan ialah melalui pengalaman dan pemerhatian.
Pengalaman seorang yang riya', ujub, ego dan sombong ditakdirkan dia mengalami penyakit fizikal seperti penyakit tiga serangkai (darah tinggi, kencing manis dan jantung), pasti riya', ujub, ego dan sombong menurun ke tahap keinsafan bahawa diri tidak lebih dari seorang hamba yang lemah, hina dan fana. Apa yang dimegahkan tidak lain dari sementara, pinjaman dan fatamorgana. Tetapi bagi diri yang sihat, tentulah berusaha menjauhi dari penyakit dan bersyukur dengan kesihatan yang dikurniai Allah. Tetapi antara cara yang dapat mengundang keinsafan, ialah menziarahi orang yang sakit, membantu mereka yang miskin dan menolong orang yang ditimpa kemalangan. Di dalam hal ini Rasulullah s.a.w telah menunjuk jalan ke arah keinsafan dan amalan murni. Dipetik dari Kitab Riyad al-Salihin al-Imam Nawawi:
Daripada Abi Musa radiya`l-Lahu `anhu berkata,
Bersabda Rasulullah salla`l-Lahu `alaihi wa sallam:
``Ziarahlah kamu orang sakit, berilah makan orang yang lapar dan bebaskan orang yang ditawan.``
Di dalam konteks ini ADNS Bangi dan Jawatankuasa Kebajikan sering mengunjungi dan berdepan dengan orang yang sakit baik di hospital atau di rumah pesakit, menyampaikan bantuan kepada faqir miskin, anak yatim dan ibu tunggal. Juga menziarahi mereka yang kemalangan seperti kebakaran, banjir, ribut dan sebagainya. Sesungguhnya semua ini adalah tugas biasa kami.
Tetapi di dalam mendepani mereka yang daif dan malang secara tidak langsung kami sama menumpang mengalami terapi dan rawatan jiwa kami dengan rasa keinsafan, belas kasihan, rasa kemanusiaan dan keihsanan.
Terbaru pada petang Ahad ini (2 Mei), kami menziarahi tiga orang yang bernasib malang yang berlainan masalah yang dihadapi mereka.
Pertama kami melawat Ibu Tunggal Puan Zarina Bt. Yamin di rumah pangsa di sini yang kematian suami sejak setahun lepas dan terpaksa bertungkus lumus bekerja setiap hari menjual goring pisang di pinggir perumahan tempat tinggalnya bagi menampung 5 orang anaknya yang bersekolah dan sedang membesar. Pada wajah ibu tersebut terbayang kecekalan dan keazaman untuk bertekad berusaha mencari rezeki halal selagi kudratnya ada.
Ketika ADNS bertanya anak-anaknya, "Sukakah tinggal di sini? Mereka menjawab "Suka", Tambah ADNS, "Tak mau balik kampung (Jerantut asal mereka) ?" Mereka menjawab, "tak mau pulang."
Ibunya mencelah, Arwah (suaminya En. Zafli meninggal 19.4.2009) telah berpesan sebelum meninggal agar menjaga anak-anak dan rumah di sini.
Atas rasa prihatin pihak AJK di sini membantu bagi Puan Zarina mendapat bantuan zakat yang sedikit sebanyak dapat meringankan bebenan di dalam menjaga anak-anaknya. Kami tinggalkan Puan Zarina setelah menyampaikan bantuan dan katra-kata selamat.
Di rumah yang lain yang tidak berjauhan dari rumah Puan Zarina, kami melawat juga seorang ibu tunggal Puan Fatimah Zami yang sudah 25 tahun menjaga dan meladani anak perempuannya yang 'Down Syndrom' yang semuanya perlu dijaga dan dikawal. Raut muka dan wajahnya tetap menumpahkan kasih sayang terhadap anaknya, walau apapun kekurangan padanya.
Ketika kami tiba anak ini sedang menonton telivesyen, ADNS bergurau,
``Siapa yang anak suka tengok di tv ini ?
Dengan spontan anak tersebut menjawab, "Mawi!", Kami spontan beramai-ramai ketawa termasuk ibunya.
ADNS menambah, "Siti Norhaliza tak suka?". Jawabnya, "Suka juga."
Kami juga menghulurkan bantuan dan kami difahamkan anak ini juga mendapat bantuan zakat secara bulanan.
Lawatan kami terakhir sekali ialah ke rumah seorang warga mas yang sedikt jauh dari perumahan tadi. Beliau adalah En. Abdul Rahman Mahmud (60). Beliau mengidap penyakit kencing manis dan sakit jantung. Sebelah kakinya sudah dipotong. Beliau menunjukkan kaki yang sebelah lagi juga mengalami masalah kencing manis. Beliau menunjukkan juga parut-parut di badannya yang membuktikan beliau telah beberapa kali dibedah kerana masalah jantung. Kini kombinasi dari penyakit kencing manis dan jantung, beliau berterusan berada di katil pembaringan dan jika bergerak memerlukan bantuan. Kami merasa terharu dan hiba melihat apa yang dialami oleh En. Abdul Rahman, tetapi beliau sebagai orang yang mengalami penderitaan tentulah lebih berat menamggung ujian. Ibarat kata pepatah, "Betapa berat mata memandang, beratlah lagi bahu memikul."
Sesungguhnya dari En. Abdul Rahman dan dua yang lain di atas kami sama menerima dan mengalami terapi rohani dan membawa keinsafan tentang kefanaan hidup ini dan bersyukur kepada Allah, walau melebihi umur En. Abdul Rahman masih lagi dikurnia kesihatan. Al-hamdulillah.
Kami bergerak meninggalkan rumah berkenaan dengan penuh keinsafan dan berpesan kepada En. Abdul Rahman dengan kesabaran dan lebih banyak mengingati Allah, setelah menyampaikan sedikit bantuan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment