May 18, 2010

Menghargai Pelajar Cemerlang PMR Pekan Bangi Pada Hari Guru

Pekan Bangi, 02 J. Akhir = 16 Mei (Ahad):

Setiap tahun AJK Pendidikan dan Kebajikan ADNS Bangi mengadakan "Hari Kecemerlangan Pelajar" bagi menghargai pelajar-pelajar yang mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan yang mereka masuki. Penghargaan pada peringkat DNS Bangi dilakukan secara menyeluruh bagi peringkat SPM dan STPM/STAM sebagaimana dilakukan baru-baru ini. Tetapi bagi peringkat UPSR dan PMR tidak dilakukan secara menyeluruh oleh kerana jumlah mereka terlampau ramai. Tetapi jika ada inisiatif oleh pimpinan setempat mengadakan "Anugerah Cemerlang", maka pihak AJK berkenaan dibawah ADNS Bangi akan memberi kerjasama, termasuklah menyediakan peruntukan.


Demikianlah pada pagi ini, secara kebetulan adalah Hari Guru AJK setempat yang terdiri dari Saudara Tuan Haji Sukaimi, Saudara Ari dan Saudari Jannet dan ahli-ahli yang lain berusaha mengumpul data dan maklumat pelajar cemerlang pada peringkat PMR di Pekan Bangi, maka kami turun sama meraikan pelajar-pelajar cemerlang berkenaan dengan menyediakan peruntukan dan keperluan berkenaan. Pada tahun ini seramai 42 pelajar cemerlang berbagai kaum dapat dikenalpasti dan dijemput menghadiri "Hari Kecemerlangan Pelajar" di sini.


Majlis hari ini bertempat di Dewan Orang Ramai Pekan Bangi di luar dugaan, amat gemilang serta mendapat sambutan bukan saja dari pelajar-pelajar, tetapi ibu bapa dan guru-guru. Pada Hari Guru ini kami amat berterima kasih kerana pihak Sekolah bekerjasama dan menghantar guru-guru bersama memberi penghormatan kepada pelajar-pelajar mereka. Terima kasih Cikgu Mohd Faisal bin Abdul Aziz dan Cikgu Norhisham – Selamat Hari Guru kepada mereka.

Dari 42 pelajar cemerlang terdapat dua orang pelajar paling cemerlang yang mencapai semua A plus bagi semua mata pelajaran yang mereka ambil. Mereka ialah pelajar


NORHANISAH BINTI ISMAIL
&
LOU JIA JIN


Sebahagian besar pelajar dapat turut hadir dengan diiringi ibu bapa mereka, manakala sebahagian yang mendapat tawaran belajar ke sekolah-sekolah asrama penuh dan sekolah-sekolah yang lain yang jauh ada di kalangan mereka tidak dapat hadir dan mewakili kepada ibu bapa mereka hadir. Antara pelajar cemerlang 42 orang di atas ada yang ditawar belajar di MCKK, MARA, Sekolah Menengah Agama Persekutuan dan Sekolah-sekolah pilihan yang lain.

ADNS Bangi dalam ucapan ringkas mengucap tahniah dan syabas kepada pelajar-pelajar cemerlang yang telah mencapai keputusan cemerlang. Terima kasih tidak terhingga kepada guru-guru yang telah berusaha bertungkus lumus mendidik pelajar-pelajar, juga terima kasih dan penghargaan kepada ibu bapa yang prihatin yang tentunya berusaha bagi memungkinkan anak-anak mereka mencapai kejayaan cemerlang. ADNS Bangi, memberi semangat dan mengharapkan pelajar-pelajar terus berusaha dan mengekalkan kecemerlangan mereka di dalam apa juga peringkat pengajian dan pembelajaran mereka. Pelajar-pelajar adalah Duta DNS Bangi yang memperkukuhkan DNS Bangi sebagai Bandar Ilmu. Anak-anak Cemerlang adalah pelapis yang akan menggantikan generasi kini yang akan membawa kecemerlangan dan dapat memberi khidmat kepada bangsa, Negara dan agama.

Penyampaian hadiah dilakukan oleh ADNS Bangi bersama Saudara Mazwan Johar Ahli MPKj Kawasan. Penyampaian penghargaan seolah-olah Hari Graduasi Pelajar-Pelajar. Sesi fotografi tidak saja secara beramai-ramai bahkan, pelajar dan ibu bapa mengambil peluang mengabadikan saat sejarah Hari Kecemerlangan dengan anak-anak mereka dan bersama ADNS Bangi dan juga secara kelompok.


Ada kepuasan, kemesraan dan kesyukuran pada wajah pelajar-pelajar, ibu bapa dan guru-guru dan semua yang terlibat menjayakan Hari Kecemerlangan. Tahniah kepada semua.

Selamat Hari Guru - Jasamu Dikenang

Terima kasih.

No comments:

Post a Comment