May 5, 2010

Menambak Tanah Kosong, Melihat Jalan Sg. Ramal Dalam

Jalan Reko & Sg. Ramal Dalam, 17 J. Awal = 2 Mei (Ahad):

Jam 9.30 pagi melawat projek penambakan batu krikil di kawasan seluas 1/5 ekar kawasan tepi masuk Pintu Dua Sekolah Menengah Jalan Reko dan juga berhadapan dengan Pintu Kedua jalan masuk ke kawasan Jabatan Pertahanan Awam. Pada bulan lepas ADNS Bangi menerima permohonan dari Tuan Haji Shafie Ngah Ahli MPKj (Zon N. 22) mencadangkan agar tanah kosong di atas yang lembut dan ditumbuhi lalang dan rumput serta dikotori kayu-kayu dan sampah ditambak dengan batu krikil. Dengan penambakan ini membolehkan pelajar-pelajar berkumpul di kawasan itu sementara ibubapa mereka datang menjemput. Untuk jangka panjang tapak ini boleh ditarkan. Buat masa ini tidak boleh ditarkan, kerana tanah masih lembut dan turun.Permohonan dari peruntukan ADNS Bangi bagi menambak kawasan tersebut dengan batu krikil telah dilulus dan kerja-kerja penambakan telah dilakukan sejak dua minggu lepas.

~Keadaan Dahulu~

~Keadaan Sekarang~

~Keadaan Dahulu~

~Keadaan Sekarang~

Pagi ini ADNS datang melihat dan menilai penambakan yang telah dilakukan. Ternyata setengah bahagian dari tempat ditambak batu kerikil menurun dan perlu diratakan lagi dengan batu kerikil yang seharusnya direzerbkan untuk pembaikan. Untuk menjadikan tempat ini mantap memakan masa sebelum tanah benar-benar stabil dan boleh ditarkan. Untuk jangka panjang juga tempat ini wajar didirikan bangku-bangku berlindung untuk tempat menunggu. Ini insya Allah akan diusahakan.

Pada tengahari ini juga ADNS bersama Saudara Azizi ke Sungai Ramal Dalam melalui Surada bagi melihat jalan yang dimohon agar jalan dari Surada melalui hadapan Darul Hikmah ABIM keluar ke jalan masuk dinaik taraf. Jalan ini agak lurus, tetapi turun naik dari Surada ke permukaan masuk ke Darul Hikmah ABIM. Menurut pihak MPKj oleh kerana menaiktaraf jalan ini memakan peruntukan yang besar (tidak diberi nilaian), kerana melibatkan pengambilan tanah (tidak disebut berapa luas), maka penaikan taraf dan pembaikan akan dilakukan dari jalan masuk dari Sungai Ramal hingga ke Darul Hikmah ABIM sahaja.



Kita berpendapat jika jalan dinaiktaraf dan diperbaiki sekadar dari jalan masuk, Sungai Ramal Dalam ke Darul Hikmah sahaja (tak sampai satu kilometer), ianya tidak mencapai maksud membaiki jalan dan tidak melicinkan lalu lintas jalan Sungai Ramal ke Surada yang telah menjadi jalan pintas yang popular. Kita berharap penaikan taraf dan pembesaran jalan perlu dilakukan seperti dirancang dari pintu masuk ke ABIM, tetapi jalan dari hadapan ABIM hendaklah juga diperbaiki dan ditarkan menurut saiz yang ada sekarang sebelum pengambilan tanah dapat dilakukan kelak.

Terima kasih.

No comments:

Post a Comment