May 8, 2010

Tiba-Tiba Ku Alami Kontradiksi-Kontradiksi

BBB, 22 J. Awal = 7 Mei (Jumaat):

Anekdot:

Petang ini aku rasa releks, kerana pada malamnya tidak ada sebarang program. Dalam mindaku berlegar rancangan. Malam nanti selepas isyak dapatlah ke pejabat untuk menyediakan bahan bagi dua kertas kerja yang bakal kubentang dalam seminar berasingan dalam masa yang tak lama lagi. Tiba-tiba aku menerima telefon dari Sdr. Fadli Setiausaha, malam ini aku dijemput ke makan malam di Restoran Tupai-Tupai Jalan Reko dan selang beberapa minit terima lagi maklumat dari Haji Rushdi Pengerusi Kebajikan ada kematian di Pekan Bangi – Seorang Cina dewasa kemalangan motor dengan lori di Pekan tersebut dan petang ini istiadat menerima tetamu diadakan. Setelah bersetuju dan mengatur jadual dan tiba masa, kami bertolak ke Pekan Bangi dulu selepas Maghrib bersama saudara Azizi dan Abu Bakar dan Haji Rushdi bersama AJKnya.


Tiba di sana, aku yang memilih pakai baju batik sedikit merah, dengan jangkaan sesuai dengan warna kesukaan dan budaya orang Cina serta sesuai untuk ke Majlis Makan Malam, kudapati ada kontradiksi dan kekeliruan fahaman. Rupanya bagi penglahiran takziah, tamu-tamu yang datang dari kalangan orang Cina berbaju putih! (Warna melambangkan duka, di samping hitam menurut waktu dan kesesuaian). Pada malam ini agak berlainan dari ziarah-ziarah kematian orang Cina pernah kulakukan. Malam ini ada kumpulan muzik tradisional Cina yang meniup serunai, memukul canang dan menggesek alat bunyian tradisional Cina. Mereka membawa lagu-lagu klasik berirama sedih, sedang ditengah seorang yang sedang menyebut-menyebut ungkapan-ungkapan sedih sambil mengebar-ngebar bendera kecil ke kiri ke kanan (agaknya untuk menghalau kemajalan dan hantu syaitan!). Sdr. Azizi telah bertanya keluarga simati kemungkinan diambil gambar atau dilarang. Mereka tidak melarang. Setelah duduk seketika kami dibawa menziarah mayat dan kemudian menemui waris terdekat, mengucap takziah dan menyampaikan bantuan.


Bertolak ke Restoran Tupai-Tupai kubayangkan akan makan di sana makanan biasa nasi dengan lauk-lauk yang enak. Rupanya kontradiksi dengan jangkaanku. Makan secara 'steamboat' pilih ramuan sayur, bahan-bahan makanan laut dan berbagai lagi untuk dicelur dalam air panas pada periuk berapi menyala di bawahnya (ada balang gas bagi setiap meja). Sebenarnya aku jarang makan makanan seperti ini. Tapi turut berbaris memilih ramuan makanan untuk dimasakkan di dalam 'steam boat'. Memerhatikan seluruh bahan berbagai jenis itu, tapi tak ada nasi, aku yang suka makan nasi menurut waktu, sedikit kecewa, tetapi tetap memilih beberapa dan membawa ke meja untuk dimasukkan ke dalam periuk. Aku tak bangun-bangun untuk menambah sebarang makanan. Tapi Pak Din AJK yang terkenal pandai memasak itu, membawa satu-satu makanan dan minuman, walaupun aku menolak. Tapi oleh kerana amaran di dinding. "Jangan membazir ! Setiap gram lebihan tak dimakan akan didenda bayaran tambahan RM10.00!" Kerana takut kena denda, aku terpaksa makan semua makanan yang diambil dan yang dihidang oleh Pak Din satu-satu persatu itu, walaupun perut aku sudah kenyang!

Setelah selesai makan, walaupun boleh lagi ambil makanan bagi sesiapa yang mau terus makan, aku jangka tamatlah majlis, dapatlah aku balik ke pejabat. Rupanya kontradik dari jangkaanku ada agenda ucapan dijemput Pengerusi Cikgu Mus yang dimulakan oleh Haji Mazwan selaku Pengarah Mesyuarat Agung yang berjaya diadakan dan jamuan ini sebagai kesyukuran. Semasa Haji Mazwan bercakap aku yang pasti diminta berucap, memikir-mikir apa yang aku nak ucapkan.

Aku berdiri dan bercakap secara releks dan memilih tema "Kontradiksi" untuk membangkitkan rasa 'humor' dan tidak mengambil tema yang berat. Makan malam ini, kataku, seharusnya dalam suasana gembira, tapi saya berada di dalam mood yang kontradik, 'duka' kerana baru menziarah kematian dan masih terngiang-ngiang lagi lagu klasik Cina berirama sedih dan wajah si mati yang mendukacitakan hati. Aku berkata, oleh kerana rasa duka ini mungkin tak dapat makan banyak, tapi saya akan cuba makan sebanyak-banyak yang dapat!


Selain dari aku cakapkan apa yang kuperkatakan di atas aku lanjutkan aspek kontradiksi. Elemen kontradiksi ini, kataku, bagi yang kreatif dikomersialaiskan. Contoh di kawasan Bandar termaju di Bangi ini, iaitu di Seksyen 9, ada kedai 'Old Town', pada hal tempat itu baru dibuka, yang patut 'Old Town' ialah di Seksyen Satu tempat pejabat kita, tapi tak pula dipanggil 'Old Town'. Elemen kontradiksi lagi, ada restoran mengiklankan pada papan tanda menu utama "White Coffee", mana ada kopi putih, kalau tidak hitam, tentulah bukan kopi ! Bahkan kopi campur susu pun tetap hitam juga ! Itulah elemen kontradiksi secara kreatif dikomersialaiskan. Tambahku lagi, nama restoran yang kita hadir ini menggunakan "Restoran Tupai-Tupai" bukan saja kontradiksi dari penggunaan biasa, bahkan menjadi Tanda Tanya. Tupai adalah sejenis binatang. Tupai bukan macam ikan boleh dimakan. Apakah 'Tupai-Tupai' ini adalah dari kombinasi kata bahasa Inggeris 'two` dan 'five' yang bermaksud boleh datang makan berdua (suami isteri atau bersama yang dikasihi) dan untuk semeja boleh untuk berlima seperti kita malam ini. Tapi setakat yang saya tanya belum ada yang dapat memberi jawapan. Barangkali kalau tanya pemilik restoran pun tak dapat menjawab dengan memuaskan. Saya fakir pemilik restoran yang mempunyai banyak rangkaian restoran lagi ini, bukan lagi menggunakan elemen kontradiksi, tetapi lebih dari itu, iaitu elemen Tandatanya dan Mistri, sehingga kita juga datang untuk mengetahuinya ! Namun kita datang masih tidak tahu dan masih misteri.


Selepas berceloteh secara humor, aku barulah masuk kepada topik asas, ucap terima kasih kepada pengarah yang telah berjaya melaksanakan persediaan dan perjalanan mesyuarat agung dengan licin dan jaya, menyentuh situasi politik semasa. Kita mesti bersiap sedia menghadapi perkembangan politik yang berubah dan mencabar. Kita mesti kukuh berdiri, jangan mengharap untuk bergantung pada orang lain. Biar orang lain bergantung pada kita. Kalau rebah kita tetap tidak rebah. Kita mesti perkukuh kedudukan, bersiap sedia, biar orang memerlukan kita, seperti dalam pilihanraya Hulu Selangor dan kita turun bukan sebagai individu, tetapi sebagai jentera! Kita jentera parti yang sentiasa siap siaga!

Sekian.

No comments:

Post a Comment