May 7, 2010

Menaiktaraf Surau Al-Ikhwan Seksyen 5 Bandar Baru Bangi

Seksyen 5, BBB, 16 J. Awal = 01 Mei 2010 (Sabtu):


Surau Kecil al-Ikhwan di sini mula didirikan pada awal tahun 1998. Sejak itu surau ini berperanan memenuhi tuntutan kifayah, pusat pendidikan, kegiatan keagamaan dan kemasyarakatan bagi penduduk 5C dan 5D Seksyen 5 Bandar Baru Bangi. Sejak dari awal disedari tentang ruang terhad surau ini yang tidak dapat menampung jamaah dengan selesa – sekadar menampung 60 jamaah. Kesesakan amat terasa, khususnya pada bulan Ramadhan dan bila adanya perayaan-perayaan seperti sambutan idul Fitri dan Idul Adhha serta kegiatan kemasyarakatan seperti mesra rakyat dan sukan yang kebetulan padang permainan berhampiran surau ini.

Atas keperluan mendesak ini pihak AJK Surau yang dipengerusikan oleh Profesor Madya Dr. Rosli Ramli yang juga Pengerusi Persatuan Penduduk. Bendahari Encik Shamsuri, AJK Dr. Roslan, Dr. Shaharuddin, En. Zainuddin dan AJK-AJK yang lain telah sepakat bagi menaiktaraf Surau il-Ikhwan kepada sebuah surau yang lebih besar dan lebih selesa dari segi penggunaannya. AJK dan Penduduk berhasrat memungut derma hingga sejumlah tidak kurang daripada setengah juta ringgit. Dengan jumlah ini dapatlah dinaiktaraf surau hingga mampu menampung tidak kurang dari 500 jamaah. Derma telah dipungut sejak awal lagi dan kini atas kegigihan AJK dan sifat dermawan penduduk pihak AJK telah berjaya memungut sejumlah RM278,000. Dengan kadar ini pihak AJK berpendapat boleh dimulai letak kerja bagi menaiktaraf Surau al-Ikhwan.


ADNS Bangi yang dijemput merasmikan letak kerja bagi Penaikan Taraf Surau al-Ikhwan memuji pihak AJK dan penduduk yang gigih memajukan surau dan kini berusaha bagi menaiktaraf Surau al-Ikhwan. Urusan-urusan keizinan dari segi tapak dan plan dimaklumkan telah mendapat kelulusan. Menurut ADNS beliau masih ingat tatkala melancarkan penggunaan Surau al-Ikhwan ini pada tahun 2008 yang pada masa itu masih dalam keadaan serba kekurangan, tetapi atas kesungguhan surau ini terus berfungsi dan dimakmurkan. Banyak acara-acara yang diadakan di sini dihadiri ADNS Bangi, imarah Ramadhan, perayaan-perayaan, hari ibu bapa dan sukan. Dengan fungsi yang banyak yang dijalankan oleh penduduk dan keperluan kepada ruang yang lebih luas, sememanglah Surau al-Ikhwan wajar dibesarkan.


ADNS berpendapat walaupun sasaran jumlah derma yang diperlukan ialah RM500,000/=, tetapi bagi penaikan taraf tidak semestinya menunggu wang berjumlah sedemikian baru pembinaan mau dilakukan. Sebaliknya dengan jumlah yang ada sekarang boleh dimulakan pembinaan menaiktaraf, apalagi pihak kontrektor – iaitu Syarikat Shauqi Sdn. Bhd. difahamkan telah bersetuju. Pada kebiasaannya apabila bangunan mulai naik, orang lebih yakin dan semangat menderma lebih tinggi, kerana melihat bangunan mula terbina. ADNS percaya insya Allah, dengan izinNya lebih ramai mereka yang mau menderma. ADNS berharap pada masa hadapan surau ini akan dimakmurkan bukan sahaja oleh penduduk-penduduk Jalan 5C dan 5D, tetapi juga penduduk dari jalan 5A-5E. Bahkan penyertaan juga harus melibatkan penduduk rumah kondo berdekatan, walaupun mereka sudah mempunyai surau sendiri dalam kawasan berpagar mereka, tetapi tidak salah bagi mereka mengambil bahagian dan mengeratkan silaturrahim antara penduduk rumah kondo dengan penduduk sekitar surau yang dinaiktarafkan, bahkan ADNS Bangi difahamkan kalangan penduduk rumah kondo berkenaan ada antara mereka datang bersembahyang jamaah di Surau al-Ikhwan yang sebenarnya amat dekat lokasinya dengan rumah kondo.

Beberapa kawasan perumahan PKNS baru juga sedang bertambah dan telah dihuni dalam masa terdekat. Mereka juga perlulah ditarik menyertai sebagai jamaah di Surau al-Ikhwan ini. Bahkan pada hari ini ada yang saya kenal datang bersama hari ini dari kawasan perumahan yang baru. Apa-apa kegiatan hendaklah sama menjemput mereka sama menyertai.Jadikan surau ini milik bersama, bukan ditekan dan dikhusus bagi penduduk di Jalan 5C dan 5D sahaja. Nama surau ini melambangkan muhibbah, "al-Ikhwan" bererti Persaudaraan, maka hendaklah dipersaudarakan melalui surau ini semua penduduk setempat. ADNS berpendapat sekiranya surau ini siap dengan selesa dan dapat menampung jamaah dengan jumlah yang ramai, maka jika berkelayakan pada masa akan datang, kemungkinan boleh dipohon untuk didirikan sembahyang Jumaat. Kedudukannya agak jauh dari masjid dan surau-surau yang mendirikan sembahyang Jumaat.


Selepas upacara perasmian peningkatan taraf surau, oleh ADNS Majlis dilengkapkan dengan sembahyang hajat dan doa selamat semoga Allah memudahkan segala urusan dan membuka hati-hati para dermawan untuk menderma bagi mencukupkan dana dan keperluan. Insya Allah.

Wallahu a`lam.

No comments:

Post a Comment