May 27, 2010

Dialog Bersama Penduduk Bukit Mewah, Kajang

Bukit Mewah, 9 J. Akhir = 23 Mei (Ahad):


Sebuah pertemuan dengan penduduk Bukit Mewah diadakan bertempat di Dewan Orang Ramai Bukit Mewah jam 10.00 pagi bertujuan untuk mendapat maklumat dari penduduk sama ada mereka bersetuju atau tidak cadangan untuk menuntut pihak SILK membuka jalan 7, keluar dari Bukit Mewah ke High Way Silk.


Hadir bersama di dalam dialog Y.B. Saudari Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, Dr. Shafie Abu Bakar Ahli Dewan Negeri Selangor, kawasan Bangi dan beberapa Ahli MPKj seperti Saudara Chandra Mohan A/L S. Thambirajah, Encik Lee Learn Eng dan Puan Lee Kee Hiong. Lebih kurang 50 orang penduduk turut hadir.


Permasalahan jalan keluar dari Bukit Mewah melalui Jalan 7 ke High Way Silk bukan baharu. Perkara ini telah banyak kali dibincangkan, bahkan beberapa kali telah diadakan tunjuk perasaan menuntut jalan yang lengkap dengan jalan keluar (pelan asal untuk keluar masuk, tapi ditutup jalan masuk) – perlu di sambung sedikit, membolehkan laluan bagi jalan keluar. Namun di samping tuntutan membukanya, ada kalangan penduduk tidak mahu jalan ini dibuka dengan alasan mengganggu ketenangan yang mereka nikmati selama ini dan meningkatkan kes jenayah jika jalan masuk dibuka.

Sebelum orang ramai diminta menyampaikan pendapat, Y.B.Teo Nie Ching berucap menerangkan tujuan pertemuan diadakan dan meminta penduduk memberi pendapat mereka bagi diambil tindakan selanjutnya. Y.B.Dr Shafie Abu Bakar juga turut berucap mengimbau tindakan pernah diambil dan menerangkan faedah jika jalan dibuka dan sebaliknya. Kebanyakan yang hadir pada pagi ini adalah terdiri dari kaum Cina dan India dan sebahagian kecil dari Kaum Melayu.

Bila peluang menyampaikan pendapat dibuka, lima orang mengambil bahagian bercakap. Semua yang bercakap nampaknya bersetuju dibuka, namun pihak tidak bersetuju tidak ada yang bercakap. Mungkin oleh kerana ramai yang bersetuju, mereka terpaksa mendiamkan diri atau mereka yang tidak setuju ini tidak menghadirkan diri.

Antara pendapat yang diutarakan peserta yang hadir ialah Encik Tan yang menyatakan dengan pembukaan jalan memudahkan lalu lintas, Encik Chin bersetuju dibuka, kerana dengan dibuka akan merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan itu. Kini kedai-kedai yang ada tidak berdaya maju. Setengahnya langsung tidak menjalankan perniagaan. Encik Ku berpendapat dengan membuka jalan memberi banyak kemudahan, menjimatkan perjalanan dan mengurangkan penggunaan petrol serta menggiatkan ekonomi.

Manakala Haji Mohd Yusof memaklumkan sebelum ini tindakan diambil menuntut jalan dibuka, Tanda tangan penduduk termasuk dari Jalan 6, telah dipungut, seramai 198 penduduk telah menandatangani tuntutan supaya jalan keluar dibuka. Beliau menambah alasan, bahawa dengan membuka jalan keluar mengurangkan kesesakan di Jalan Zamrud dan Jalan Bukit dan memendekkan perjalanan. Seorang penduduk membangkitkan, walaupun jalan tidak dibuka sekarang ini, tetapi ada kalangan penduduk menggunakannya untuk jalan masuk. Cara ini membahayakan, terutama pengguna kereta. Bagi motosikal memang penunggangnya menggunakannya bagi jalan masuk. Sebab itu jalan masuk patut dibuka bagi mengurangkan kemalangan. Pendapat-pendapat yang diutarakan penduduk nampaknya semua setuju dibuka. Dengan persetujuan itu sebuah AJK Bertindak ditubuh. Mereka terdiri dari;


Pengerusi Saudara Chandra
Naib Pengerusi: Saudara Tuan Haji Yusof
Naib Pengerusi: Encik Chen
Setiausaha: Miss Chan
Pen. Setiausaha: Encik Mun Kik
Bendahari: Encik Lim

AJK

Encik Halim
Mr. Siow
Mr. Kok
(Akan ditambah kemudian).

Sekian.

No comments:

Post a Comment