May 31, 2010

Hadir Ke Jamuan Malam Amal SMK Jalan Reko: Pernyataan Sokongan

Dewan MPKj, Kajang, 16 J. Akhir = 30 Mei (Ahad):


ADNS Bangi, malam ini bersama 6 AJK turut hadir ke Majlis Makan Malam di atas sebagai pernyataan sokongan terhadap usaha PIBG mendapat dana bagi membina Bumbung Dataran Terbuka Sekolah tersebut. Turut hadir sama Y.B. Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang dan pengiring-pengiringnya, AJK PIBG dan Guru-Guru. Adalah menjadi hasrat ADNS Bangi mau melihat sekolah-sekolah di DNS Bangi maju di dalam bidang akademik dan sempurna dari segi fizikal dan infra-strukturnya, sesuai dengan Bangi Bandar Ilmu. Masalahnya baik ahli Parlimen maupun ADNS tidak dibenarkan mengadakan hubungan dengan pihak Sekolah – Sekatan oleh pihak Persekutuan. Sebab itu bantuan dan kerjasama terpaksa dilakukan di luar Sekolah. Contoh penyampaian hadiah-hadiah insentif kepada pelajar-pelajar cemerlang setiap tahun oleh ADNS Bangi, terpaksa dilakukan di luar dari Sekolah seperti dianjurkan melalui Persatuan Penduduk dan majlis-majlis khas diadakan. Untuk kemudahan Sekolah SMK Jalan Reko ini ADNS Bangi mengeluarkan peruntukan 2010 bagi Pembangunan hampir maksimum (RM19,000) bagi menambak dengan batu krikil kawasan lembah di tepi Sekolah bagi kemudahan guru-guru dan pelajar-pelajar di sekolah ini.


Kita memahami sekolah-sekolah sekarang ini kritikal dari segi kewangan, kerana peruntukan dipotong oleh pihak Kementerian. Sekolah-sekolah terpaksa mengambil inisiatif sendiri bagi mendapat dana bagi keperluan kegiatan dan pembangunan Sekolah. Kita memuji YDP PIBG Sekolah Ir Dr. Tuan Suhaimi bin Salleh yang menurut beliau di dalam ucapannya, SMK jalan Reko memerlukan peruntukan dana sebanyak RM250,000 bagi pimbinaan Bumbung Terbuka Sekolah. Ruang ini digunakan bagi kegiatan aktiviti ko-kurikulum pelajar yang berjumlah seramai 2,122 orang, tanpanya, jika berlaku hujan, maka aktiviti ko-kurikulum luar terpaksa dibatalkan. Beliau berterima kasih kepada hadirin yang menderma dan sudi datang memeriahkan majlis.


Menurut Pengetua Sekolah Puan Rosmy bt. Osman yang juga selaku Penasihat PIBG, "Sasaran mendapatkan dana ialah RM300,000. Selain dari Jamuan Makan, derma akan dipohon dari AJK PIBG, pendidik, kalangan korporat, alumi sekolah, ibu bapa, peruntukan zakat dan orang ramai." Menurutnya lagi, "Setakat ini jumlah yang terkumpul di bawah RM50,000."

Semasa jamuan sedang berlangsung dan persembahan kebudayaan oleh pelajar, YDP PIBG Ir. Dr. Tuan Suhaimi b. Salleh dengan cara professional dan berkesan, bergerak dari meja ke meja mengucap terima kasih kepada tetamu yang datang memberi sokongan. Kita berharap usaha murni beliau dan AJK akan berjaya dan SMK Jalan Reko yang didirikan sejak 1994 itu akan terus maju – Insya Allah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment