May 9, 2010

Pelancaran Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor

Shah Alam, 20 Jamadil Awal = 5 Mei (Rabu):


Anekmen Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor telah diluluskan oleh Dewan Negeri Selangor pada 30 April 2009. Institusi ini mengambil tempat yang dulunya dikenali dengan Muzium Negeri Selangor, di Shah Alam. Pada malam hari ini di dalam majlis yang penuh dengan adat dan adab, berupacara silat, bermuzik klasik dan tradisi disulami ungkapan bahasa arkaik dan klasik, berpantun, bermadah, bersyair dengan kutipan pepatah petitih dari ungkapan lisan,buku dan kitab lama, maka berikutnya, Duli Yang Maha Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibn al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sultan Negeri Selangor melancarkan dengan rasaminya Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) bertempat di Stadium Malawati, Shah Alam diliputi acara gilang gemilang dihadiri Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Negeri Selangor, Exco-Exco, Orang-Orang Besar Negeri, ADNS-ADNS dan Pegawai-Pegawai Negeri.


Dalam titah Baginda, "Dengan pelancaran PADAT satu lagi mercu tanda bagi lipatan sejarah Negeri Selangor tercipta." Menurut Baginda,
"Fungsi PADAT hendaklah bersifat penyelidikan, pembangunan adat dan penulisan."
Baginda menegaskan, "PADAT tidak termasuk Adat Istiadat Diraja yang merupakan badan khusus dan mempunyai penyelenggaraan khusus." Menurut Baginda, "Adat istiadat Negeri Selangor boleh dilihat pada pelbagai artifek seperti pada premis kediaman, penulisan, pakaian, makanan, peralatan kerja, persenjataan, kenderaan dan sebagainya. Keunikan semua ini yang terdapat pada artifek penghasilan rakyat dan seni yang berhubung dengannya boleh menarik pelancung." Baginda berharap potensi ini dapat digunakan dengan baik bagi menarik pelancung ke Negeri Selangor.


Sementara YAB Dato' Seri Menteri Besar yang berucap sebelumnya menyatakan,"Rakyat Selangor bergembira dengan wujudnya Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT). Mereka sedar peri pentingnya PADAT. Ianya merakamkan warisan dan peristiwa penting yang boleh ditatap rakyat. Menurut Yang Amat Berhormat, Adat istiadat Melayu, tidak boleh dipisahkan dari Agama Islam. Kehidupan seorang Islam melibatkan bidang akidah, syariat dan akhlak. Semuanya terpancar di dalam kehidupan mereka dan mewarnai adat dan istiadat orang Melayu, nilai budi, adab dan akhlak mereka."

Menurut YAB Menteri Besar, "Kepelbagaian budaya dan warisan yang dimiliki secara bersama oleh masyarakat Negeri Selangor diharap dapat dihidup suburkan oleh Perbadanan ini melalui pelbagai program yang akan dilaksanakan. Kerajaan negeri melihat ianya sebagai tunjang bagi menyokong pembentukan jati diri rakyat Selangor."


Sementara YB Dato' Dr. Hasan Ali selaku Exco dan Pengerusi Padat menyatakan, "Adat dan Warisan merupakan asset penting kepada sesuatu bangsa. Kekuatan serta keunggulan adat dan warisan yang diwarisi turun temurun itu merupakan kayu pengukur kepada keutuhan jati diri bangsa. Bangsa yang lemah ialah bangsa yang tidak dapat mempertahankan warisan yang telah mereka warisi."
Menurutnya lagi, "Kerajaan Negeri Selangor telah berusaha mengwujudkan satu badan untuk menjaga dan memelihara adat dan warisan ini supaya tidak terkubur, bahkan lebih indah lagi ianya dapat berkembang subur di dalam generasi pewarisnya."

Pada pelancaran ini diperkenalkan Logo PADAT yang berbentuk bulat yang dihiasi motif-motif yang membawa maksud khusus. Menurut keterangan bahawa:

Warna biru yang dipilih sebagai warna utama dalam pembentukan logo ini melambangkan kesetiaan dan penghayatan yang mendalam terhadap pelestarian adat Melayu dan Warisan Selangor.

Kepercayaan terhadap adat Melayu yang dijunjung sebagai teras pembentukan jati diri diwakili oleh warna putih yang mendominasi motif logo, iaitu bunga tanjung pecah sembilan. Bunga ini mewakili sembilan daerah yang membentuk identiti negeri Selangor. Cantuman tampuk manggis yang mengelilingi bunga tanjung membentuk motif baru berbentuk hati yang membawa maksud rasa kasih sayang yang dipupuk melalui adatdan warisan dalam kepelbagaian etnik rakyat Selangor.

Sekian.

No comments:

Post a Comment