May 21, 2010

Menghadiri Kuliah Bulanan Di Kediaman Rasmi Menteri Besar

Seksyen 7, Shah Alam, 06 J. Akhir = 20 Mei (Khamis):


Sudah setahun Kuliah Bulanan diadakan di kediaman Rasmi Menteri Besar di Syeksen 7, Shah Alam, iaitu pada hari Khamis malam Jumaat pilihan. Bukan tidak ada hasrat untuk hadir, tetapi pada setiap malam Jumaat ada kegiatan di surau sendiri, di samping ada aktiviti-aktiviti yang lain.

Hari ini ADNS Bangi memang memasang azam untuk hadir ke Kuliah Bulanan tersebut. Sebagai persediaan, tayar kereta ADNS yang tak lekat angin (tahan sehari saja selepas masukkan angin) sengaja ditukar keempat-empat, walaupun satu saja yang bocor untuk seimbang. Malangnya pada petangnya hujan turun terlampau lebat dan biasanya bila hujan lebat berlaku jem jalan. Aku yang masih di pejabat dan masa itu hujan mulai berhenti mau membatalkan hasrat untuk ke Kuliah Bulanan. Tiba-tiba jam 6.30 petang isteri menefon mengingatkan jadual pemergian. Aku beri alasan hujan lebat jem, tak boleh pergi. Isteriku mengatakan aku sengaja cari helah tak mau pergi. Tak patut katanya sudah banyak jemputan tak pergi.



Aku terpaksa ubah cadangan tak mau pergi, kena pergi dan segera pulang, tergesa-gesa mandi dan mengingatkan isteri supaya bersedia untuk bertolak. Rupanya dia yang aku jangka mahu pergi bersama, tak mau pergi. Alasannya, ``Cucu ada di rumah, siapa nak jaga makan minum malam nanti ?``

Dengan berpakaian baju Melayu bersamping aku segera bertolak. Dalam hatiku sudah pasti tidak dapat tiba ke kediaman rasmi Menteri Besar jam 7.00 sebagaimana dalam program. Walau macam mana aku tak kisah. Asal sampai dan dapat ikut kuliah cukuplah.
Rupanya walaupun hujan lebat pada petang tadi Jalan KISAS ke Shah Alam tidaklah jem. Perjalanan licin dan aku tiba di Kediaman Rasmi berkesempatan menunaikan maghrib berjamaah lengkap.

Selepas sembahyang sunat maghrib ba`diyyah aku memerhati para hadirin. Antara yang hadir ialah Y.A.B Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor, Y.B. Dato` Dr Hassan Ali Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Sahibus-Samahah Dato` Setia Diraja Haji Tamyiz, Mufti Kerajaan Selangor, Orang-Orang Besar Negeri, Pegawai-Pegawai dan kakitangan dari beberapa Jabatan yang kesemua berjumlah lebih kurang 70 orang. Puan Seri Isteri Menteri Besar dan lain-lain muslimat turut hadir (disebut oleh Pengerusi).
Sebelum kuliah petugas mengedar Kitab Teks Pengajian yang disediakan dengan jumlah yang banyak, iaitu Kitab Fiqhu`d- Daulah oleh al-Allamah Syeikh Yusuf al-Qardhawi. Guru utama yang menyampaikan Kuliah Bulanan di Kediaman Rasmi ini, ialah Ustaz Dato` Hashim Yahya seorang pendakwah terkenal, tetapi sekali sekala digilirkan kepada guru-guru yang lain termasuklah Ybhg. Dato` Dr. Harun Din dan beberapa yang lain. Pada malam ini Guru yang menyampaikan kuliah ialah Ybhg.Profesor Madya Ustaz Ruslan Muhammad Pensyarah Kanan dari Akademi Islam, Universiti Malaya.



Berpandukan Teks di atas beliau menyambung apa yang dikuliahkan oleh guru sebelumnya pada bulan lepas, iaitu konsep Daulah Islamiyah, menurutnya Daulah Islamiyah mesti mengandungi roh Islam. Daulah Islamiyah ialah Din dan Daulah yang juga bersifat alamiyah. Ustaz Ruslan memetik pendapat an-Nadawi, ``Tidak ada buat masa ini Negara Islam (Daulah Islamiyah) sebenarnya, tetapi yang ada ialah Negara Orang Islam (Daulah al-Muslimin). Ustaz Ruslan juga membezakan Konsep Demokrasi Barat dengan Demokrasi Islam. Menurutnya Demokrasi Islam jauh lebih dahulu dan jauh lebih lengkap dari Demokrasi Barat.

Ustaz Ruslan juga memetik pendapat Muhammad Asad seorang tokoh Yahudi-Kristian yang masuk Islam kerana tertarik kepada keindahan Islam. Muhammad Asad melihat Islam sebagai Perlembagaan yang lengkap.

Ustaz Ruslan juga memetik pendapat Muhammad al-Ghazali, bahawa perundangan dan peraturan Islam adalah bagi menjamin keselamatan dari segi agama, akal, diri, nasab dan harta. Kuliah berakhir jam 9.00 dengan diiringi sembahyang isyak dan sunat Isyak. Kemudian majlis diakhiri dengan makan malam.

Kepulangan pada malam itu dengan rasa lapang. Sekurang-kurangnya sudah sekali aku dapat datang ke Kuliah Bulanan dan jika ada kelapangan akan datang lagi. Bila sampai ke rumah, isteriku yang menunggu di pintu segera bertanya tentang pemergian. Al-hamdulillah sempat berjamaah maghrib. Kuceritakan ada muslimat yang datang, tapi mungkin tak ramai. Walaupun masa sudah jam 11.00 aku pergi juga ke pejabat untuk setengah jam. Di bahagian atas ada mesyuarat. Aku tak dapat pasti lajnah mana yang bermesyuarat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment