May 29, 2010

Perhimpunan Membantah Judi Bola Sepak Dunia 2010

Pekarangan Masjid al-Hasanah, 13 J. Akhir = 28 Mei (Jumaat):


Satu perhimpunan berlaku di Pekarangan Masjid Al-Hasanah selepas solat Jumaat di sini bagi memprotes cadangan kerajaan membenarkan Syarikat judi – Berjaya Group, menjalankan kegiatan judi sempena dengan Pertandingan Piala Sepak Dunia 2010 yang akan berlangsung di Afrika Selatan pada pertengahan Jun hadapan.

Perhimpunan ini dianjurkan oleh Gerakan Membantah Judi (GMJ) di bawah Sekretariat Pemuda Pas Pusat dan perhimpunan di sini mendapat kerjasama dari Pemuda Pas Serdang. Tarikan spontan perhimpunan berlaku kerana isu ini melukakan hati rakyat, khususnya dari kalangan umat Islam dan pendukung PAS. Pekarangan bersesak-sesak dengan peserta dan penonton yang menyokong. Kesesakan bertambah, kerana lokasi membantah berdekatan dengan "Pasar Jumaat" yang memang sesak sebelum dan sesudah Jumaat, setiap hari Jumaat. Takbir Allahu Akbar bergema berulang kali disulami dengan sepanduk dan pamflit diangkat dan dikebarkan oleh peserta yang berhimpun dalam kumpulan. Antara sepanduk mengungkapkan kata-kata seperti, ``Umno Menghalalkan Judi !`` Tarik Balik Judi Bola`, `Satu Malaysia Benar Judi !`, `Bukti Hasil Duit Judi Tidak Berkat`, Katakan Tak Nak pada JUDI`, Terima Kasih Kepada BARISAN NASIONAL (Terutama Pengundi-pengundinya) Kerana Menghalalkan Judi yang banyak meruntuhkan institusi keluarga di Malaysia ini - dan lain-lain.


ADNS Bangi yang dijemput berucap terakhir selaku Tuan Rumah, menegaskan bahawa, judi walau apa bentuknya adalah haram dan bercanggah dengan prinsip Islam. Beliau membaca ayat al-Quran dari Surah al- Maidah, ayat 90 yang beliau juga memberi maksud:
Wahai orang-orang yang beriman, bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib adalah keji (najis) dari amalan syaitan, maka hendaklah kamu menjauhinya!


Beliau kesal terhadap kerajaan (beliau merujuk kepada Awang Adik Timbalan Menteri Kewangan) yang membenar dan mencemarkan Pertandingan Bola Sepak Dunia 2010 dengan amalan judi. Sebagai seorang Islam dan kerajaan yang kononnya mendukung Islam tidak sepatutnya membenarkan Pertandingan Bola Sepak Dunia 2010 sebagai medan perjudian.


Dengan kebenaran yang diberi kerajaan mencampuradukkan cukai biasa dengan yang haram dan hasilnya dihidangkan kepada rakyat. Berhubung dengan perkara haram ini Rasulullah mengingatkan bermaksud permohonan yang pelakunya memakan makanan haram, meminum minuman haram dan memakai pakaian haram, maka bagaimanakah orang sedemikian hendak dimakbulkan doanya?

Banyak perkara yang haram berlaku di dalam Negara dari judi, rasuah dan penyelewengan. Mungkin antara akibatnya berleluasanya gejala sosial – termasuk membuang bayi, penyalahgunaan dadah dan merebaknya penyakit yang kronik. Jika ditambah lagi dengan maksiat dan judi, dibimbangi bala makin bertambah dan hidup rakyat makin susah. Sebab itu Kerajaan seharusnya menarik balik keizinan Judi Bola Dunia 2010 bagi mengelak bala yang lebih besar. Beliau menjangka kerajaan amat terdesak akibat dari kesempitan ekonomi dan sanggup melibatkan rakyat dengan judi dan akan membebankan rakyat dengan cukai yang lebih tinggi. Ini sebagai kesan awal judi dan banyak lagi bala akan berlaku, sebab itu tarik balik kebenaran Judi Bola.


Sebelum daripada itu Saudara Khairuddin Othman, Setiausaha Pas Negeri, mengecam tindakan Kerajaan membenarkan judi Bola Piala Dunia. Ini bercanggah dengan usaha mencegah jenayah di Negara ini. Dengan kebenaran Judi Bola boleh mempurak peranda masyarakat. Dengan judi merosakkan keharmonian keluarga dan mencambahkan kegiatan-kegiatan jenayah yang lain. Manakala Tuan Haji Mazwan Johar Ahli MPKj turut berucap menegaskan, Judi Bola Sepak Piala Dunia adalah bercanggah dengan Seksyen 1 Akta Kerajaan Tempatan yang melibatkan isu kesihatan, keselamatan dan keselesaan. Kerajaan Tempatan adalah menentang Judi Bola Sepak Dunia 2010. Beberapa Majlis Tempatan di Selangor telah mengambil tindakan tidak membenarkan judi ini berlaku di bawah Majlis Tempatan masing-masing seperti tindakan diambil Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Perbandaran Ampang. Menurut beliau Majlis Perbandaran Kajang akan mengambil tindakan yang sama di dalam mesyuarat MPKj yang akan diadakan nanti.

Saudara Adhram Musa AJK Pemuda Pas Pusat dan Ketua Pemuda Pas Serdang menegaskan pemuda menentang sekeras-kerasnya membenarkan judi Bola Piala Dunia beroperasi. Pemuda adalah berada di barisan hadapan menganjur dan menentang judi ini. Menurutnya kita mau membina generasi yang sihat fizikal, mental dan akhlak mereka. Penyalahan pendidikan akan menjerumus golongan muda ke dalam kegiatan merosakkan agama, Negara dan bangsa. Kita mendesak keizinan judi ditarik balik. Turut berucap wakil dari Gamis. Perhimpunan yang bermula jam 2.00 petang itu berakhir 45 minit berikutnya sedang para pendengar masih belum berganjak dari perhimpunan.

Allahu Akbar ! Allahu Akbar ! Allahu Akbar !

Sekian.

No comments:

Post a Comment