May 14, 2010

PKNS Utamakan Keuntungan Daripada Kepentingan Masjid dan Dewan

BBB, 29 J. Awal = 14 Mei (Jumaat):


Sudah 33 tahun sejak Bandar Baru Bangi dihuni (November 1977) dan sejak Dewan Orang Ramai di Seksyen dua siap digunakan, maka sekeping tanah lebih kurang setengah ekar dihadapan Dewan di atas dibiarkan kosong (ada beberapa pokok dibiarkan membesar supaya tempat itu teduh). Tanah ini berfungsi sebagai tanah lapang bagi Dewan dan boleh dijadikan tempat parking jika penggunaan Dewan makin bertambah. Bersebelahan Dewan bersempadankan padang dan Medan Usahawan sekeping tanah tapak masjid seluas 2 ekar. Hasrat bagi mendirikan masjid di sini pernah diusahakan sebelum ini, tetapi tertangguh.

Pada 13 September 2008 ADNS Bangi memanggil mesyuarat bagi membincangkan kemungkinan mendirikan Surau beserta dengan Kompleks Pendidikan berkonsepkan tahfiz. Beberapa tinjauan untuk dijadikan contoh telah dibuat seperti ke Darul Qur`an Kuala Kubu dan Ma`had Tahfiz di Jugra. Perkembangan lanjut dari cadangan ini ialah pembinaan Masjid berkonsepkan pendidikan, bukannya Surau. Masjid ini dicadangkan diberi nama `Masjid al-Umm, sempena nama Surau al-Umm berdekatan yang merupakan surau tertua di BBB. Atas hasrat ini sebuah Jawatankuasa Induk yang mewakili Surau al-Umm dan surau-surau berdekatan dari Seksyen Satu dan Dua dijemput menganggotai Jawatankuasa Pembinaan Masjid al-Umm. Berhubung dengan tapak pembinaan Masjid ini, pihak Pentadbir Tanah Daerah Hulu Langat melalui suratnya bertarikh 1 September 2009 menyatakan bahawa Permohonan Perwartaan telah diluluskan oleh YAB Dato' Menteri Besar Selangor dan Pejabat Tanah Hulu Langat sedang mengambil tindakan seterusnya untuk tujuan pewartaan di dalam Warta Kerajaan Negeri Selangor (Ruj. PTD.UL.16/3/194-2006(9).

Usaha ke arah membina Masjid al-Umm berjalan rancak, beberapa siri mesyuarat AJK telah diadakan, peta dan pelan tapak telah dieiapkan, manakala konsep dan beberapa pelan masjid telah dikemukakan oleh beberapa juru pelan untuk dinilai dan dipertimbangkan.


Menyedari usaha juga dijalankan oleh MPKj dengan kerjasama Persatuan penduduk untuk meningkatkan Dewan Orang Ramai kepada Dewan Konvensyen yang boleh digunakan bagi berbagai tujuan seperti perhimpunan, mesyuarat, ceramah dan perkahwinan dan cadangan ini dibawa di dalam Mesyuarat MPKj Bil. 4/2010 bertarikh 30 April 2010 dan menyedari bahawa apabila Masjid al-Umm didirikan maka kedua-dua bangunan (Dewan dan Masjid) memerlukan ruang parking dan tanah lapang yang sesuai, maka dilihat tanah-tanah yang ada berdekatan dengan kedua bangunan ini tidak wajar didirikan bangunan, maka pada mesyuarat AJK Masjid terakhir di Surau al-Umm pada Khamis malam 6 Mei 2010 bersamaan 21 Jamadil Awal 1431 telah bersetuju meminta pihak PKNS tidak menggunakan tanah kosong berdekatan dengan bangunan Dewan dan Masjid bagi sebarang bangunan yang lain. AJK meminta ADNS Bangi yang selaku Pengerusi Pembinaan Masjid menghubungi pihak PKNS dan memaklum serta memohon supaya tanah PKNS di hadapan bangunan Dewan Orang Ramai dan berhampiran tapak masjid tidak digunakan bagi bangunan.

Keputusan diambil tindakan segera oleh ADNS Bangi.

Maka pada pagi 7 Mei 2010 bersamaan 23 Jamadil Akhir ADNS menyiapkan surat bermaksud di atas dan pada hari yang sama berjaya menghantar surat berkenaan kepada PKNS secara hantaran tangan dan pada hari yang sama menghantar salinannya ke Pejabat Daerah/Tanah dan ke Pejabat MPKj yang kedua-duanya secara hantaran tangan. Setiausaha-setiausaha menurunkan cop dan tandatangan membuktikan penerimaan.


Jangkaan dan kebimbangan AJK rupanya berlaku, iaitu semasa ADNS Bangi dalam perjalanan ke Masjid Negeri di Shah Alam, (kerana ada function) petang 8 Mei ADNS Bangi menerima telefon dari seorang yang prihatin memaklumkan bahawa pada tapak tanah di hadapan bangunan Dewan Orang Ramai terdapat iklan bakal didirikan rumah di tapak itu. Adakah tindakan untuk gunakan tanah ini dibuat PKNS bila mereka mendapat maklumat kami sedang mengusahakan untuk membangunkan masjid, agar pihak PKNS tidak kehilangan peluang dan keuntungan ? Maka pada pagi 9 Mei ADNS Bangi bersama Sdr. Azizi melawat tapak itu dan melihat iklan di atas tanah PKNS itu: Iklan adalah sebagaimana berikut:


Cadangan Pembangunan 6 Unit Rumah Berkembar 2 Tingkat
Untuk Keterangan Lanjut & Pendaftaran Sila Hubungi
016-332 2528

Bertindak sebagai seorang yang ingin membeli no telefon tersebut kami hubungi dan dijawab oleh seorang yang membahasakan diri dengan Emma. Darinya didapati maklumat bahawa syarikat yang akan mendirikan rumah itu ialah, Selangor Industry Cooperation Sdn. Bhd. Yang kemudian kami ketahui syarikat ini ialah anak Syarikat PKNS sendiri. Harga bagi seunit rumah berkenaan kami dimaklumi antara RM800,000 hingga RM900,000.


Adalah di luar jangkaan kami, tanah yang begitu kecil yang terletak di hadapan bangunan Dewan Orang Ramai hendak didirikan perumahan. Wajarkah tempat sedemikian didirikan rumah. Kami berpendapat, walaupun PKNS kini sudah kekurangan tanah di BBB, tetapi tidak wajar menggunakan tanah tersebut bagi didirikan bangunan. Ianya akan mengganggu ruang dan pandangan yang sepatutnya tempat ini dijadikan tempat parking bagi pengunjung ke Dewan Orang Ramai dan juga Masjid. Jika tidak dijadikan tempat parking hendaklah dibiarkan kosong bagi kepentingan landscaping di kawasan berkenaan. Jika hendak diguna, tapak ini boleh diguna secara sementara seperti dibina gelanggang bagi sepak takraw dan bola jaring, kerana ianya tidak menjadi gangguan sebagai tempat riadah, tetapi tidak digunakan bagi pembinaan perumahan.

Kita menunggu surat yang kita hantar kepada kontroler PKNS BBB, tetapi jika kita tidak mendapat jawapan dalam masa terdekat, kita akan mendapatkan masa untuk AJK Pembinaan Masjid al-Umm membuat pertemuan dengan pihak Kontroler. Tindakan lanjut akan diambil sesuai dengan perkembangan yang berlaku.

Sekian.

No comments:

Post a Comment