Menurut jadual yang disusun oleh Lajnah Kebajikan yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Rushdi, pada petang ini jam 3.00 petang adalah turun ke Balakong – ke kawasan rumah-rumah pangsa di sini. Tempat ini adalah asalnya kawasan penempatan sementara penduduk setinggan. ADNS Bangi masih ingat pada 1999 beberapa kali datang ke sini dengan pemimpin-pemimpin pada masa itu (belum ada Pakatan Rakyat) bagi membela penduduk setinggan yang tinggal digobok-gobok di atas tanah yang berdebu. Hasil dari itu rumah-rumah panjang didirikan bagi penempatan sementara mereka. Kini rumah-rumah panjang digantikan dengan kediaman rasmi dengan rumah-rumah pangsa.
Lawatan ke sini memperlihatkan kesedaran sivik rendah dan kebersihan kawasan tidak dijaga, sampah-sampah berlonggok dan ada beberapa penduduk sengaja melonggokkan sampah untuk dijual, menutup ruang angin masuk ke kediaman mereka. Apabila ditanya, "Tidakkah ada persatuan penduduk yang dapat beri perhatian terhadap kebersihan dan kepentingan penduduk?". Jawab mereka, "tidak ada." ADNS Bangi mengesyorkan agar persatuan penduduk ditubuhkan bagi kepentingan penduduk.
Kehadiran kami hari ini ke sini, atas inisiatif AJK Pas yang juga AJK surau berada di sini seperti Tuan Haji Hasan Basri dan AJKnya. AJK Kebajikan kami di bawa menziarah ibu-ibu tunggal dan pesakit di sini seramai 5 orang, iaitu Puan Rokiah bt Abdul Jalil, Puan Rohani Abdullah, Puan Marianah bt Mohd Yahya, Puan Miah bt. Abu dan pesakit Ahmad Zahid bin Shafie.
Semasa lawatan dibuat rata-rata ibu-ibu tunggal dan pesakit mengadu tentang ketidakmampuan mereka membayar ansuran bulanan rumah mereka yang asalnya berharga di dalam lingkungan RM30,000. Hampir kesemua mereka tertonggak dari segi bayaran. Walau bagaimana dari pertanyaan yang dibuat, mereka mendapat bantuan zakat secara bulanan, tetapi tidaklah dapat menampung keperluan mereka dan terpaksa berusaha mendapat sumbar tambahan yang lain.
Pada umumnya, kebanyakan penduduk di sini yang dulunya berstatus setinggan sejak 1990an hingga kini, walaupun sudah mempunyai rumah, kebanyakan mereka masih tidak dapat melepaskan diri dari belenggu kemiskinan. Tempat ini juga banyak berlaku kes-kes jenayah.
Selepas menziarah dan menyampaikan bantuan, kami ke surau Nurul Iman, tempat awal kami singgah dan kembali untuk menunaikan fardu asar secara berjamaah. Surau Nurul Iman ini agak kecil yang didirikan secara gotong royong penduduk di sini. Sememangnya tidak dapat menampung keperluan penduduk di sini. Tapi inilah menjadi pusat kegiatan penduduk, baik dari segi ibadat dan kemasyarakatan. Tapi surau yang ada ini bermasalah, bumbungnya agak uzur dan sering tiris jika hujan agak lebat. Menurut mereka, mereka tidak mendapat sebarang bantuan baik mendirikan surau atau bantuan kegiatan kemasyarakatan, termasuk mengadakan hari keluarga yang sering diadakan termasuk beberapa minggu dulu yang ADNS Bangi juga turut hadir. ADNS Bangi berjanji akan menyampaikan masalah mereka kepada ADNS Balakong untuk mendapatkan bantuan dan tindakan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment