May 13, 2010

Kebersihan Perjalanan Panjang: Pastikan Bersih Berterusan

Bandar Baru Bangi, 27 J. Awal = 12 Mei (Rabu):


Hari ini merupakan puncak dari satu siri kempen kebersihan dalam mana zon satu sekitar Jalan Masuk ke Kawasan Pasar Basah, Jalan 1/3 dan ¼ serta zon Seksyen 16 kawasan kedai dan Pasar Malam/Tani dipilih sebagai Zon Bersih bagi MPKj. Zon ini dipertandingkan dengan zon-zon bersih di setiap PBT di seluruh negeri Selangor. Inisiatif yang diambil oleh MPKj dengan kerjasama Pejabat ADNS dan Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi bermula dari Mesyuarat pertamanya pada 20 Mac 2009, diikuti Mesyuarat Kedua pada 1April 2009 semuanya bertempat di MPKj. Mesyuarat-mesyuarat ini membincangkan lokasi pilihan dan kaedah dan pendekatan pembersihan.


Kempen Kebersihan ini adalah selari dengan Manifesto DNS Bangi yang mau menjadikan Bangi Bandar Bersih dan Sejahtera di samping Bangi Bandar Ilmu . Kempen Bangi Bandar Bersih telah dilancarkan pada 10 Februari 2009 dengan mendapat kerjasama yang erat dari MPKj, Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, agensi-agensi dan NGO-NGO. Tempat pelancaran ialah di Kompleks Sukan MPKj, Seksyen 15, Bandar Baru Bangi (Pelancaran pada peringkat negeri pada 11 Februari). Hadir pada hari pelancaran lebih kurang 200 orang. Antara VIP yang hadir selain dari ADNS Bangi dan YDP Persatuan Penduduk BBB Dr. Tajul Ariffin Noordin, ialah Y.B. Dr. Che Rusli Che Mat Ahli Parlimen Hulu Langat, YDP MPKj Dato' Hasan Nawawi bin Abd. Rahman, Tuan Haji Abdullah bin Marjunid Timbalan YDP, beberapa Ahli MPKj dan Pengurus Wilayah Alam Sekitar. Majlis Pelancaran ini dimulai dengan Senamrobik, Ucapan-ucapan oleh YDP MPKj dan ADNS Bangi Dr. Shafie Abu Bakar diikuti dengan penyerahan peralatan gotong royong secara simbolik seperti cangkul dan pencakar, taklimat kesihatan bagi membasmikan nyamuk aedes dan elak dari denggi, tayangan multi media oleh Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat. Berikut dari ini kempen kebersihan dan gotong-royong diadakan secara bersiri dari satu tempat ke tempat yang lain dan berpuluh gotong royong dianjurkan oleh taman-taman dan kawasan-kawasan di DNS Bangi dan Kawasan Serdang. Tahun 2009 adalah tahun kempen Bangi Bandar Bersih dan Sejahtera dan kempen ini berterusan. ADUN menggunakan sebahagian peruntukan bagi kempen kebersihan tersebut.


Kempen Zon Bersih oleh MPKj adalah berkesinambungan dari Pelancaran Program Bangi Bandar Bersih dan Sejahtera. Tindakan kebersihan bagi kempen ini (Dulu sekadar bermesyuarat) adalah berlaku selepas Mesyuarat kali ketiga, iaitu 10 Ogos, kali ini disertai Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Seksyen PBT Bil. 6/2009) yang memaklumkan kepada PBT berhubung dengan pelaksanaan Zon Bersih yang diluluskan pada 30 April 2009 bertujuan menjadikan negeri Selangor Negeri Terbersih. Sebagai permulaan setiap PBT diminta mengenalpasti sekurang-kurangnya satu kawasan yang paling kotor dalam PBT masing-masing untuk dijadikan Zon Bersih.


Bagi MPKj sebagaimana disebutkan Seksyen 16 dan Seksyen Satu telah dipilih, mulai Ogos 2009 kerja-kerja pembersihan mulai dilakukan. Buat permulaan ditumpukan pada kawasan pasar malam di Seksyen 16, termasuk tempat longgokan sampah yang memang kotor dan tak terjaga. Warung-warung di Seksyen 16 ini juga jadi tumpuan pembersihan, khususnya longkang-longkang yang tersumbat dan kotoran yang membiakkan tikus di kawasan berkenaan. Kawasan Pasar Malam yang kotor dipaksa memastikan kebersihan dan menyediakan tong-tong sampah dan melarang melonggok sampah secara terbiar selepas menjalankan perniagaan.




Oleh kerana, kawasan ini amat kotor dengan longkang tersumbat dan tapak jualan hitam dengan minyak dan kotoran, pihak Persatuan Penduduk yang diberi tanggungjawab mengawal pasar malam, mencadangkan untuk ditutup beberapa minggu selepas Idul Fitri untuk pembersihan dan pembaikan perparitan. Ini mencetus rasa tidak puas hati peniaga yang didalangi oleh pihak luar. Ini membawa kepada tunjuk perasaan dan cuba dibawa oleh pihak berkenaan ke Putra Jaya. Akhirnya mereka sama bersetuju untuk turun bergotong royong dan mematuhi syarat-syarat bagi mengawal pembersihan.


Tumpuan kedua ialah memulih dan membersih "Medan Selera" yang kemudian ditukar kepada "Medan Usahawan". Warung-warung di sini dibaikpulih, pokok besar ditebang, longkang rosak dibaiki, landscape diperindah, pokok hiasan ditanam. Pihak peniaga yang mendapat warung dikehendaki menjalankan perniagaan setelah tempat ini dibaikpulih dan dicat. Kegiatan-kegiatan seperti ceramah, pertunjukan budaya, expo Perniagaan, pertemuan, penghargaan dan sambutan dan jamuan perkahwinan diadakan di sini. Ada tanda-tanda warung di sini mulai maju, walaupun tidaklah sangat meberangsangkan.


Tumpuan utama diberi kepada pasar dari segi memastikan kebersihan. Warung dikehendaki tidak buat penambahan, perparitan dan longkang dibaiki, tempat berlopak diratakan dengan semin, bilik air dipulih dan dicat. Sejak sebulan sebelum hari penilaian hari ini, MPKj banyak memberi tumpuan pembersihan di Seksyen Satu seperti jalan dari hadapan Petronas hingga ke Pasar dilebar dan ditarkan, pokok-pokok dipotong dan dibersihkan, sampah sarat dibersihkan, parit-parit yang rosak dibaiki dengan perparitan yang baru, bahkan padang futsal di padang permainan dibaiki dan diganti jejaring yang rosak dengan jejaring yang baru. Pendeknya berlaku perubahan ketara dari segi kebersihan, pembaikan dan pemulihan terutama pada Seksyen Satu. Sememangnya dalam beberapa minggu mutakhir pekerja-pekerja dan lori-lori dari MPKj keluar masuk mengangkut bahan-bahan yang dibersihkan. Terima kasih di atas keterlibatan semua pihak terutama MPKj.


Usaha memastikan kebersihan secara kerap dilokasi pilihan mencapai puncak. Ini adalah kerana pada hari ini pihak Setiausaha Kerajaan Negeri datang menilai secara komprehensif untuk melihat tahap perubahan dari yang lama kepada kebersihan pada hari ini sesuai dengan nama `Zon Bersih` selepas setahun dilancarkan oleh Kerajaan dan PBT. Kita serahkan kepada penilai untuk meletakkan ranking lokasi pilihan di sini.


Walau bagaimana kita berharap, kebersihan yang dilakukan secara intensif untuk dinilai oleh Wakil pihak Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, tidak terhenti di sini sahaja. Kita mau sama ada menang atau belum menang, semangat membersih oleh pihak PBT hendaklah diteruskan, walaupun tak sekerap sebelum penilaian. Jadual perlu diaturkan. Jangan jadi selepas pertandingan, keadaan kembali ke asal dan terbiar. Rakyat dan orang ramai hendaklah bertanggungjawab, sekurang-kurangnya menjaga kebersihan di tempat masing-masing. Dengan kerjasama semua pihak menjaga kebersihan, insya Allah sekitaran terpelihara bersih dan kita hidup dalam sihat. Pastikan Bangi Bandar Bersih.

Sekian.

No comments:

Post a Comment