February 28, 2011

Intra-Mas 5: Fokus Taman Jasmin Dan Sekitar

Taman Jasmin 22-24 Rabiul Awwal = 25 – 27 Februari (Jumaat – Ahad):

Interaksi Kemasyarakatan diteruskan bagi siri ke lima. Pada kali ini tumpuan ialah Taman Jasmin dan sekitarnya seperti, Bukit Mewah, Taman Indah, Taman Permai Damai, Taman Damai Indah, Taman Zamrud dan Lembah Mewah. Seperti siri-siri yang lepas pihak Khidmat Masyarakat Adun Bangi mendapat kerjasama dari Ahli MPKj dan Wakil, pemimpin setempat dan muslimat. Masyarakat setempat juga memberi respon yang amat menggalakkan.

Intra Mas Siri 5 bermula pada sebelah pagi Jumaat 25 Februari dengan makan pagi bersama dengan masyarakat setempat di Bukit Mewah yang disertai Adun Bangi dan juga YB Teo Nie Ching, kemudian kumpulan bergerak di kawasan perumahan berdekatan. Pada pagi Jumaat ini kami dapat menziarah penghuni-penghuni rumah teres dan rumah pangsa di sini yang kebanyaknnya Melayu dan hanya seorang dua dari kalangan masyarakat India dan Cina. Mereka adalah dari kalangan masyarakat yang susah dan bergelut dengan kemiskinan. Kami tersentuh dengan seorang isteri muda Puan Ida (berasal dari Dungun, Terengganu) yang setia menjaga suaminya En. Uli (berasal dari Sabah) yang bekerja dengan TNB dan terkena renjatan letrik semasa bertugas, terbakar dan kini terus terlantar di katil, tidak dapat bercakap. Makanan diberi melalui tiub. Sumber kewangan suami isteri adalah dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM250/= sebulan. Terpaksa menyewa rumah pangsa dan belanja susu khas sebanyak RM600/= sebulan. Jiran-jiran amat simpati dan menghulurkan pertolongan. Kami memanjangkan simpati dan akan mengambil tindakan.

Ziarah pada sebelah pagi 25 Februari ini ditangguhkan jam 11.30 bagi menunaikan solat Jumaat. Adun diberi penghormatan membaca khutbah solat Jumaat di Surau Jasmin (surau yang dibenar mendirikan solat Jumaat). Ziarah disambung pada sebelah petang mulai jam 3.00 hingga 5.00 petang.YB Teo Nie Ching tidak menyertai ziarah pada sebelah petang, kerana mempunyai agenda di tempat lain. Ziarah ke Taman Jasmin petang ini lebih kepada pemimpin-pemimpin dan tokoh-tokoh setempat. Mereka tinggal di perumahan di sini sekitar tahun 1993. Antara mereka bekas-bekas pegawai, Imam dan AJK Surau, pendidik dan warga mas. Sebagaimana pada sebelah pagi kami sempat menziarah seramai 17 orang (rumah), demikianlah pada sebelah petang kami juga menziarah sejumlah 17 orang dan mengakhiri ziarah dengan berjamaah Asar di Surau Jasmin.

Pada pagi 26 Februari (Sabtu). Kegiatan ziarah diteruskan, tetapi YB. Teo Nie Ching tidak dapat bersama, kerana beliau ke Merlimau menyertai penyokong penamaan Calon Pakatan Rakyat di sana, sedang Adun Bangi mempunyai program di Pekan Bangi dan di Sungai Ramal Luar. Jadi ziarah diteruskan selepas makan pagi oleh AJK dan Adun menyertai pada pertengahan selepas menyertai program di Sungai Ramal Luar. Ziarah pada pagi Sabtu ini tertumpu di sekitar kawasan Bukit Mewah yang terdiri dari berbagai kaum. Ziarah pagi ini hingga jam 11.00 pagi,kerana pada sebelah petang akan di adakan Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2011 yang juga diadakan di Taman Jasmin. Pada sebelah pagi ziarah dapat dilakukan sebanyak 15 buah rumah.
Siri Intra-Mas kelima ini berterusan hingga hari ketiga (Ahad) yang bergerak dari Balai Komuniti di Taman Zamrud. Pada pagi Adun tidak berkesempatan bersama kerana mempunyai program di Taman Seri Intan dan juga di Sungai Ramal Baru. Selepas itu baru ke Program Ziarah. Walau bagaimana sejak dari pagi YB Teo Nie Ching dapat bersama makan pagi di sini dan Adun Bangi tiba dari Sungai Ramal Baru menyertai sama ziarah. Tumpuan pada kali ini adalah di kawasan perumahan di Lembah Mewah dan Taman Zamrud. Mereka yang diziarah pada pagi ini umumnya dari kalangan warga mas yang terdiri dari pelbagai kaum. Jumlah ziarah yang dapat dilakukan pada pagi ini ialah seramai 25 orang (rumah teres dekat-dekat).
Siri ziarah sebagaimana pada hari-hari lain disertai kaunter pendaftaran dan pertanyaan (setiap hari) dan pada hari akhir ini sekali lagi pihak Master Skill membuat Pemeriksaan Kesihatan dan Ceramah Mengenai Kesihatan. Sejumlah penduduk lebih kurang 300 orang datang dan menyertai Majlis yang diakhiri dengan jamuan sate.

Sekian.

February 27, 2011

Sambutan Tahun Baru Cina 2011 Di Taman Jasmin Meriah

Taman Jasmin, 23 Rabiul Awwal = 26 Februari (Sabtu):


Sambutan Tahun Baru Cina yang diadakan di padang Taman Jasmin di atas mulai jam 2-00 hingga 4.00 petang mendapat sambutan di luar dugaan dari penduduk setempat yang terdiri dari berbagai-bagai kaum, khususnya dari kalangan kaum Cina di samping Melayu dan India. Majlis juga diserikan dengan kehadiran warga mas dan anaka-anak. Jumlah mereka yang hadir dijangka lebih kurang 2,000 orang. Jemputan yang dibuat terhadap mereka melalui kad yang disampaikan secara langsung dalam siri ziarah ke kawasan Taman Jasmin sejak Jumaat lepas, di samping jemputan melalui poster, bunting dan melalui blog. Maklumat telah dihebahkan sejak sebulan yang lalu. Sambutan ini dianjur secara bersama oleh ADUN Bangi dan Ahli Parlimen Serdang.

Hadir pada sambutan ini ialah YB Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi, YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, juga ahli-ahli MPKj yang terdiri dari Tuan Haji Shafie Ngah Ahli MPKj Zon 23, saudara Yusof Bachik Ahli MPKj Zon 21, saudara Chandra Mohan Ahli MPKj Zon 14, pemimpin setempat dan pemimpin NGO.
Majlis bermula dengan Tarian Singa yang menyambut kehadiran Adun Bangi dan diikuti kehadiran YB Ahli Parlimen Serdang, sedang para jemputan memenuhi khemah-khemah – termasuk anak-anak yang ceria dengan Tarian Singa. Dalam ucapan alu-aluan YB Teo Nie Ching menyebut, ``Walaupun tempoh masa sebenarnya bagi Sambutan Tahun Baru Cina telah berlalu, tetapi sebagaimana adat orang Melayu yang menyambut Idul Fitri melangkaui sebulan, maka begitu juga bagi Sambutan Tahun Baru Cina ini juga turut sama mengadakan sambutan sehingga sebulan.`` YB Teo Nie Ching juga menyatakan kegembiraan dengan kehadiran berbagai-bagai kaum ke Majlis sambutan. Semua kaum menurutnya sama hadir bila diadakan sambutan Idul Fitri, sambutan Ponggal dan Sambutan Tahun Baru Cina. Ini benar-benar bersifat Malaysia. Beliau mahu sikap dan semangat seperti ini diteruskan di dalam kehidupan masyarakat di Malaysia.

YB Dr. Shafie dalam ucapan perasmiannya berterima kasih kepada semua pihak, penduduk tempatan yang terdiri dari pemimpin-pemimpin, warga emas, pemuda dan anak-anak yang datang memeriahkan sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini. Dr. Shafie menyatakan, kita adakan sambutan Tahun Baru Cina pada setiap tahun sebagaimana kita juga mengadakan sambutan bagi perayaan kaum-kaum lain. Kita memilih tempat berlainan pada setiap tahun dan pada tahun ini kita memilih Taman Jasmin bagi mengadakan sambutan Tahun Baru Cina bagi mendekatkan hubungan pemimpin dengan masyarakat setempat dan masyarakat setempat juga mengeratkan hubungan dengan kalangan jiran tetangga mereka. Dr. Shafie berterima kasih kepada penduduk, ketika beliau, YB Teo Nie Ching dan pengiring-pengiring membuat lawatan ke rumah-rumah antaranya bagi menjemput hadir ke sambutan Tahun Baru Cina dengan mendapat layanan yang baik dari penduduk-penduduk yang dilawati. Beliau berharap hubungan mesra yang terjalin antara pemimpin dan penduduk akan diteruskan.


Selepas perasmian jamuan makan dimulai dengan minu pelbagai dari nasi lemak, mee goring, rendam ayam dan berbagai-bagai kuih yang disediakan. Semasa penduduk menikmati jamuan penyampaian bantuan kepada warga mas diadakan. Penyampaian juga dilakukan kepada Rumah Orang Tua dan Anak-Anak Yatim, Ang Pau disampaikan kepada anak-anak yang diminta berbaris untuk menerimanya dari Adun, Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli MPKj. Kegembiraan terbayang di wajah anak-anak. Ang Pau juga disampaiakn kepada warga-warga mas dengan YB Teo Nie Ching dan Adun Bangi memilih mereka yang berada di bawah-bawah khemah bagi menyampaikan ang pau.

Majlis berjalan dengan meriah dan baik dengan makanan yang disediakan mencukupi dan majlis berterusan hingga jam 4.00 petang bila tetamu dan orang ramai mulai bersurai.

Sekian.

February 26, 2011

Situasi Denggi Semasa

Pejabat Daerah Hulu Langat, 19 Rabiul Awwal = 22 Februari (Selasa):


Mesyuarat di Pejabat Daerah hari ini dilaporkan oleh Dr. Farid dari Jabatan Kesihatan Daerah Hulu Langat, bahawa situasi denggi di Negeri Selangor masih merupakan yang tertinggi di Malaysia. Statistik terakhir sehingga 12 Februari 2011 adalah sebagaimana berikut:


Bil. Negeri Jumlah Kes Kematrian

Situasi Semasa Negeri Selangor Sehingga Minggu 7/2011 (20 Februari 2011)

Denggi Mengikut Kaum Di Hulu Langat


Lokaliti Wabak di Hulu Langat
Lokaliti Wabak Dalam Pemantauan

Semua pihak diminta memberi perhatian dengan membersih tempat-tempat yang dijangka menjadi tempat bersarangnya nyamuk aedes. Semoga kita selamat dan tidak menjadi mangsa aedes.

Sekian.

February 25, 2011

Apa Itu Negara Islam ? Huraian Ada Kekeliruan ?

BBB, 21 Rabiul Awwal = 24 Februari (Khamis):

Pada petang seumpama petang ini – pada hari Khamis minggu lepas Adun Bangi sekali lagi mempunyai kesempatan menghadiri Kuliah Bulanan yang diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Shah Alam. Kuliah seperti ini adalah penting bagi mendedahkan kepada Adun-Adun dan para pentadbir mengenai Konsep Pemerintahan dan Kerajaan Islam. Walau bagaimana berdasarkan beberapa siri yang Adun Bangi berkesempatan hadir tidak ramai Adun-Adun berkesempatan hadir – hanya seorang dua sahaja, mungkin mereka juga sebok dengan program dan jadual masing-masing. Walau bagaimana sudah beberapa kali Adun hadir, Adun dapati semuanya dihadiri oleh YAB Tan Seri, Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor.

Majlis Ilmu yang diadakan selepas sembahyang Maghrib hingga Isya`, ialah perbincangan berdasarkan buku teks berjudul `Fiqh Ad-Daulah` karangan Profesor Dr. Yusof al-Qaradhawi seorang ulama terkini yang terkenal. Kitab ini dihurai secara bersambung oleh guru-guru jemputan berlainan bagi setiap siri yang diadakan.

Petang Khamis, malam Jumaat 14 Rabiul Awwal 1432 = 17 Februari 2011, adalah giliran pensyarah yang dijemput kali ini ialah Ybhg. Dato` Dr. Siddiq Fadhil Presiden Kolej Darul Hikmah, Sungai Ramal Dalam, Bangi. Topik bagi giliran Dr. Siddiq ialah:


Tabi`at ad-Daulah al-Islamiyyah - The Nature of the State of Islam – Sifat Sejati Negara Islam.

Dalam huraiannya Dr. Siddiq menjelaskan Negara Islam ialah:

Negara Islam bukan Negara Theocratic yang menjalankan pemerintahan melalui `Rijal ad-Din.
Negara Islam bukan Daulah Diniyyah, bukan Negara Perintah Tuhan melalui Rijal ad-Din sebagaimana pemerintahan Mullah di Iran.
Negara Islam ialah Daulah Hukumah. Negara Islam ialah Daulah Madaniyyah (civil Society) yang dibangun atas pemilihan bai`ah dan syura.

Kenyataan di atas, di samping ada kebenaran ada juga keraguan-keraguan. Antara persoalan yang boleh ditimbulkan – Adakah Negara Islam dipisahkan dari faktor ketuhanan ? Tidakkah `Theo`, ketauhidan adalah eleman utama mendasari ilmu, politik dan kenegaraan Islam ? Tidakkah pemerintahan Islam terdiri dari `rijal` (juga nisa`) yang faham tentang agama dan berpegang dengan akidah keislaman ?

Jika kita kembali kepada kebangkitan Rasulullah dan dakwah Baginda, maka eleman theology yang bersifat Tauhid adalah agenda utama dakwah baginda sehingga periodi Makkah dan dakwah baginda di Makkah adalah bagi menegakkan ketauhidan. Sudah tentu era 10 tahun baginda di Madinah yang menegakkan Daulah dan Hukumah Islamiyyah di sana, meskipun imej pemerintahan, daulah dan hukumah lebih ketara dan tampak, tetapi yang mendasari, membangun dan mencirikan Negara Islam dan umatnya ialah aqidah dalaman.

Sebab itu elemen theocratic adalah bahagian penting di dalam membangun Negara dan nilai masyarakat umatnya. Iran dengan kumpulan tertinggi dari Mullah sebagai penasihat kepada pemerintah adalah benar. Pas juga misalnya mempunyai Dewan Ulama yang mengawal perjalanan parti dan pemerintahan agar tidak menyeleweng dari dasar dan falsafah, aqidah dan pemerintahan Islam. Elemen tauhid Islam menjadi elemen yang utama dan dasar di dalam apa jua bidang Islam. Negara Islam di samping bersifat Madani adalah bertunjang pada akidah. Ianya tidak tegak di atas hukum yang bersifat luaran, tetapi akidahlah yang mencirikan nilai utama di dalam Negara Islam. Kita seharusnya tidak terpengaruh dengan label yang dibuat oleh Amerika dan Barat misalnya terhadap Iran sebagai pemerintahan theocratic yang dikuasai oleh kumpulan Mullah, maka kita juga terikut-ikut menafikan elemen Ketuhanan dan Ketauhidan di dalam Islam, sedangkan di sana ada yang melihat Negara Islam sebagai Negara Theodemocracy yang dirujuk oleh pengulas kepada Maududi dan Mohd. Nasir dari Indonesia. Kita tidak boleh memisahkan Negara Islam dari unsur ketuhanan bagi memperlihatkan kepada luar, bahawa kita terbuka dengan meletakkan negera Islam misalnya dipertengahan antara Negara Theocratic dan Liberal bersifat hukumah dan Madaniyyah.

Falsafah Ketauhidan penting di dalam Islam dan ulama pengawal dan tempat rujukan. Bagi pengukuhan Negara Islam bersama golongan agama juga seharusnya ada golongan yang lain seperti pakar ekonomi, politik, akademik, perundangan dan bidang-bidang yang wajar berada bersama di dalam Kumpulan Penasihat pemerintahan.

Elemen Ketuhanan – ketauhidan tetap menjadi elemen utama bagi diri seorang, umat dan Negara Islam. Ayat al-Qur`an sendiri mengaitkan Ketuhanan dengan Negara Islam'
`Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur` - `Negara Maju (Baik) yang diampuni Tuhan`.

Kuliah malam Jumaat yang diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Besar amat baik dan patut dijadikan landasan perbincangan ilmiah terutama yang berhubung dengan Negara dan pemerintahan Islam yang menjadi fokus pembicaraan yang dituju kepada ahli politik dan pentadbir kerajaan.

Sekian. Wallahu a`lam.

February 24, 2011

Meninjau Merlimau

BBB, 19 Rabiul Awwal 1432 = 22 Februari (Selasa):


Sebagaimana dimaklumi melalui media, pilihanraya kecil Merlimau di Melaka dan Kerdau, Pahang akan dijalankan serentak dan penamaan calon akan dilakukan pada 26 Februari, dan hari mengundi seminggu berikutnya. Negeri Selangor ditetapkan oleh pimpinan pusat membantu jentera parti Pakatan (Pas) di Merlimau. Semua kawasan dikehendaki turun menurut jadual yang ditentukan. ADUN Bangi kali ini dikehendaki mengetuai Kumpulan A (Serdang, Sepang, Hulu Langat dan Kelana Jaya), terawal mulai 21 – 23 Februari. Oleh kerana mempunyai tugas penting yang telah lama diatur, maka mesyuarat kawasan malam tadi menghendaki kawasan mesti pergi dengan jumlah 4 orang sebagaimana dikehendaki, maka pada pagi ADUN bertolak ke Merlimau bersama saudara Shahrum, Amir Othman dan Tuan Haji Mokhri.


Dalam mencari Rumah Selangor beralamat di KM. 36, Kg.Chin Chin (berasal dari nama orang Cina, bukan cincin yang dipakai dijari), kami menjangka sebuah rumah yang banyak memasang bendera Pas, adalah rumah yang dicari. Kami singgah dan bertanya. Kami diberitahu seorang anak muda Encik Kamil, bahawa ayahnya memanglah Ketua Cawangan Pas Kampong Terentang yang bekerja sebagai pegawai di Felda Pahang (berulang harian), tidak ada dirumah, pergi kerja (kami membuat kesimpulan tidak semua orang Felda menyokong BN). Kami diberitahu oleh En. Kamil `Rumah Pas` lebih kurang dua km. dari situ berdekatan surau. Bila tiba kami dapati `Markas Penerangan Pas Selangor` di situ memang selesa. Tetapi Rumah Selangor bukan di situ. Kami mendaftar dan menurunkan barang-barang yang kami bawa untuk membantu kempen. Kami dapati semua jalan-jalan masuk baru ditarkan, termasuk kawasan surau. Kami juga meninjau ke jalan ke belakang yang ditarkan membawa ke kubur Al-Marhum Wakil Rakyat (ADUN) yang baru meninggal – Encik Khidir. Dimaklumkan bahawa Al-Marhum YB En. Khidir yang merasmikan kawasan kubur tambahan, berdekatan kubur lama, rupanya beliau juga terawal rasmi dikuburkan di tapak yang beliau rasmikan.


Di rumah Penerangan Pas Selangor ini diketuai (Mas`uli) ialah saudara Khairol dengan sejumlah lebihkurang 10 orang muslimin dari kawasan-kawasan yang ditentukan berada di bawah khemah di hadapan rumah. Mereka terutama kalangan yang muda telah bertugas memasang bendera, Terdapat sekelompok muslimat yang singgah sementara (mereka mempunyai dua buah penginapan). Muslimat telah keluar mencula. Kita dimaklumkan buat masa ini masih kurang dari pembantu tempatan. Setelah berbincang berkenaan kegiatan, kami dibawa Cikgu Rahmat yang sentiasa hadir secara berterusan di mana pilihanraya kecil diadakan. Sdr. Kamaruddin yang juga sering hadir sudah datang, tetapi terpaksa pulang sementara. Rumah Selangor lebih kurang dua km dari Markas Penerangan Selangor. Rumah ini agak ke dalam, di dalam kebun buah-buahan. Rumah juga agak selesa dan murah sewanya. Antara rumah yang ditawarkan (untuk muslimat) adalah secara percuma. Ada tuan rumah besar yang penghuninya warga mas wanita, menawarkan muslimat tinggal bersama. Rumah Selangor bagi muslimin tidak dihuni tetap, tuannya tinggal di PJ, Kuala Lumpur dan pulang hanya sekali sekala.


Masa kami tiba di rumah Selangor bagi muslimin ini, ketuanya (En. Abdullah) keluar membeli di pasar, kami terpaksa menunggunya pulang, kerana rumah berkunci. Rumah yang dikelilingi pokok buah-buahan yang agak luas tanahnya agak selesa dan lengkap dengan peralatan. Sesudah En. Abdullah pulang, kami turunkan 4 botol besar air mineral yang dibawa dari Bangi, untuk digunakan di sini. Agak lama kami di sini bercakap-cakap terutama dengan Cikgu Rahmat, terutama pesanan-pesanan bagi mereka yang ditugaskan mewakili parti pada hari mengundi dan strategi-strategi kempen yang harus dilakukan. Semasa berbincang kami dihidang dengan ubi kayu rebus. Ubi ini diberi oleh salah seorang penduduk semasa berkempen ke rumahnya. Chin Chin yang ditugas kepada pasukan amilin dari Selangor ini mempunyai 2,153 pengundi yang 65% daripada mereka adalah pengundi Melayu. Pada pilihanraya 2008 calon Pas Mejar (B) Jasme Tompang yang juga YDP Pas Merlimau kurang 486 undi di Chin Chin. Pengundi keseluruhan di Merlimau ialah 10,766 dengan 2,300 Cina dan 1,507 India. Dari perbincangan kami dimaklumi, kita di sini tidak menghadapi tekanan dari pihak lawan seperti di Tenang tempoh hari di Johor. Penduduk juga bersifat terbuka dan menerima kunjungan kita secara mesra.


Selepas perbincangan kami pulang ke Markas Penerangan Selangor, bersembahyang jamaah zohor & Asar (jamak-qasar) di surau berhampiran dan kembali ke markas, makan tengahari, dimasak di sini. Setelah menyerahkan peruntukan Serdang kepada pihak Negeri di sini melalui saudara Khairol, kami memaklumkan kepada Cikgu Rahmat untuk meninjau semua kawasan DUN Merlimau dan mungkin tidak kembali ke rumah Selangor, kerana pada malam ini ADUN akan menghadiri Mesyuarat Perhubungan Negeri di Gombak.


Kami keluar menuju ke Pekan Merlimau. Kita dimaklumkan nama Merlimau berasal dari sejarah, bahawa pada kurun ke 17 Raja Haji dari keturunan Bugis yang pernah bertapak di Riau dan Johor pernah berusaha melepaskan Melaka dari penjajahan Belanda (selepas Portugis). Tentera Raja Haji menjadikan Merlimau tapak bagi penyerangan. Di sini pasukan Raja Haji `Memerlimaukan Senjata-Senjata` - Acara mempersiapkan kelengkapan senjata. Sebab itu tempat ini dinamakan Merlimau. Dalam serangan itu dikatakan pasukan Raja Haji mencapai kemenangan, tetapi beliau diracun dan mangkat di Teluk Ketapang dan dikebumikan disana (berhampiran Teluk Mas).


Dalam perjalanan ke Pekan Merlimau kami bertembung dengan Menteri yang datang mengumumkan calon BN diiringi pasukan polis trafik, kami melawat Markas Penerangan Pas Melimau berhadapan Perpustakaan Merlimau, melihat tapak bakal diisytiharkan calon Pakatan (Pas) di Pasti As-Salihin di sini. Singgah melawat model rumah asli Melaka, iaitu Rumah Bekas Penghulu Mat Natar yang menjadi rumah bersejarah dan menarik perhatian pelancong dan menjadi bahan iklan yang mencirikan Melaka. Kami juga singgah menikmati ikan bakar di warung Ikan Bakar bersetentang dengan Pulau Besar, iaitu di Pernu.


Semasa berada di sana terdapat dua banner yang digantung yang berbunyi mencabar Tuan Haji Muhammad Sabu yang tidak rasional untuk dinilai di kawan pilihanraya ini. Dua banner tersebut berbunyi "Mat Sabu jangan berani cakap sahaja, turun bertanding di Merlimau" dan satu lagi "Kami mahu Mat Sabu bertanding di Merlimau, ada berani?"


Jam 5.30 kami bertolak pulang ke Bangi dan tiba jam 6.30 dan segera bersiap bergegas ke Gombak bersama saudara Mustafa bin Haji Ismail bagi menghadiri Mesyuarat Perhubungan Negeri di sana.

Terima kasih.


Sekian.

February 23, 2011

Memesrai Golongan Remaja

Kompleks Sukan, Seksyen 15, BBB, 17 Rabiul Awwal = 20 Februari (Ahad):

Golongan remaja amat penting untuk dididik sebagai pelapis generasi pada masa hadapan di dalam apa jua bidang – termasuklah sebagai pelapis kepimpinan akan datang. Pihak Khidmat Masyarakat ADUN Bangi mendekati mereka di dalam berbagai cara. Antaranya mengadakan berbagai insentip pelajaran, kerohanian dan mendekati mereka di dalam bidang sukan. Semuanya dengan tujuan memperkembangkan mental, rohani dan fizikal mereka. Terbaik program yang diadakan untuk mereka dikendalikan oleh `peers` yang sebaya dengan mereka agar mereka tidak terasa jurang yang memisahkan antara mereka dan merasa sebahagian dari mereka.


Demikianlah di dalam bidang sukan banyak jenis sukan yang didekati sesuai dengan aktiviti dan masa yang dianjurkan. Salah satu jenis sukan yang amat digemari golongan remaja – termasuk juga dilibati oleh sebahagian yang agak sudah tua, ialah `Futsal`. Sambutan dan keterlibatan hebat golongan remaja di dalam permainan futsal menyebabkan padang futsal tumbuh bagai cendawan. Di sekitar Bandar Baru Bangi terdapat beberapa padang futsal (di dalam bangunan) yang standard yang dirikan oleh agensi kerajaan dan juga oleh pihak swasta. Misalnya padang sedemikian terdapat di Kompleks Sukan, Seksyen 15 BBB, seksyen Satu BBB (padang terbuka), Seksyen 13 di kawasan industri BBB, Pinggir Sungai Ramal Dalam, Sungai Tangkas dan padang-padang terbuka di kawasan-kawasan perumahan. Sewa bagi padang-padang ini agak tinggi mencecah RM90.00 sejam pada waktu-waktu utama misalnya pada malam-malam minggu dan hari tidak bekerja, manakala pada siang hari turun bayaran sebanyak RM60.00 sejam.

Pihak Pejabat Khidmat Masyarakat ADUN Bangi, selain mengadakan acara khusus pertandingan futsal di kalangan remaja, kerana sukan futsal ini begitu popular di kalangan remaja, mengambil keputusan memperuntukkan buat permulaan sejumlah wang RM2,000 menyewakan padang futsal yang paling utama dan terkenal, iaitu di Kompleks Sukan, Seksyen 15 Bandar Baru Bangi. Masa yang disewa adalah `prime time` pada malam-malam Ahad sebanyak 2 padang, jam 10.00 hingga 11.00 malam. Sewa setiap padang bagi satu jam ialah RM90.00.


Malam ini adalah malam pelancaran. Sebelumnya telah diiklankan kepada pasukan-pasukan remaja yang mau mengambil bahagian. Sambutan adalah di luar dugaan banyak pasukan remaja yang mau mengambil bahagian, tetapi 6 pasukan sahaja dipilih dahulu bagi pelancaran, kerana masa terhad. Pengendali perjalanan dan giliran dilantik dari kalangan anak-anak muda. Hadir pada malam ini selain dari ADUN Bangi, ialah saudara Shafie Ngah Ahli MPKj Zon 23, saudara Abu Bakar Alias, saudara Azizi, manakala dari kalangan remaja yng dilantik mengurus pentadbiran dan giliran ialah saudara Zahari Pengurus Sukan dari Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Bangi dibantu oleh saudara Hafiz, Fadhli dan beberapa yang lain. Antara mereka bertindak mendaftar mengundi bagi yang belum mendaftar.


Tidak ada acara terlalu formal bagi pelancaran. Pengendali-pengendali menyusun pertandingan antara kumpulan yang dipilih. Cuma lebih kurang jam 10.30 malam ADUN dengan pengiring datang berbual-bual dengan pasukan yang rehat yang sudah bermain dan yang menunggu giliran - berjabat tangan, bertanya khabar dan bercakap berhubung dengan berbagai topic yang releven dengan golongan muda, sambil minum air mineral yang memang kita sediakan kepada mereka. Mereka nampak gembira dan berpuashati dengan khidmat kita menyediakan slot bagi mereka. Di dalam percakapan secara santai ADUN berjanji pada peringkat puncak nanti bagi siri anjuran yang dilakukan kita akan adakan Pertandingan Kejohanan Futsal ADUN Bangi – insya Allah melalui peruntukan khas dan akan diatur oleh pihak urusetia.


Sekian.

February 22, 2011

Melawat Perpustakaan Beranang, Semenyih Dan Kajang



Bandar Baru Bangi, 14 Rabiul Awwal 1432 = 17 Februari 2011 (Khamis):


Selaku Pengerusi Gerakan Membaca Daerah Hulu Langat 2009 – 2013 yang dilantik oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor YB. Dr. Halimah Binti Ali Bil.(10) dlm. PA 3/3.16.4 bertarikh 17 April 2009, antara kegiatan yang dipersetujui di dalam mesyuarat ialah mengadakan lawatan ke seluruh perpustakaan di Hulu Langat bagi memahami keadaan, kemudahan, kekurangan dan cadangan yang sesuai. Maka pada hari ini selaku Pengerusi ADUN Bangi bersama-sama kumpulan melawat ke perpustakaan-perpustakaan di atas. Kumpulan lawatan terdiri dari:


  1. YB. Dr. Shafie bin Abu Bakar - ADUN Bangi - Pengerusi
  2. Puan Norhayati - Penolong Pegawai Daerah Hulu Langat.
  3. En. Mohd. Fadhli – Perpustakaan Shah Alam
  4. En. Bustamam - Perpustakaan Shah Alam
  5. En. Annuar Akasah – Perpustakaan Daerah (Hulu Langat)
  6. Puan Maryam Yassur – Perpustakaan Bangi
  7. Sdr. Shahrum bin Abdullah – Pejabat ADUN Bangi
  8. Sdr. Amir Othman – Pejabat ADUN Bangi


Kami bertolak dengan dua buah kenderaan dari Perpustakaan Bangi, jam 11.00 pagi dan terus ke perpustakaan yang terjauh bagi kunjungan hari ini, iaitu Perpustakaan Desa Beranang.


    1. Perpustakaan Desa Beranang

Perpustakaan ini terletak di belakang dalam Kompleks Penghulu di Beranang. Sebuah bangunan rumah setingkat sederhana kecil. Mulai dibuka sejak 2003.


Dikendalikan oleh seorang pekerja sahaja selaku Pustakawan, iaitu Puan Azlizawati Bt. Anwar. Sudah 5 tahun berkhidmat di sini. Dibantu oleh suaminya secara sukarela di luar masa kerjanya. Pengguna ialah pelajar Sekolah menengah dan rendah juga orang dewasa di sekitar Beranang. Masa dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang (Sabtu kedua dan keempat dibuka). Bagi mempromosi perpustakaan Puan Azlizawati keluar ke Sekolah mengadakan kempen membaca.


Setakat ini keahlian ialah 1,700 orang. Target penambahan ahli baru antara 15 – 30 orang sebulan. Koleksi di perpustakaan ini ialah 7,000 buah buku dari Perpustakaan Negeri. Akhbar harian yang disediakan ialah Berita Harian dan The Star. Antara kegiatan yang diadakan ialah Peraduan Mewarna – Kanak-Kanak 2009.


Tidak ada sukarelawan yang datang membantu.

Masalah Dan Keperluan

  1. Ruang panas, tidak ada penghawa dingin. Hanya guna kipas, kurang selesa.
  2. Tiada computer dan internet
  3. Tiada telefon. Pustakawan guna telefon bimbit sendiri
  4. Tidak mempunyai langsir
  5. Tiada tempat simpan beg dan barang-barang pengunjung
  6. Kerusi dan meja tidak cukup
  7. Tiada (signage) tunjuk arah ke perpustakaan
  8. Tiada white board untuk maklumat kenyataan
  9. Tiada tv, hanya ada sebuah radio
  10. Keselamatan pustakawan tidak terjamin kerana keseorangan

Perlu ambil tindakan bagi mengatasi masalah-masalah di atas.


    1. Perpustakaan Semenyih

Pustakawan di sini Puan Halimah, Pn. Rosida (Pembantu Pustakawan) dan Pn. Nor Najia juruteknik komputer di bawah projek Cyber Rakyat.


Perpustakaan ini adalah sebuah rumah setingkat sederhana besar dan lengkap sebagai sebuah perpustakaan bertaraf cawangan. Berhawa dingin. Mempunyai koleksi buku 20,000 buah. Paling banyak buku kanak-kanak. Waktu perkhidmatan sebagaimana Perpustakaan Beranang. Perpustakaan ini mempunyai ruang bilik komputer dengan perkhidmatan internet percuma dengan syarat hendaklah menjadi ahli. Pengguna adalah pelajar pelbagai kaum dan juga orang dewasa. Peminjam dalam lingkungan 1,000 sebulan.


Keperluan

  1. Tiada rak dan tempat kasut
  2. Tiada papan tanda nama perpustakaan
  3. Kerusi tak cukup
  4. Tak ada surau
  5. Jalan bagi pintu masuk terlampau curam
  6. Kurang tempat parking
  7. Tandas rosak
  8. Tiada buku untuk pelajar pengajian tinggi
  9. Tiada langsir
  10. Tiada karpet di dalam ruang komputer

    1. Perpustakaan Kajang

Destinasi terakhir dalam siri lawatan kami. Perpustakaan Kajang adalah merupakan perpustakaan tertua di Hulu Langat. Dibuka pada tahun 1975. Sebelumnya perpustakaan bertempat di Pejabat Daerah Hulu Langat, di Kajang (1972) di sebuah bilik kecil.


Perpustakaan mempunyai 5 orang kakitangan (3 lelaki, 2 perempuan) diketuai En. Annuar Akasah pada peringkat Daerah, manakala Pengurusnya En. Mazli. Perpustakaan di sini berada di Bangunan Dato` Nazir secara menyewa pada bahagian atas. Perpustakaan di sini mempunyai koleksi sebanyak 30,000 buah buku dengan keahlian seramai 40,000. Perpustakaan mempunyai koleksi lama yang masih tersimpan dengan baik. Perpustakaan mempunyai kelengkapan yang baik, tapi setakat ini penghawa dingin rosak. Sebahagian dari ruang membaca tidak selesa digunakan.


Pengguna perpustakaan adalah dari kalangan pelajar dari berbagai kaum dan juga orang dewasa. Hari Sabtu yang dibuka paling ramai dengan pengguna,meningkat antara 80 -100 pengguna.


Oleh kerana bangunan perpustakaan di sewa (bahagian atas), maka pihak Kerajaan Negeri Selangor bersetuju untuk membeli bangunan tetap bagi Perpustakaan Kajang yang lokasi di bangunan baharu berhadapan dengan bangunan MPKj – tiga tingkat. Dimaklumkan bangunan baru ini berharga RM1.3 juta dan tempahan telah dibuat dengan bayaran muka adalah RM10,000. Dalam perjalanan pulang ke perpustakaan Bangi (bertaraf Perpustakaan Daerah Hulu Langat), kami singgah melihat bangunan baru Perpustakaan Kajang.

Sekian.