Dengan didahului berpuluh motosikal berkonvoi dari Stesyen Minyak Shell Sungai Ramal Luar, ADUN Bangi berdiri di atas kenderaan Hilux bersama pengiring-pengiring bergerak berarak menuju ke Dataran Al-Falah (sempena nama Masjid Al-Falah). Di sini berhadapan Masjid dan bersebelah Sekolah Agama Sungai Ramal Dalam, khemah-khemah sedia didirikan bagi Majlis Perasmian diadakan.
Hadir bersama ke Majlis Perasmian YB Masuk Kampong sebagai Siri Kedua Intraksi Kemasyarakatan (Intra-Mas) ialah En. Lateb Bin Manan Ketua Kampong Sungai Ramal Dalam, Ustaz Shafie Ngah Pengarah Program yang juga Ahli MPKj Zon 23, saudara Yusof Bachek Ahli MPKj Zon 21, Tuan Haji Mazwan Bin Johar Ahli MPKj Zon 24, Tuan Haji Yusof Bin Abdul Kadir Ketua Kampong Sungai Ramal Luar, Encik Azlan Nordin Ketua Kampong Bangi Bahagia, Ustaz Haji Asnawi Ketua Cawangan Pas Sungai Ramal Dalam, saudara Ari Krishnan Ketua Kelab Penyokong Pas Serdang, para jemputan dan penduduk setempat.
Ustaz Shafie dalam ucapan alu-aluan memaklumkan program hari ini adalah lanjutan dari program yang julung-julung kali diadakan di Sungai Ramal Luar. Tujuan utama program diadakan bagi merapatkan hubungan ADUN dan pimpinan dengan penduduk setempat. Melalui program dapat disampaikan maklumat dari pihak kerajaan yang mungkin selama ini tidak begitu dimaklumi seperti program Usia Mas, Tawas, Air Percuma, Insentif Anak Masuk Universiti, Pinjaman dan Biasiswa ke Universiti, Mikro Kredit dan sebagainya. Beliau berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program hari ini.
Encik Lateb Manan selaku Ketua Kampung Sungai Ramal Dalam berterima kasih kerana dipilih program YB Masuk Kampong mengikuti Sungai Ramal Luar. Beliau melahirkan harapan Sungai Ramal Dalam tidak akan tertinggal jauh berbanding dengan tempat-tempat lain. Banyak pembaikan yang perlu dilaksanakan di Sungai Ramal Dalam yang sebahagian terletak di bawah Ketua Kampong dan sebahagian di bawah Ahli Majlis. Namun beliau berharap kerjasama dari banyak pihak dapat membantu Sungai Ramal Dalam meningkat dari segi kemajuan.
ADUN Bangi menyebut keistimewaan di Sungai Ramal Luar dengan gerakerja sepadu yang bermarkaskan Baitul Imtiaz, maka di Sungai Ramal Luar kali ini diadakan Karnival Bermotoran di Dataran Al-Falah. Beliau menyebut kejayaan program baik di Sungai Ramal Luar pada minggu lepas, maupun di sini di Sungai Ramal Dalam adalah hasil kerjasama dari Ketua Kampong dan anak buah, Pimpinan Cawangan Setempat, penduduk tempatan dan AJK dari Pejabat ADUN. Berdasarkan kerjasama ini mencerminkan hasrat mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat tercapai. Tetapi kita mau pergi lebih jauh lagi, sebab itu program ini akan ditingkatkan dengan lawatan-lawatan kepada pemimpin-pemimpin setempat dan ziarah penduduk-penduduk. Semoga perhubungan melalui Intra-Mas dapat dicapai.
Selepas perasmian ADUN melawat Karnival permtoran yang diseri dengan kehadiran saudara Yasir Said, Bekas Juara Motorsikal Cuprix tiga tahun berturut-turut 1993 – 1995.
Sebanyak 120 servis percuma motorsikal tajaan ADUN dilakukan oleh pihak Syarikat Maxwell kepada pemilik-pemilik motor yang datang dan mendaftar. Kemudian Cabutan Bertuah dan hadiah-hadiah disampaikan. Manakala ceramah keselamatan pemanduan bermotor diadakan berdekatan. ADUN juga meninjau gerai-gerai jualan dan Lapangan Memanah.
Dari Dataran Al-Falah ADUN dan pengiring-pengiring bergerak ke Dewan Orang Ramai di mana diadakan di sini pemeriksaan Blood Pressure, ceramah Permakanan Seimbang dan Pemeriksaan Kesihatan dengan mendapat kerjasama dari Hospital An-Nur dan juga dari HUKM. Terima kasih di atas kerjasama dari tenaga-tenaga hospital-hospital berkenaan.
Sebagaimana semasa program berlangsung di Sungai Ramal Luar ada berlaku kematian, maka pada hari pertama ini juga ada berlaku kematian berdekatan. ADUN bersama-sama pengiring-pengiring pergi menziarah kematian bayi yang dilahirkan sebelum cukup bulan. Selepas ziarah semasa pulang ke Dataran Al-Falah, kami bertembung dengan pasukan berpuluh motor berarak yang ditaja oleh pihak lawan yang mungkin mau mensabotaj program Masuk Kampong yang diadakan. Tapi bagi kami tindakan mereka memeriahkan lagi suasana sambutan program yang diadakan. Mereka menjadikan program sambutan dan orang ramai lebih exited. Dari maklumat risikan pemilik-pemilik beberapa buah motor dari pihak lawan secara senyap-senyap datang ke tempat service percuma kami menukar minyak motor mereka. Dari risikan juga kami dimaklumi mereka adalah dari luar diupah dan penyertaan mereka semata-mata untuk mendapat duit !
Program pada tengahari ialah menziarah lokasi-lokasi bermasalah disertai ADUN, Encik Latif, Encik Yusof Bacik, saudara Shukor Atan, Haji Omar, Azizi, Ustaz Asnawi, Ari Krishnan dan Amir Othman. Beberapa lokasi dilawati dari Sungai Ramal Dalam hingga ke Surada yang semuanya melibatkan keperluan saliran atau pembesaran yang selama ini berlaku banjir jika hujan agak lebat. Pengaduan ini akan dibawa ke atas, khususnya ke JPS untuk diambil perhatian dan tindakan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment