February 5, 2011

Interaksi Kemasyarakatan: Sungai Ramal Luar Pilot Projek Permulaan

Masjid Haji Mat Saman, Sg. Ramal Luar, 29 Safar = 03 Februari (Khamis):


Bertempat di Masjid Haji Mat Saman, Sungai Ramal Luar, pada petang ini diadakan Majlis Penangguhan Interaksi Kemasyarakatan Dengan Penduduk Sungai Ramal Luar yang diadakan di Sungai Ramal Luar sejak 30 Januari 2011 bermula dengan Majlis Pelancaran bertempat di Pusat Komuniti Baitul Imtiaz dengan dihadiri penduduk setempat dan anak-anak yang mempunyai kegiatan sendiri seperti pertandingan mewarna dan permainan tradisi. Walaupun keadaan hari hujan, tetapi tidak menghalang kegiatan berjalan. Aktiviti hari ini termasuklah menyaksikan pertandingan futsal di kalangan anak-anak muda di sini. 12 pasukan mengambil bahagian. Penyampaian hadiah disampaikan oleh Adun kepada pasukan-pasukan yang menang. Kejayaan program yang dinamakan YB masuk Kampong adalah bergantung pada banyak pihak, terutama penduduk tempatan yang diketuai oleh Ketua kampong Tuan Haji Mohd. Yusof Abdul Kadir, Ketua Cawangan dan ahli-ahli yang diketuai saudara Fuad, pihak Masjid diketuai Tuan Nazir Tuan Haji Nik Pa Nik Leh dan AJK parti dan Khidmat Masyarakat yang digerakkan oleh Ustaz Shafie Ngah selaku Pengarah dan Timbalan YDP. Sebab itu program-program yang diatur berjalan lancar termasuk ziarah penduduk, penculaan dan pembukaan kaunter pendaftaran pengundi dan pengaduan.


Hari kedua bermula dengan Makan Pagi Bersama Penduduk di Restoran Azizah dan meneruskan kegiatan sebagaimana semalam dengan pembukaan kaunter, penculaan yang didahului kalangan muslimat dan Ziarah Pemimpin-pemimpin setempat. Ternyata ziarah memberi impak yang baik, iaitu menceriakan mereka yang sakit dan memesrakan pertemuan. Beberapa lawatan bukan saja membawa kenangan nostalgia bagi mereka yang diziarah dan yang menziarah, tetapi membuat yang diziarah menangis kerana terlalu terharu diziarahi dan terlerai rindu bersendiri selama ini, kerana tidak diziarahi.


Hari ketiga bermula dengan makan pagi bersama penduduk di Restoran Camar, berindukkan surau setempat dengan ziarah juga dilakukan, demikian pembukaan kaunter dan penculaan di sekitar Sungai Ramal Indah berdekatan dengan kawasan perumahan elit. Satu kematian berlaku di rumah pangsa Sungai Ramal Baru, iaitu ditingkat lapan. Lif rosak dan jenazah terpaksa diusung turun dan disempurnakan urusan jenazah di Masjid Haji Mat Saman. Adun turut sama menyembahyangkan jenazah. Peristiwa pengusungan jenazah dari tingkat lapan ke bawah ini menjadi berita utama Sinar pada Rabu 02 Februari 2011 dengan tajuk `Jenazah Turun Tangga`. Akibat dari peristiwa ini perundingan dilakukan bagi mengatasi kerumitan yang dihadapi penduduk tanpa lif. Selepas ini lif berfungsi – mungkin buat sementara sehingga masalah tonggakan dan yuran bulanan dapat diselesaikan.


Hari keempat adalah penerusan dari program dengan makan pagi bersama penduduk di warung berhadapan Sekolah Agama Sungai Ramal dan meneruskan kegiatan di Sungai Ramal Indah yang belum habis diziarah semalam hingga ke tengahari dan berakhir makan tengahari di Restoran Hajah berdekatan dengan Sekolah Leftenan Adnan.


Sebelum Majlis Penangguhan di atas, iaitu pada hari kelima, maka pada hari ini kegiatan adalah berindukkan Masjid Haji Mat Saman dengan makan pagi di sini sebagai program awalan. Hari ini khemah-khemah didirikan di dalam kawasan masjid untuk jamuan penutup. Sementara itu dari pagi ini kegiatan menziarah diteruskan dari rumah ke rumah didahului muslimat dari Kampong Paya hinggalah kembali ke Sungai Ramal Baru. Manakala sebelah petangnya juga zaiarah dilakukan ke rumah-rumah yang masih belum diziarah seperti di Taman Perumahan Khoo Kai Boh. Selama lima hari hampir 80 orang veteran, pesakit dan pemimpin setempat dapat diziarahi.

Maka pada malam penutup ini pada petang Khamis – malam Jumaat diakhiri dengan sembahyang Maghrib berjamaah di Masjid Haji Mat Saman, sembahyang Hajat mendoakan agar pelajar-pelajar Malaysia di Mesir yang sedang bergolak berada di dalam keselamatan, baca Yasin dan Tahlil.


Dalam ucapan ringkas Ustaz Shafie Ngah sebagai Pengarah Program berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program. Ketua Kampung Haji Mohd Yusof Abdul Kadir yang banyak memberi kerjasama menjayakan program juga berterima kasih kerana memilih Sungai Ramal Luar sebagai Pilot Projek bagi YB Masuk Kampung dan Adun Bangi lebih-lebih lagi berterima kasih kepada penduduk setempat yang amat memberi kerjasama dengan segala program yang diadakan. Program yang diakhiri dengan jamuan sate itu boleh disifatkan amat berjaya. Selepas jamuan beramai-ramai pula menziarahi satu kematian di Sungai Ramal Baru.

Hingga jumpa lagi. Sekian.

No comments:

Post a Comment