February 28, 2011

Intra-Mas 5: Fokus Taman Jasmin Dan Sekitar

Taman Jasmin 22-24 Rabiul Awwal = 25 – 27 Februari (Jumaat – Ahad):

Interaksi Kemasyarakatan diteruskan bagi siri ke lima. Pada kali ini tumpuan ialah Taman Jasmin dan sekitarnya seperti, Bukit Mewah, Taman Indah, Taman Permai Damai, Taman Damai Indah, Taman Zamrud dan Lembah Mewah. Seperti siri-siri yang lepas pihak Khidmat Masyarakat Adun Bangi mendapat kerjasama dari Ahli MPKj dan Wakil, pemimpin setempat dan muslimat. Masyarakat setempat juga memberi respon yang amat menggalakkan.

Intra Mas Siri 5 bermula pada sebelah pagi Jumaat 25 Februari dengan makan pagi bersama dengan masyarakat setempat di Bukit Mewah yang disertai Adun Bangi dan juga YB Teo Nie Ching, kemudian kumpulan bergerak di kawasan perumahan berdekatan. Pada pagi Jumaat ini kami dapat menziarah penghuni-penghuni rumah teres dan rumah pangsa di sini yang kebanyaknnya Melayu dan hanya seorang dua dari kalangan masyarakat India dan Cina. Mereka adalah dari kalangan masyarakat yang susah dan bergelut dengan kemiskinan. Kami tersentuh dengan seorang isteri muda Puan Ida (berasal dari Dungun, Terengganu) yang setia menjaga suaminya En. Uli (berasal dari Sabah) yang bekerja dengan TNB dan terkena renjatan letrik semasa bertugas, terbakar dan kini terus terlantar di katil, tidak dapat bercakap. Makanan diberi melalui tiub. Sumber kewangan suami isteri adalah dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM250/= sebulan. Terpaksa menyewa rumah pangsa dan belanja susu khas sebanyak RM600/= sebulan. Jiran-jiran amat simpati dan menghulurkan pertolongan. Kami memanjangkan simpati dan akan mengambil tindakan.

Ziarah pada sebelah pagi 25 Februari ini ditangguhkan jam 11.30 bagi menunaikan solat Jumaat. Adun diberi penghormatan membaca khutbah solat Jumaat di Surau Jasmin (surau yang dibenar mendirikan solat Jumaat). Ziarah disambung pada sebelah petang mulai jam 3.00 hingga 5.00 petang.YB Teo Nie Ching tidak menyertai ziarah pada sebelah petang, kerana mempunyai agenda di tempat lain. Ziarah ke Taman Jasmin petang ini lebih kepada pemimpin-pemimpin dan tokoh-tokoh setempat. Mereka tinggal di perumahan di sini sekitar tahun 1993. Antara mereka bekas-bekas pegawai, Imam dan AJK Surau, pendidik dan warga mas. Sebagaimana pada sebelah pagi kami sempat menziarah seramai 17 orang (rumah), demikianlah pada sebelah petang kami juga menziarah sejumlah 17 orang dan mengakhiri ziarah dengan berjamaah Asar di Surau Jasmin.

Pada pagi 26 Februari (Sabtu). Kegiatan ziarah diteruskan, tetapi YB. Teo Nie Ching tidak dapat bersama, kerana beliau ke Merlimau menyertai penyokong penamaan Calon Pakatan Rakyat di sana, sedang Adun Bangi mempunyai program di Pekan Bangi dan di Sungai Ramal Luar. Jadi ziarah diteruskan selepas makan pagi oleh AJK dan Adun menyertai pada pertengahan selepas menyertai program di Sungai Ramal Luar. Ziarah pada pagi Sabtu ini tertumpu di sekitar kawasan Bukit Mewah yang terdiri dari berbagai kaum. Ziarah pagi ini hingga jam 11.00 pagi,kerana pada sebelah petang akan di adakan Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2011 yang juga diadakan di Taman Jasmin. Pada sebelah pagi ziarah dapat dilakukan sebanyak 15 buah rumah.
Siri Intra-Mas kelima ini berterusan hingga hari ketiga (Ahad) yang bergerak dari Balai Komuniti di Taman Zamrud. Pada pagi Adun tidak berkesempatan bersama kerana mempunyai program di Taman Seri Intan dan juga di Sungai Ramal Baru. Selepas itu baru ke Program Ziarah. Walau bagaimana sejak dari pagi YB Teo Nie Ching dapat bersama makan pagi di sini dan Adun Bangi tiba dari Sungai Ramal Baru menyertai sama ziarah. Tumpuan pada kali ini adalah di kawasan perumahan di Lembah Mewah dan Taman Zamrud. Mereka yang diziarah pada pagi ini umumnya dari kalangan warga mas yang terdiri dari pelbagai kaum. Jumlah ziarah yang dapat dilakukan pada pagi ini ialah seramai 25 orang (rumah teres dekat-dekat).
Siri ziarah sebagaimana pada hari-hari lain disertai kaunter pendaftaran dan pertanyaan (setiap hari) dan pada hari akhir ini sekali lagi pihak Master Skill membuat Pemeriksaan Kesihatan dan Ceramah Mengenai Kesihatan. Sejumlah penduduk lebih kurang 300 orang datang dan menyertai Majlis yang diakhiri dengan jamuan sate.

Sekian.

No comments:

Post a Comment