Sebagaimana maklum pengurusan sisa pepejal (sampah) di PBT-PBT bukan saja di negeri Selangor, bahkan kebanyakan negeri-negeri lain dimonopoli oleh Alam Flora. Perjanjian dibuat pada peringkat Persekutuan yang mengikat negeri-negeri dengan perjanjian tersebut. Oleh kerana Alam Flora satu-satunya syarikat yang diberi hak mengendalikan sisa pepejal, khususnya di Selangor, aduan kurang diberi perhatian serius, kerana mereka tidak menghadapi saingan dan tekanan. Ketidakpuasan hati terhadap perkhidmatan urusan sisa pepejal Alam Flora selalu kedengaran dan menjadi aduan. Oleh kerana bersifat monopoli, maka tidak berlaku pertandingan dan saingan yang sihat, sebab itu perkhidmatan tidak memuaskan. Pemilihan sub-kontraktor-sub-kontrektor tidak bersifat terbuka dan cenderung kepada bersifat kroni.
Di Selangor, sejak Pakatan Rakyat memerintah negeri tersebut mulai Mac 2008, timbul desakan-desakan yang mau syarikat-syarikat lain diberi peluang mengurus sisa pepejal, tetapi hasrat mau menukar kepada yang lain tidak dapat dilaksanakan, kerana terikat dengan perjanjian yang telah dibuat oleh pihak Persekutuan dengan Alam Flora, lantaran itu biarpun Pakatan Rakyat memerintah, tetapi kontrek Alam Flora tetap dikuasai oleh pihak dari kalangan Umno=BN, mereka lebih mengaut faedah, walaupun Pakatan Rakyat yang memerintah.
Setelah tiga tahun memerintah, usaha memecahkan monopoli Alam Flora tetap dilakukan. Pihak MPSJ dan MPKj mengorak langkah membuat pendekatan mengendalikan urusan sisa pepejal secara bersendiri. Pihak MPSJ dan MPKj menubuhkan Anak Syarikat di bawah PBT masing-masing dengan seorang manager yang menjalankan pengurusan sisa pepejal. Untuk mengelak dari permasalahan buat permulaan pihak PBT akan menguasai 30% daripada urusan terlebih dahulu, manakala 70% masih diberi peluang kepada kontrektor-kontrektor lama menjalankan perkhidmatan dengan prestasi mereka dipantau dan jika tidak memuaskan tugas mereka sedikit demi sedikit akan diambil alih oleh PBT.
Di dalam konteks MPKj, seluruh kawasan di bawah MPKj dibahagikan kepada 77 zon. Bagi kawasan 30% diambil alih oleh MPKj peringkat permulaan (23 zon), pihak MPKj akan mengeluarkan modal sebanyak RM2 juta dan pihak kontrektor lama yang sedia mempunyai peralatan dan kepakaran dikehendaki mengeluarkan modal RM7 juta (Semuanya RM9 juta).
Bagi zon-zon yang diambil alih dan dikendalikan oleh MPKj, maka tender-tender akan dilakukan secara terbuka bagi memberi peluang kepada kontrektor-kontrektor kecil berkelayakan mengambil bahagian di dalam mengendalikan pengurusan sisa pepejal di bawah MPKj. Pemilihan akan diasaskan kepada kemampuan kontrektor yang memohon dari segi kewujudan modal dan kemampuan menyediakan peralatan. Misalnya lori-lori yang dapat mengangkut sampah, peralatan yang lain yang diperlukan dan tenaga kerja.
Bagi memenuhi 30% yang dikendalikan buat permulaan oleh MPKj, hampir 50 kontrektor diperlukan dan dijangka memberi peluang pekerjaan kepada ratusan pekerja. Ini adalah merupakan usaha awal bagi memecahkan monopoli Alam Flora yang dilakukan oleh pihak Persekutuan. Inilah masalah selama ini yang membelenggu PBT kerajaan Negeri terikat dengan perjanjian yang dibuat melalui kerajaan Persekutuan. Keadaan seperti ini juga berlaku pada pengurusan air yang diswastakan kerajaan Umno-BN sebelum ini yang tidak mudah diselesaikan, kerana terikat dengan perjanjian dan modal yang diperlukan bagi mengambil alih dan memerdekakan kedua-dua urusan kepada hak dan pemilikan rakyat. Usaha tetap dilakukan bagi mengembalikan kedua-duanya kepada rakyat sesuai dengan slogan Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor.
Sekian.
No comments:
Post a Comment