March 21, 2011

Menghadiri Jemputan Perkahwinan - Nabilah Kerani Di Pejabat Di Sekinchan Dan Anak Menteri Besar Kedah Di Teras Jernang

Sungai Burung, Sekinchan & Teras Jernang, BBB , 14 & 15 Rabiul Awwal = 20 & 21Mac (Sabtu & Ahad):

Sebagai meraikan perkahwinan kerani di Pejabat Adun Bangi, iaitu saudari Nabilah Binti Ahmad dengan suaminya En. Hashim Rahimi bin Muhamad Shahri, maka selepas merasmikan dua buah program pada pagi ini di Bandar Baru Bangi, maka Adun bertolak dengan saudara Azizi dan Amir Othman ke Sekinchan. Ada tiga buah kereta lagi dari Bangi sama ke Sekinchan bagi meraikan perkahwinan Nabilah, iaitu Tuan Haji Shafie Ngah dengan keluarganya, turut bersamanya saudara Shahrum, Kereta yang membawa Puan Zuryati & keluarganya dan sebuah lagi kereta Puan Faridah bersama muslimat.

Jemputan sebenarnya dibuat oleh saudari Nabilah pada 13 Mac lepas ke jamuan di rumahnya di Alor Star, Kedah, tempat asal Nabilah. Memikirkan tempatnya begitu jauh, kami membuat keputusan menghadiri majlis perkahwinan di rumah suaminya di Sungai Burung, Sekinchan pada hari ini. Nabilah keluaran UKM, demikianlah suaminya. Ini bererti mereka berkenalan yang membawa kepada pertemuan joduh bermula di UKM. Bila tiba menurut alamat jemputan, Kg, Parit Tiga, Sekinchan, rupar-upanya bertempat di Sungai Burung, tidak jauh dari Markas Tarbiyah di sini. Perjalanan kami dalam keadaan hujan dan bila tiba di Sungai Burung juga masih hujan.





Kami berada di rumah pengantin saudara Hasyim & Nabilah lebih kurang satu jam, berkesempatan berkenalan dengan ibu bapa mereka dan bercakap dengan tamu yang tiba dan sempat bergambar dengan kedua pengantin sambil menikmati jamuan. Kawasan kediaman En. Hashim suami Nabilah adalah di sebuah kampong yang kawasannya menghijau dengan pokok-pokok, aman dan tenang. Demikianlah kita mengharapkan perkahwinan Nabilah akan diliputi ketenangan, bahagia dan aman. Suami Nabilah adalah seorang guru yang sedang bertugas di Sarawak dan akan ke sana bila buka Sekolah dan akan berusaha untuk memohon bertukar ke Selangor setelah berumah tangga. Kami bertolak pulang ke Bangi jam 2.30 bagi menghadiri program yang lain di Kajang Utama.



2) Majlis Perkahwinan anak YAB Dato` Seri Azizan Abdul Razak Menteri Besar Kedah, Di Teras Jernang, Bandar Baru Bangi.

Teras Jernang, 15 Rabiul Awwal = 20 Mac (Ahad)

Surat jemputan ke perkahwinan anak YAB Dato` Seri Azizan di Teras Jernang diedarkan sejak seminggu yang lalu. Pertanyaan timbul di dalam minda, mengapa YAB Dato` Seri Menteri Besar Kedah yang lebih dikenali dengan panggilan `Ustaz Azizan` itu tidak diadakan di Kedah ?

Jawapannya rumah asal beliau semasa berkhidmat dengan UKM sebagai pensyarah adalah di Teras Jernang, Bandar Baru Bangi. Rumah ini masih didiami anak-anaknya, termasuk yang majlis perkahwinan diadakan baginya iaitu Zakaria Surani tinggal di sini, lagi pula kita dimaklumkan isteri Zakaria, iaitu Izzaida Binti Abdullah adalah berasal dari Johor. Jadi mengadakan majlis perkahwinan di Teras Jernang lebih dekat bagi keluarga dari Johor untuk hadir daripada ke Kedah. Lagi pula di Teras Jernang juga memudahkan bagi kenalan YAB Ustaz Azizan yang ramai sekitar Bangi-Kajang dan Kuala Lumpur hadir. Dengan mengadakan majlis perkahwinan di sini kurang dari segi protokol yang mungkin kurang selesa bagi orang biasa untuk hadir.

Jemputan di sini adalah begitu ramai dihadiri tamu jemputan, Adun yang hadir pada peringkat awal begitu sukar mendapat tempat parking hingga ke jalan masuk ke Taman Sentosa. Sememangnya jemputan ramai dari kenalan Ustaz Azizan semasa menjadi pensyarah, juga kalangan ahli politik di samping penduduk di Teras Jernang, sekitar Bangi-Kajang dan Kuala Lumpur.
Majlis begitu meriah. Adun berkesempatan mengucap tahniah kepada Ustaz Azizan menerima menantu dan Isteri Adun berkesempatan mengucap tahniah kepada isteri Ustaz Azizan Puan Seri Faeqah. Di samping itu pada majlis ini Adun berkesempatan bertemu dengan pemimpin-pemimpin dan teman-teman yang telah sekian lama tidak diketemui.







Kita mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada kedua-kedua pasangan pengantin yang baru mula memasuki gerbang rumah tangga. Semoga mereka di dalam hidayah, diberkati Allah dan bahagia bersama keluarga.

Sekian.

No comments:

Post a Comment