BBB, 02 Rabiul Akhir = 07 Mac (Isnin):
Keputusan pilihanraya kecil bagi kawasan Merlimau, Melaka dan Kerdau, Pahang telah diketahui. Pihak BN mempertahankan kedua-dua kerusi yang disandang sebelum ini. (Roslan Ahmad Merlimau majority 3,643 berbanding 2008 majoriti 2,154 dan Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Kerdau majority 2,724 berbanding 2008 ialah 1,615).
Pada masa penulis berkunjung ke Merlimau pada 23 Februari 2011 penulis dapati kawasan DUN Merlimau yang dipertandingkan berada di dalam suasana bersih dan teratur. Bendera dan postar yang dinaikkan, walaupun sebelum hari penamaan calon tidak diganggu, masyarakat dapat disifatkan adalah mesra. Pada masa itu hampir semua jalan ditar termasuk di kawasan surau dan masjid, bahkan jalan sampai ke kubur. Hati kecil penulis berkata, ``Tentulah pertandingan antara Pas (PR) dengan BN di sini `tough``. Tiada isu tempatan yang ketara. Sebaliknya apabila penulis meninjau ke Kerdau, penulis terkejut dengan kemunduran di kawasan Kerdau dan menjangka penduduk akan melahirkan protes terhadap kerajaan yang mengabaikan kawasan berkenaan dari pembangunan. Penulis mengharapkan semangat pilihanraya Temerloh 1999 dan Pilihanraya Kecil Sanggang awal 2000 dulu akan menjelma. Ada semacam harapan kemenangan bagi Pas di sini dan bukan perkara yang mustahil. Namun ini pandangan penulis yang meletakkan penilaian pada maju-mundurnya kawasan, sedang di sana banyak lagi faktor yang mengurang atau mempengaruhi kemenangan.
Pilihanraya sebenarnya `Perang Bagi Mempengaruhi Dan Menguasai Hati Dan Minda`, iaitu menggunakan saluran maklumat bagi disampai dan mempengaruhi rakyat. Pihak Kerajaan dilihat menguasai dan menggunakan saluran maklumat secara tidak adil, Segala saluran maklumat seperti media letronik dikuasai dan diguna secara berpihak kepada pihak kerajaan, termasuk mengguna jentera, peralatan dan kakitangan kerajaan berkempen bagi pihak BN. Rakyat dipukau dengan janji dan harapan, sementara sebagai daya tarikan semasa sama ada di Merlimau atau di Kerdau, projek mee segera seperti pembaikan jalan dilaksanakan. Rakyat seperti di Kerdau lupa dengan keadaan mereka yang ketinggalan dan menganggap apa yang mereka alami adalah seperti realiti dialami orang lain. Bagi Pakatan Rakyat, bukan mudah bagi mengangkat taraf kesedaran masyarakat, katakana kepada taraf semi Bandar yang minda mereka lebih terbuka, lebih faham dan lebih sedia menerima perubahan. Dalam hal ini bagi BN masyarakat lebih bersifat kampong dan ketinggalan, termasuk Felda yang dikawal mereka,yang sudah pasti tidak demokratik lebih menguntungkan mereka. Di sinilah keuntungan sementara bagi BN yang dapat mereka raih sebelum berlaku perubahan minda dan kesedaran setempat. Sementara dari satu segi PR tidak mampu menampilkan contoh-contoh baik yang dilakukan seperti di Selangor, kerana saluran maklumat terhad.
Dari satu segi malapnya penentangan oleh kerana tiadanya isu besar semasa yang boleh mencetus gelombang kesedaran menyeluruh dan menenggelamkan isu tempatan yang dapat dieksploitasi dan mempengaruhi rakyat. Bagi Kerdau ada isu peringkat negeri yang tenggelam dalam hutang melebihi 2 bilion. Isu ini sebenarnya dapat ditingkatkan dan dipergunakan tapi kesannya agak minimum. Bagi kedeua-dua tempat isu kenaikan barang juga isu penting, tetapi mereka dapat mengawal dan memendamkannya dengan media dan penerangan yang mereka kuasai. Sebaliknya dari satu segi memperlihatkan kelemahan pihak Pas dan Pakatan yang tidak mampu menterjemahkan isu-isu penting kepada tahap yang menjerat kerajaan negeri dan mengalih sokongan rakyat kepada Pas.
Selain dari melihat isu tempatan, negeri dan nasional, perlu diingat exploitasi musuh terhadap suasana di dalam Pas dan Pakatan dari segi keteguhan Pakatan Rakyat sendiri yang tidak solid dari segi kesatuan, isu-isu yang mencanggahi prinsip seperti mereka yang dari dalam menimbulkan soal `Negara Islam` dan terbaru penentangan terhadap prinsip Pas tridak membenarkan perjudian kerana implikasinya boleh merosakkkan rumah tangga, keharmonian masyarakat dan mencetus ke arah masalah sosial. Penentangan dari dalam Pakatan Rakyat tentang sekatan judi di Kelantan, berdasarkan dihalalkan judi berlesen, akan menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap solidariti dan kepercayaan terhadap Pakatan. Sepatutnya apa yang patut didengar dari Pakatan Rakyat ialah berusaha membawa usul ke Parlimen bagi merubah peruntukan perlembagaan yang menghalalkan judi kepada mengharam dan penghapusan.
Walau bagaimana dengan segala jentera dan kekuatan yang diturunkan oleh BN di Merlimau dan Kerdau, sedang kedua-dua tempat kuat dengan pengarah BN, maka kemenangan BN di Merlimau dengan majority hanya 3,643 dan Kerdau dengan hanya 2,724 bukanlah majoriti yang besar. Pas (PR) masih mampu menggugat BN. Kerja kuat perlu dilakukan bagi mempertingkatkan prestasi Pas dan PR di samping memperbaiki masalah dalaman yang sering ditimbulkan oleh kalangan dari PR sendiri.
Sekian.
No comments:
Post a Comment