March 13, 2011

3YB Di Multaqa Guru Agama Hulu Langat

Pandan Indah, 07 Rabiul Akhir = 12 Mac (Sabtu):

Program multaqa Guru Agama Seluruh Hulu Langat – termasuk Ampang (kecuali Kajang dan Semenyeh kekurangan ruang akan diadakan kemudia) dihadiri tiga orang Wakil Rakyat, mereka ialah YB Iskandar bin A.Samad Adun Cempaka yang juga Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Adun Bangi dan YB Haji Khasim bin Abdul Aziz Adun Lembah Jaya. Multaqa Guru Agama ini diadakan di Sekolah Agama di Pandan Indah berhampiran dengan Masjid Al-Azim di sini.



Tujuan diadakan pertemuan untuk mendekatkan guru-guru dengan pemimpin setempat, menyampaikan maklumat dan mengetahui masalah guru-guru melalui dialog. Hadir sama selain dari ketiga-tiga Adun ialah Yg. Berbahagia Ustaz Bong Salleh bin Haji Adnan Timbalan Pentadbir Hal Ehwal Agama Islam Daerah Hulu Langat yang juga selaku Pentadbir Hal Ehwal Guru Agama di Hulu Langat, Guru-Guru Kanan dan guru-guru yang jumlah mereka lebih kurang 600 orang.

YB Iskandar dalam ucapannya menjelaskan bahawa guru agama memainkan peranan yang penting di dalam mendidik anak-anak dengan didikan keagamaan. Kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat menaikkan gaji mereka kini sebanyak RM1,300 sebulan. Pertemuan diadakan, kerana mau tau masalah dari guru-guru. Menurutnya, ``Kita bangunkan Selangor bukan mencontohi dengan negeri-negeri di Malaysia, tetapi mencontohi negeri-negeri maju luar Negara seperti Singapura, Australia, New Zealand dan sebagainya.



Menurutnya sejarah mengiktiraf ulama adalah dari kalangan mereka yang terawal mencetus kesedaran bagi perjuangan kemerdekaan sejak 1920an lagi. Beliau berharap guru-guru dapat mengemukakan cadangan bagi memperbaiki kedudukan guru-guru agama.

Adun Bangi diminta membentangkan kertas kerja yang berjudul `Guru Sebagai Murabbi`
Menurutnya guru berkedudukan tinggi disamping ibu bapa. Jika ibu bapa menjaga dari kesejahteraan kehidupan dan fizikal, maka guru mendidik dari segi mental dan jiwa. Islam amat mementingkan pendidikan dan keilmuan. Menurutnya Murabbi adalah pecahan kata dari kalimah `rabba` yang bererti didik dan asuh. Pecahan dari kata ini juga berkait dengan istilah Rabb seperti pada awal Surah Al-Fatihah Rabb al-Alamin.
Bermaksud Allah menjaga, mendidik, mengawal dan memelihara alam hingga selamat, sejahtera dan manusia tinggal dan memakmurkannya. Maka Murabbi adalah istilah yang murni. Dia seharusnya mencontohi sifat rabb kepada mendidik anak-anak dengan ilmu, nilai dan akhlak yang murni sehingga dengan didikan ilmu yang disampaikan seorang anak berilmu, bernilai budaya murni dan berakhlak terpuji serta selamat di dunia dan akhirat. Tentang tarbiah dan ilmu beliau membawa contoh-contoh dari ayat-ayat Al-Qur`an dan Al-Hadith. Menurutnya Murabbi berperanan mendidik insan menjadi insan khalifah, dan insan kamil.



Terdahulu dari itu YB Khasim dijemput sebagai Perasmi Multaqa. Adun Bangi tidak berkesempatan bersama semasa pembukaan kerana lewat datang kerana mempunyai tugas merasmikan Mesyuarat Agung Cawangan dan Pembukaan Sebuah Cawangan di Serdang. Tapi sudah pasti yang diperkatakan YB Khasim tentang tujuan diadakan Multaqa, peranan dan harapan masyarakat terhadap guru-guru agama.

Ustaz Bong Salleh di dalam ucapannya menegaskan dengan kenaikan gaji guru agama, maka tugas mereka lebih bertambah dan sepatutnya lebih baik. Menurutnya gaji baru bagi guru-guru dan tonggakan akan dibayar mulai April ini. Beliau memaklumkan Pekeliling 8 Mac 2011 guru-guru perlu mantapkan pengajaran berhubung dengan 29 perkara sebelum murid-murid menghadapi peperiksaan PSRA. Antara 29 perkara ialah mengenai rukun iman, rukun Islam, bertinja, wuduk, sifat Allah, niat, solat fardu, rasul, malaikat, Haji dan sebagainya.

Menurut Ustaz Bong, bukan saja murid-murid diperiksa, tetapi guru-guru juga akan ditahsinkan keilmuan dan komitmen mereka. Mereka akan dikategorikan kepada cemerlang, sederhana dan gagal. Mereka juga dilihat dari segi zalim (tidak menunaikan tugas), adil (menunaikan tugas sekadar yang dituntut) dan Ihsan (bertugas dengan baik dan mengusahakan kecemerlangan).

Di dalam sesi dialog yang diadakan pada akhir majlis berbagai perkara ditimbulkan misalnya kurangnya peluang pelajar berkelulusan mumtaz dapat menyambung ke Sekolah agama menengah, masalah guru sandaran (C4), masalah perumahan dan peluang membeli rumah, masalah guarantee letter yang tidak diiktiraf, masalah per kapita, buku teks lambat dan sebagainya. Masalah yang ditimbulkan mereka dijawab oleh YB Iskandar terutama mengenai perumahan, manakala Ustaz Bong berhubung dengan persekolahan disamping Adun Bangi turut sama membantu menjawab.








Sekian.

No comments:

Post a Comment