March 20, 2011

Menegakkan Papantanda Bermulanya Pembinaan Surau Al-Ittifaqiyyah

Kajang Impian, BBB, 14 Rabiul Akhir = 19 Mac (Sabtu):

Jam 9.00 pagi Adun berada di tapak Surau Al-Ittifaqiyyah bersama dengan En.Azli Pengerusi Persatuan Penduduk (Islam) Kajang Impian, Bandar Baru Bangi, Saudara Yusof Bachek Ahli MPKj, Encik Mohd Rafi Timbalan Ketua Jawatankuasa Pembinaan Surau dan penduduk yang hadir berjumlah lebih kurang 30 orang.



Majlis secara ringkas berlangsung dengan ucapan ringkas selepas doa yang dibaca Ustaz Rafie. Saudara Azli dalam ucapannya memaklumkan dengan pelancaran derma yang Adun lakukan pada 5 Mac 2011 dua minggu lepas jumlah derma yang dapat dikumpul setakat ini sebanyak RM20,000. Meskipun target mengumpul derma bagi binaan RM75,000 – tahap permulaan, tapi AJK mengambil keputusan memulakan binaan. Tender telah dibuka dan kami syaratkan kepada penerima tender perlu bina berterusan dengan harapan derma terus bertambah. Setakat ini ada dua penerima tender dan pemilihan telah dibuat.



Menurut En. Azli, kami berharap Surau Al-Ittifaqiyyah akan siap dibina Ogos nanti dan dapat digunakan sempena sambutan Ramadhan. Selain dari rangka surau dari konkrit, menurut Azli, dinding akan banyak menggunakan kaca bagi mengurangkan kos dan mudah untuk membuat pembesaran pada masa akan datang. Sebelum dari itu En. Azli telah menunjukkan tanda arah Kiblat yang telah disempurnakan oleh pegawai dari Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Dalam ucapan ringkas Adun memuji AJK yang bertindak pantas di dalam menyegerakan pembinaan Surau Al-Ittifaqiyyah. Sememangnya kerja yang baik patut disegerakan dan kewajipan menyebar Islam, mendirikan syiar dan dakwah Islam adalah kewajipan ke atas diri setiap orang Islam dan berlumba membuat kebajikan adalah dari suruhan Islam. Sebab itu kata Adun beliau tidak ragu-ragu penduduk Kajang Impian akan berlumba-lumba mencukupkan dana bagi pembinaan Surau. Mendirikan Surau menurut Adun adalah saham akhirat. Banyak ayat al-Qur`an yang menggesa dan menggalakkan umatnya supaya menderma. Adun menyebutkan bila Surau siap kelak, ianya bukan saja berfungsi untuk ibadat sahaja, tetapi juga menjadi tempat didikan anak-anak, tempat masyarakat menimba ilmu pengetahuan dan menjadi tempat kegiatan kemasyarakatan. Adun berharap Surau ini benar-benar menjadi pusat yang menyatupadukan penduduk Kajang Impian.

Berikut dari itu Adun Bangi dan juga En. Yusof Bachek bersama hadirin dijemput ke acara menegakkan papan tanda surau dengan mencurah semin pada tiang yang sedia digali lobang. Kemudian bergambar beramai-ramai di hadapan papan tanda berkenaan.




Upacara ringkas diakhiri dengan minuman.

Sekian.

No comments:

Post a Comment