March 14, 2011

Perasmian Insinerator Kecil Terpaksa Ditangguh. Jemputan Tidak Diedar Oleh Yang Dipertanggungjawabkan ?

Sungai Ramal Luar, 08 Rabiul Akhir = 13 Mac (Ahad):

Jawatankuasa Surau yang diketuai Nazirnya Tuan Haji Nik Pa bin Nik Leh telah menjalankan berbagai aktiviti di Masjid Haji Mat Saman – termasuklah mewujudkan incinerator kecil bagi tujuan melupuskan kertas-kertas ayat Qur`an yang lusuh dan berbagai kertas bahan-bahan tulisan agama, bagi menjaga kesuciannya. Insinerator ini direka khusus secara saintifik dan dibina di tepi kawasan masjid tersebut dan siap sejak setengah tahun yang lepas. Sejak itu ujian-ujian telah dijalankan. Ia merupakan satu-satunya masjid yang mempunyai peralatan sedemikian di Negara ini. Ianya akan digunakan bagi perkhidmatan melupuskan kertas-kertas lusuh berayat Qur`an bukan saja bagi penduduk Sungai Ramal, tetapi dari mana jua, terutama dari Hulu Langat.



Setelah mengadakan persiapan, maka pada hari ini AJK mengadakan majlis bagi merasmikan incinerator yang projek berkenaan menjadi kebanggaan AJK dan para jamaah masjid berkenaan. Kos mendirikannya mencecah RM100,000. Malangnya hingga jam 10.00 pagi (majlis sepatutnya bermula jam 9.00 pagi), tiada tamu yang hadir. Menurut saudara Azhar setiausaha AJK Perasmian, pihaknya berunding dengan pihak Pejabat Agama Daerah Hulu Langat (PAID), bahawa jemputan kepada Nazir-nazir dan Imam-Imam Masjid dan Guru-Guru Besar dipersetujui akan dilakukan oleh pihak PAID. Mungkin surat tidak dikeluarkan atau lambat dikeluarkan oleh pihak PAID (sepatutnya pihak AJK check kepastian penghantaran). Tidak ada seorang pun dari kalangan nazir, imam dan guru hadir.



Yang hadir ialah pegawai-pegawai lain dari kedua institusi berkenaan yang dijemput oleh AJK. Mereka selain dari Adun Bangi ialah Encik Arifin yang mewakili Pengarah Alam Sekitar Negeri Datin Paduka Hjh. Isma Ibrahim, En. Yahya Othman yang juga dari Jabatan Alam Sekitar, Puan Norfaezah Ketua Penolong Pegawai Daerah Hulu Langat dan Ketua Kampong Tuan Haji Yusof Abdul Kadir yang sama bekerja keras bagi menjayakan projek Insinerator dan program pada hari ini. Setelah Nazir berbincang dengan Adun, Ketua Kampong dan AJK, mereka setuju Majlis ditunda ke satu tarikh yang lain. Mereka akan bertindak menghantar sendiri segala jemputan. Menurut Ketua Kampong sepatutnya Majlis ini dilaksanakan pada minggu lepas, tapi pihak PAID minta tangguh ke hari ini. Jadi penangguhan ini adalah penangguhan bagi kali kedua. Namun apa yang mendukacitakan bukan saja masa dan tenaga habis, tapi juga kewangan. Pihak AJK menyediakan makanan pagi dan tengahari untuk tamu seramai 250 orang, sewa khemah & kerusi, peralatan pembesar suara dan berbagai kelengkapan yang disediakan memakan belanja lebih dari RM4,000.00. Pihak Nazir meminta maaf kepada tamu jemputan yang hadir lebih kurang 10 orang.

Dalam masa menunggu Adun berkesempatan melihat demonstrasi incinerator dan pameran-pameran yang diadakan.

Menurut saudara Haji Zainuddin, idea awal ke arah mencipta incinerator kecil ini apabila beliau melihat di tempat beliau bekerja di sebuah syarikat percetakan melupuskan kertas-kertas, termasuk ayat-ayat suci, secara kitaran dan menukarkannya kepada tisu dan sebagainya. Ini menimbulkan hasrat mencipta incinerator berkenaan bagi melupuskan kertas-kertas berayat suci secara hormat.



Adun membaca dari penerangan yang ditampal di dinding incinerator:
Bahawa pihak AJK menerima surat kelulusan dari Alam Sekitar kepada Warisan Mukmin Sdn. Bhd di bawah anekmen 1978 membenarkan didirikan 1 unit cerobong yang kapasitinya mampu melupus secara membakar 20 kg. kertas sejam. Tinggi cerobong adalah 3 meter. Suhu membakar antara 600 hingga 800 darjah centigrade. Bahan bakaran akan bertukar menjadi abu yang halus setelah dibakar tanpa asap dan mendap di bawah dan dibersih dengan semburan air yang dikawal aliran dan mendepan debu akan ditanam.



Pada hari ini juga Adun menyaksikan pameran model peralatan memproses air soya, model Mobile Mixed Waste Incinerator yang teknologinya dari Belanda yang diperkenalkan oleh sebuah syarikat dari Taman Perindustrian dari Puchong dan juga melihat model Air Burners (Air Curtain Destructor) yang dikeluarkan di Malaysia oleh Whitton Technology (M) Sdn. Bhd (MTS) USA bersama CMTS Sdn. Berhad Malaysia.



Secara kebetulan sebelum berpisah, makanan tengahari telah siap, untuk mengurangkan pembaziran kami turut makan tengahari bersama AJK, walaupun agak awal.

Terima kasih.

No comments:

Post a Comment